Isnin, 30 Januari 2012

'DRIVE THRU' DI HRPZ II KURANGKAN KESESAKAN KAWASAN HOSPITAL

KOTA BHARU - Istilah ‘Drive Thru” sebelum ini sinonim dengan kedai makanan segera, namun kini diperluaskan fungsinya oleh Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II apabila mewujudkan kaunter ubat menggunakan sistem sama.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md. Hasan berkata, sistem mendapat bekalan ubat melalui ‘Drive Thru’ atau pandu lalu itu diperkenalkan pihaknya November lalu sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.

“Kiosk pandu lalu ini disediakan kepada mereka yang mendapatkan rawatan berkala di sini, di mana tidak perlu lagi untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

“Mereka hanya perlu menelefon ke hospital dan membuat temujanji supaya ubat dapat disediakan lebih awal tanpa perlu menunggu di kaunter ubat,” katanya kepada media pada majlis pembukaan Pusat Rawatan Tradisional dan Komplimentari serta penyerahan peralatan perubatan oleh Anggota Lembaga Pelawat HRPZ II, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat hospital berkenaan, Datuk Hilmi Yusof dan ahli jawatankuasanya.

Ghazali berkata, pengedaran ubat menggunakan sistem pos juga disediakan, namun perkhidmatan ini memerlukan pesakit mengeluarkan perbelanjaan sekurang- kurangnya RM5 bagi proses penghantaran.

Sementara itu, mengulas mengenai Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari yang diperkenalkan pada 29 Dis lalu, Ghazali berkata, ia merupakan sebagai satu alternatif kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Ghazali berkata, perkhidmatan yang disediakan secara percuma itu kini hanya memfokuskan kepada urutan dan amalan perubatan tradisional Melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin dan pesakit angin ahmar.

”Bagi rawatan selepas bersalin, perkhidmatan disediakan adalah rawatan kesegaran (urutan dan urutan payudara) dan rawatan perbidanan (urut, bertungku dan bengkung), bagaimanapun pesakit yang bersalin secara pembedahan tidak digalakkan untuk menjalani proses urutan ini,”katanya.

Menurutnya, selain itu, unit yang hanya menerima kes rujukan dan pesakit perlu membawa surat rujukan daripada doktor berkenaan itu juga bakal menyediakan perkhidmatan akupunktur kepada pesakit tidak lama lagi.

Beliau berkata, unit itu juga mempunyai enam tukang urut yang terlatih dan beroperasi pada setiap hari kecuali pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

”Tiga tukang urut ditugaskan etiap sesi iaitu dua perempuan dan seorang lelaki manakala tiga lain sebagai pengganti melakukan rawatan di pusat yang mempunyai tiga bilik urutan itu,” katanya yang turut menjelaskan kira- kira sejam diperuntukkan untuk satu sesi rawatan.

MAIK DIANUGERAHKAN 4 BINTANG DALAM URUSAN KEWANGAN

KOTA BHARU - Kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diyakini akan meningkat berikutan kejayaan jabatan itu mendapat penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan daripada Jabatan Audit Negara dua tahun berturut-turut sejak 2009.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, penganugerahan tersebut amat bermakna dan memberi impak besar kepada MAIK sebagai sebuah institusi yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab kepada umat Islam di negeri ini.

"Saya berharap semoga dengan penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan ini, MAIK akan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaannya dalam memegang amanah sebagai pengendali wang zakat dan harta Baitulmal serta wakaf tunggal di negeri ini," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Maik bertitah demikian pada Majlis Kesyukuran Penganugerahan 4 Bintang Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2010 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad; Timbalan Mufti negeri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin.

Sementara itu, Kamaruddin dalam ucapan aluannya berkata, Jabatan Audit Negara telah mula mengaudit pengurusan kewangan MAIK berdasarkan indeks akauntabiliti sejak 2007 merangkumi sembilan elemen utama iaitu kawalan pengurusan, bajet, terimaan, perbelanjaan, pelaburan, akaun amanah, kumpulan wang amanah dan deposit, aset dan inventori, pinjaman serta penyata kewangan tahunan.

Beliau berkata, tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan yang diaudit adalah berdasarkan sistem pemarkahan iaitu 4 Bintang untuk tahap sangat baik; 3 Bintang (tahap baik); 2 Bintang (tahap memuaskan) dan 1 Bintang (tahap tidak memuaskan).

Jelasnya, tahap prestasi pengurusan kewangan MAIK meningkat setiap tahun dan ini dinyatakan sendiri dalam Laporan Audit Negara 2010.

"Pada 2007, Jabatan Audit Negara memberi penarafan 2 Bintang kepada MAIK; 2008 (3 Bintang); 2009 (4 Bintang) dan sekali lagi pada 2010 kita mendapat 4 Bintang.

"Malah MAIK juga menduduki tempat pertama dari segi pemarkahan berbanding lain-lain agensi dan jabatan di negeri, ini merupakan hadiah bermakna bagi MAIK yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 31 Disember akan datang," katanya. -Utusan Malaysia

Sabtu, 28 Januari 2012

BR1M UNTUK DUN BUNUT PAYUNG

KOTA BHARU  - Sebanyak RM500,000 Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diagihkan kepada 1,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payung, Parlimen Kota Bharu di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota dekat sini, kelmarin.

Bantuan itu disampaikan dalam bentuk tunai dengan kerjasama CIMB oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian yang sama, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusoff.

Fatmi semasa berucap di majlis itu berkata, rakyat terutama yang menerima anugerah itu patut bersyukur serta melahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan program bantuan itu semasa membentangkan Bajet 2012 di Parlimen tahun lalu.

"Pentadbiran Najib telah mencipta sejarah dari beberapa Perdana Menteri terdahulu kerana mempunyai semangat 1 Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang telah direalisasikan dengan respons yang tinggi dari seluruh rakyat", katanya.

Fatmi berkata, BR1M mengutamakan kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan golongan yang hidup mewah mungkin tidak memohon bantuan itu kerana mereka mahu golongan yang layak sahaja yang perlu menikmati rezeki yang datang bergolek itu.

Sementara itu, Wan Abdul Ghani berkata, BR1M merupakan anak emas kepada Perdana Menteri yang memberi keutamaan tinggi merealisasikan bantuan kewangan mudah untuk kebahagiaan dan keharmonian rakyat.

"Rakyat di negara kita seharusnya berbangga dengan bantuan kewangan yang diagihkan itu yang mungkin tidak berlaku di kebanyakan di negara asing", katanya.

Khamis, 26 Januari 2012

SETELAH TERGENDALA KINI BAS CITYLINER KEMBALI BEROPERASI

KOTA BHARU - Setelah 10 hari tergendala, pengguna terutama golongan kurang berkemampuan boleh menarik nafas lega apabila pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) menyambung semula perkhidmatan di semua laluan bas henti-henti bermula hari ini.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, pihaknya menyambung semula perkhidmatan SKMK melibatkan perjalanan kira-kira 100 bas di 31 laluan yang tergendala sejak 15 Januari lalu.

Menurutnya, langkah itu diambil setelah pihaknya mendapat jaminan bantuan dana daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Tengku Hasmadi berkata, beliau telah dihubungi Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad malam tadi yang meminta SKMK menyambung semula perkhidmatan serta-merta hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan semula operasi tertakluk kepada keadaan kerana jika tiada hitam putih daripada SPAD sehingga hujung bulan ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghentikan semula laluan bas yang terlibat.

"SPAD berjanji secara lisan akan menyalurkan dana berkuat kuasa hari ini, namun jumlahnya tidak dimaklumkan. Kami berpegang kepada janji itu dan berharap ia disusuli dengan perjanjian hitam putih.

"Jika ia hanya janji mulut, kami terpaksa mengambil langkah menghentikan semula operasi di laluan terbabit kerana kerugian yang ditanggung. Kami akan tunggu dan lihat dalam tempoh seminggu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan daripada Tengku Hasmadi mengenai kerugian teruk yang dialami oleh SKMK, anak syarikat KTB mencecah RM1 juta sebulan akibat kos operasi yang meningkat tanpa mendapat bantuan mana-mana pihak.

Ketika ditanya mengenai bantuan bulanan sebanyak RM100,000 selama empat bulan yang diluluskan Kerajaan Pas Kelantan, Tengku Hasmadi berkata, jika kerajaan negeri ikhlas memberinya, pihaknya sentiasa bersedia menerima.

"Kalau kerajaan negeri nak beri, beri sahajalah tanpa apa-apa dalih dan birokrasi. Kami tidak mahu janji hanya tinggal janji, begitu juga dengan janji daripada SPAD," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pihak iaitu SPAD dan kerajaan negeri mempunyai salinan akaun kewangan SKMK dan mengetahui keperitan yang dialami syarikat itu.

Jelasnya, SKMK yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini mempunyai lebih 120 buah bas yang beroperasi di 37 laluan di seluruh negeri.

Sementara itu Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan telah meluluskan sejumlah dana bagi menyelesaikan masalah itu bagi jangka masa pendek.

Selain Kelantan, beberapa syarikat bas yang menjalankan operasi bas henti-henti terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang sedang menghadapi masalah untuk mengekalkan perkhidmatan atas sebab kewangan.

"Kerajaan menyedari impak perkhidmatan bas kepada pengguna pengangkutan awam, oleh itu SPAD sebagai badan yang bertanggungjawab ke atasnya akan terus komited untuk mencari penyelesaian komprehensif bagi menangani masalah yang timbul," katanya. - Utusan Malaysia

Rabu, 25 Januari 2012

PM YAKIN KELANTAN DALAM GENGGAMAN

KOTA BHARU- Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata ucapan dan kenyataan Najib bahawa Kelantan adalah 'winnable state' semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi 'pengundi atas pagar' yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

PERDANA MENTERI HADIRI MAJLIS MENYAMBUT MENANTU

KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di sini.


Beliau  turut merenjis air mawar kepada dua mempelai  pasangan pengantin Fairuzuan Hamshi, 30, dan Siti Zulaikha Azmi, 28.
Hadir sama  Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain.

Fairuzuan Hamshi, seorang pengarah sebuah syarikat di Petaling Jaya dan isterinya, Siti Zulaikha, seorang pegawai Kementerian Kewangan, memilih Mauritius sebagai destinasi berbulan madu mereka.

Mohd Fatmi, yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Bharu berkata kedatangan Perdana Menteri itu sungguh bermakna dan sentiasa dinantikan oleh rakyat, melalui majlis perkahwinan anaknya juga  rakyat secara langsung berpeluang  untuk bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin Negara.

“Walaupun Perdana Menteri sangat sibuk , tapi beliau sempat meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini dan turut berpeluang bertemu rakyat dari dekat,” katanya.
Dianggarkan majlis perkahwinan ini dihadiri Kira-kira 10,000 tetamu.

Sebelum ini Najib yang tiba pada jam 11.50 pagi tadi sempat beramah mesra dengan rakyat Kelantan di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan selamat menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan. -Detikperubahan.com

MISTERI BAU BUSUK TERJAWAB DI PCB

KOTA BHARU - Misteri bau busuk di sebuah rumah di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terjawab, apabila mayat seorang warga emas ditemui dalam keadaan terbaring oleh jirannya, malam kelmarin.

Saksi terbabit, Mohd Khairul Azwan Anwar, 19, berkata selepas pulang bersiar-siar dengan rakannya, dia singgah ke rumah mangsa, Mohd Nor Senik, 60, untuk melawat sebelum memberi salam dan memanggil mangsa.

Beliau berkata, selepas hairan panggilan tidak dijawab, remaja terbabit pergi ke bilik mangsa yang berada di bawah rumah dan terhidu bau busuk selain melihat lalat keluar dari bawah pintu bilik mangsa.

”Biasanya arwah akan menyahut dengan sekali panggilan saja namun saya pelik selepas beberapa kali memanggil tidak kedengaran suaranya dan saya meluru ke bilik dan terhidu bau busuk selain ada lalat yang keluar dari bawah pintu biliknya.

”Saya intai arwah melalui tingkap dan melihat dia terbaring seperti orang sudah meninggal dan bergegas meminta bantuan rakan untuk membuka pintu dan sebelum laporan di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Mohd Khairul Azwan berkata, kali terakhir dia melihat lelaki berkenaan berjalan di sekitar kampung pada Khamis lalu dan tidak menyangka arwah yang dikenali dengan panggilan Abang Li itu di kampung berkenaan meninggal dunia seorang diri di biliknya.

Mengikut jirannya itu, arwah tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak 15 tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang batik berdekatan rumahnya selepas berpisah dengan isteri dan anaknya.

“Saya masih tidak percaya dia mati dalam keadaan terbabit kerana semasa terserempak dengannya Khamis lalu arwah nampak sihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat terbabit dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk dibedah siasat.

”Pihak kami masih menunggu keputusan bedah siasat dari Unit Forensik, namun kami percaya punca kematian mangsa tiada unsur jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

PENDAFTARAN UNDI BARU USIA 20 TAHUN

KOTA BHARU - Jawatankuasa Penyelaras Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Mas sokong cadangan pendaftaran pengundi baru bermula usia 20 tahun.

Pengarah Penyelaras Dun berkenaan, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusoff berkata, cadangan itu sebagai perubahan besar senario politik tanah air.

“Golongan muda boleh mengundi sebaik berusia 21 tahun dan beri peluang mereka memilih parti yang dikira layak mentadbir negara.

“Selama ini mereka terpaksa menunggu usia 21 tahun untuk layak menjadi pengundi, malah mereka tidak terus menjadi pengundi kerana menunggu enam bulan sebelum nama mereka diwartakan dalam senarai pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Sistem itu katanya, merugikan kerana golongan muda ramai yang hanya menjadi ‘penonton’.

Beliau mengulas cadangan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang sedang diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Wan Abdul Ghani berkata, golongan muda sudah tentu berasa bertuah kerana berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti pilihan raya.

“Dengan terlaksana cadangan itu, ia perubahan positif sistem mengundi dan memilih bagi rakyat negara ini khususnya, golongan muda,” katanya.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) katanya, bakal mencatat satu rekod cemerlang kerana 12 pilihan raya umum lalu, menyaksikan penglibatan tidak menyeluruh golongan muda.

Isnin, 23 Januari 2012

MAYAT DUDA DITEMUI BERULAT

KOTA BHARU - Mayat seorang duda ditemui berulat di bilik tidur rumahnya, dekat Kampung Guntong Limbat, Kubang Kerian petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mayat Md Noor Zakaria, 49, ditemui sepupunya, Roslan Mat Zin, 38, selepas terhidu bau busuk berhampiran rumah mangsa ketika mahu membersihkan kawasan kediaman.

Roslan berkata, sebelum penemuan mayat mangsa, dia juga melihat lalat mengerumuni tingkap rumah saudaranya dan bau busuk itu semakin kuat apabila menghampiri kawasan berkenaan.

Katanya, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terhadap sepupunya, selepas panggilan tidak dijawab, dia cuba membuka pintu rumah terbabit tetapi dikunci dari dalam.

“Saya terkejut ketika mengintai di tingkap rumahnya, saya melihat kaki mangsa berubah warna kegelapan dan terus memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Roslan berkata, mangsa yang mempunyai dua anak itu tinggal bersendirian di rumah terbabit 10 tahun lalu selepas bercerai dengan bekas isterinya.

“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain dia kurang berkomunikasi sejak berpisah dengan bekas isterinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik berkenaan dan tiada unsur jenayah.

“Berdasarkan maklumat jiran, mangsa dilihat kali terakhir menyapu sampah di rumahnya pada Selasa lalu kira-kira jam 7 petang.

“Anggota forensik dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan mayat diserahkan kepada ahli keluarga selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya.

Khamis, 19 Januari 2012

32 SKUAD SAHUT CABARAN REBUT PIALA DATUK FATMI

KOTA BHARU - Sebanyak 32 pasukan layak beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Fatmi peringkat parlimen Kota Bharu yang dijadualkan berlangsung awal ebruari depan.

Terbaru, lapan pasukan terbaik yang beraksi dalam kategori Agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) Jumaat lalu, dipilih bagi mengiringi 24 lagi pasukan daripada tiga Dewan Undangan (Dun) dalam Parlimen Kota Bharu yang sudah pun layak lebih awal kejohanan tersebut.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Bahagian Kota Bharu itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM 55,000 dan julung kali diadakan.

Ketua Pemudanya, Rosmadi Ismail berkata, kejohanan peringkat Dun dilangsungkan pertengahan Disember tahun lalu dan sebanyak lapan pasukan terbaik  daripada tiga Dun dipilih untuk menyertai saingan peringkat Parlimen nanti.

" Dun Kota Lama, lapan pasukan yang layak ialah Dusun FC'A'JKKKP Kampung Padang Bonggor, Tasna Jaya, Sireh Hilir FC, Sri Pasu FC, Che Mat Baha, Sri Utama Padang Bonggor dan dusun United 'B'.

"Bagi Dun Bunut Payong, turut layak ialah pasukan Pintu Geng 'A' dan 'B', Bunut Payong Hulu 'B' FC, Limau Manis 'A', Air Deras FC, Desa Sri Telipot, PN Bunut Payong, dan Jelasin 'A'.

"Dun Tanjung Mas pula, menyaksikan pasukan yang layak ialah Sungai keladi 'A' dan 'B', Telaga Nibong, Pulau Kapas, Kubang Tuman 'B' FC, Sri Bemban, Pohon Tar FC, dan Wameza FC", katanya.

Sementara itu, bagi kategori agensi dan NGO pula, pasukan yang layak ialah PPPIK Teman 'B', Pejabat Sultan Kelantan, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Pos Malaysia Kota Bharu, Belia Kota Bharu, dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Menurut Rosmadi, satu majlis taklimat dan pengundian membabitkan 32 pasukan terbabit akan diadakan pada malam esok bertempat di Dewan Besar Umno bahagian Kota Bharu.

"Serentak dengan itu, satu majlis pelepasan pasukan futsal Pemuda dan Puteri Umno yang mewakili Umno Bahagian Kota Bharu juga turut diadakan di mana mereka akan beraksi pada Kejohanan Futsal Belia 1 Malaysia yang berlangsung di Putrajaya bermula 19 hingga 22 Januari ini", katanya.

Selain dari taklimat dan pengundian pasukan, majlis pada malam tersebut juga akan meraikan pelepasan pasukan futsal kategori pemuda dan pemudi yang mewakili bahagian Kota Bharu yang bakal berentap di Kejohanan Futsal Belia 1 Malaysia yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 19 hingga 22 Januari ini.

Ahad, 15 Januari 2012

PENGGUNA CITYLINER TERJEJAS EKORAN LALUAN BANDAR KE BANDAR

KOTA BHARU 14 Jan. - Ribuan pengguna di negeri ini, termasuk pelajar sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam untuk ke sekolah, bakal terjejas apabila pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) mengumumkan 31 daripada 37 laluan bas itu akan tergendala bermula esok.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, masalah itu berlaku berikutan kerugian teruk yang dialami oleh SKMK, anak syarikat KTB.

Malah dakwanya, usaha untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri juga tidak berhasil.

Selain itu dakwanya, bantuan bulanan RM100,000 kepada SKMK yang pernah dijanjikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak pernah diterima.

Beliau mendakwa, SKMK yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini, mengalami kerugian mencecah RM1 juta sebulan ekoran tidak ada bantuan daripada mana-mana pihak manakala kos menyediakan perkhidmatan lebih tinggi berbanding kutipan tambang.

Menurut beliau, masalah itu sepatutnya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan melantik SKMK sebagai kontraktor penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini.

"Memang dia (Menteri Besar) janji mahu memberikan sebanyak RM100,000 sebulan tetapi tidak cukup kerana kerugian hampir RM1 juta sebulan, lagipun duit itu sampai ke hari ini pun tidak dapat lagi, biasalah orang politik berjanji.

"Apa yang saya terkilan, kita sudah buat perbincangan jumpa pengurusan KTB, jumpa Menteri Besar, jumpa Exco dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan kita cakap cara paling mudah ialah lantik kita sebagai kontraktor penyedia perkhidmatan tetapi dua hari lepas mereka kata, minta maaf tunggu duit daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kalau nak tunggu pula SPAD, kita sudah sedia maklum keutamaan diberi kepada negeri Pantai Barat dulu yang mana kepadatan penduduk tinggi jadi kita dah rugi bertahun-tahun.

"Apabila kerajaan negeri melantik kita sebagai kontraktor, kutipan harian kita akan masukkan ke dalam tabung untuk dikelolakan kerajaan negeri dan oleh kerana kos perkhidmatan lebih tinggi daripada kutipan tambang, kita cadangkan tambahan kutipan melalui iklan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada SKMK, yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di negeri ini bagi mengurangkan kos operasi.


Terdahulu, SKMK melalui surat pekeliling yang difakskan kepada Mingguan Malaysiamemaklumkan, bermula esok hanya enam laluan bas henti-henti syarikat tersebut yang masih beroperasi seperti biasa iaitu laluan dari bandar ke bandar.

Laluan tersebut adalah Kota Bharu-Pasir Mas- Rantau Panjang; Kota Bharu-Cabang Empat-Pengkalan Kubor; Kota Bharu-Pasir Mas-Tanah Merah; Kota Bharu-Pasir Puteh-Jerteh, Kota Bharu-Machang-Kuala Krai dan Kota Bharu-Pengkalan Chepa. - Utusan Malaysia.

ANJING LIAR DI TANAH PERKUBURAN

KOTA BHARU – Sukar hendak digambarkan perasaan sekiranya majlis pengebumian ahli keluarga di tanah perkuburan disergah salakan sekumpulan anjing yang berada di kawasan tanah pengebumian tersebut.

Situasi ini agak janggal tetapi ia realiti yang benar-benar berlaku terhadap penduduk di tiga kampung, di Kok Lanas di sini.

Jika sebelum ini, Sinar Harian pernah memaparkan isu kambing dan lembu yang dibiarkan pemiliknya menceroboh tanah-tanah wakaf kubur, kini lebih mengecewakan apabila anjing pula yang dilihat berada di kawasan tersebut.

Ketika wartawan Sinar Harian meninjau di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Besar di sini, pagi semalam, mereka dikejutkan dengan salakan tiga haiwan liar yang berkeliaran tidak jauh dari pintu pagar kubur terbabit.

Selain dari anjing yang berkeliaran, lebih mengejutkan terdapat sebuah kandang lembu yang jelas berada di dalam kawasan pagar tanah perkuburan tersebut.

Menurut seorang penduduk asal kampung itu yang enggan identitinya didedahkan memberitahu Sinar Harian, perkuburan Islam itu diguna pakai penduduk di Kampung Lubuk Besar dan dua lagi, Kampung Gutong dan Kampung Bechah Hangus.

Katanya, kemunculan anjing, lembu serta kandang lembu tersebut hanya disedari sekitar November lalu, ketika dia menziarahi kubur arwah ibu bapanya.

“Menjadi kemestian saya menziarahi pusara orang tua pada Hari Raya Aidilfitri, namun, saya terkejut apabila mendapati sebuah kandang lembu ada dalam kawasan kubur berkenaan. Ketika itu juga, saya lihat ada lembu yang ditambat dan sedang meragut rumput di atas
kubur selain anjing yang mengganggu kehadiran kami,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu pernah melaporkan kepada imam dan Ahli Jawatankuasa Kubur di kampung berkenaan, bagaimanapun, situasi hampir dua bulan lalu itu masih sama.

“Saya kesal tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku di atas tanah perkuburan Islam. Kalau lembu atau kambing mungkin boleh bertolak ansur, ini anjing bagaimana najisnya yang ada di atas kubur. Memelihara anjing pun sudah
haram, macam mana boleh dibiarkan berkeliaran di atas kubur orang Islam,” katanya. -Sinar Harian.

Khamis, 12 Januari 2012

MYVI TERBANG DI LONG YUNUS

KOTA BHARU – Siapa saja yang melalui Jalan Long Yunus di sini pasti terfikir bagaimana sebuah kereta jenis Perodua MyVi berada dalam keadaan yang elok (seolah-olah diletak) di atas sebuah van.

Bagaimanapun tidak siapa yang tahu bagaimana saat cemas yang dialami jurujual berumur 30-an itu apabila kereta yang dipandunya itu secara tiba-tiba pancit dan melayang ke udara ‘sebelum’ tersangkut di atas bumbung van.

Pemuda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.   Ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7.50 pagi ini.

Menurut saksi kejadian, kereta itu hilang kawalan apabila tayar kiri di bahagian depan kereta itu tiba-tiba sahaja pancit dan ketika berusaha menghentikannya dia melanggar longgokan batu dan pasir sebelum terbang tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Rempuhan tersebut menyebabkan kereta yang dipandu mangsa melompat dan berada di atas van berkenaan.

“Mangsa dibantu orang ramai untuk turun ke bawah,” katanya. - Detikperubahan.com

RM1.14 JUTA BAUCAR BUKU DIAGIHKAN DI PKB

KOTA BHARU 11 Jan. – Seramai 5,704 pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) dekat sini hari ini, menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM200 setiap seorang.

Penyampaian baucar berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.14 juta.

Pengarah PKB, Noor Azahan Othman berkata, baucar buku itu diagihkan kepada semua pelajar bermula semester satu hingga akhir, meliputi program peringkat sijil, diploma, latihan industri dan kursus secara sambilan (KSS).

“Untuk gimik pelancaran pada hari ini seramai 24 pelajar dari empat jabatan di PKB menerima baucar berkenaan.

“Pelajar-pelajar lain boleh menuntut baucar ini daripada penasihat akademik masing-masing bermula esok.

“Bagi memudahkan pelajar menukar baucar ini, PKB menyediakan gerai pameran buku bagi membolehkan pelajar menebus baucar berkenaan,” katanya.

Tambahnya, para pelajar tidak perlu khuatir kerana pembekal yang menyertai pameran buku ini kebanyakannya telah dilantik oleh pihak politeknik dan mempunyai pengalaman dalam menyediakan bahan-bahan rujukan berkaitan kursus mereka.

Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui, Mohd. Affandi Ghazali berkata, pemberian baucar buku berkenaan memberi manfaat kepada dia dan rakan-rakan lain dalam mendapatkan buku rujukan terbaik bagi membantu proses pembelajaran.

“Dengan adanya baucar ini dapatlah saya gunakan untuk membeli buku rujukan. Bantuan ini juga membantu meringankan beban pelajar baru seperti saya untuk membeli buku-buku rujukan.

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan atas pemberian baucar ini yang ternyata memberi manfaat besar kepada golongan pelajar,” katanya yang merupakan pelajar semester satu, jurusan diploma elektronik. -Utusan Malaysia

KELAB LION SEDIA KEMAHIRAN UNTUK REMAJA SINDROM DOWN


KOTA BHARU 11 Jan. - Pusat Sindrom Down Kelab Lions Kota Bharu menawarkan perkhidmatan melatih remaja yang menghadapi masalah itu dengan pelbagai kemahiran bagi membina keyakinan diri mereka.

Pengerusinya, Dr. Izanee Isahak berkata, ketika ini terdapat 14 remaja yang diberikan latihan berasaskan kemampuan masing-masing seperti membungkus makanan dan menjahit hiasan manik baju.

Beliau berkata, latihan tersebut diselia oleh jurulatih yang dilantik supaya remaja terbabit benar-benar dapat membina kemahiran mereka.

"Ternyata mereka mampu mematuhi arahan yang diberikan serta berupaya menghasilkan kerja dengan baik dalam suasana kondusif," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutup Bengkel Pertuturan anjuran pusat itu bersama Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini. Hadir sama Presiden Kelab Lions Kota Bharu, Yap Sier Seng.

Izanee berkata, selain remaja terlibat, pusat berkenaan turut menyediakan kelas prapendidikan awal kepada kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun yang mengalami masalah sindrom down.

"Penyertaan remaja dan kanak-kanak sindrom down di pusat itu hanya dikenakan yuran pendaftaran RM50. Permohonan masih terbuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak sindrom down," katanya.

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pusat berkenaan di talian 09-7437550 untuk menyertai kelas prasekolah bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, manakala bengkel pula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. -Utusan Malaysia

Rabu, 11 Januari 2012

UNIVERSITI AL-QURAN ANTARABANGSA BAKAL DI BINA

KOTA BHARU – UMNO Bahagian Kota Bharu bercadang untuk membina sebuah institusi pengajian al-Quran di bandar ini sejajar dengan jolokkan ‘Kelantan Negeri Serambi Mekah’ sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ketuanya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh bagaimanapun berkata, cadangan tersebut masih diperingkat awal dan ia tidak dimasukkan lagi ke dalam manifesto pilihan raya.

Beliau berkata, idea penubuhan tersebut timbul kerana tidak ada sebuah institusi khusus untuk mempelajari dan mengkaji al-Quran secara mendalam di negara ini.

“Ini bukan janji pilihan raya tetapi boleh dipertimbangkan untuk manifesto bagaimanapun ia sebahagian daripada perjuangan saya di Kota Bharu.

“Rakan-rakan saya yang menimbulkan idea untuk menubuhkan universiti atau institusi pengajian khusus untuk al-Quran di bandar ini.

“Tetapi ia berkait rapat dengan kuasa kerajaan negeri. Kita (UMNO) memang ada idea tetapi perlu berkuasa untuk melaksanakannya, lihat selepas 21 tahun pemerintahan Pas banyak idea kita tidak laksanakan kerana memerlukan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, UMNO Bahagian Kota Bharu akan mula membuka bilik gerakan untuk pilihan raya umum pada minggu depan.

Katanya, semua jentera parti di peringkat telah digerakkan sepenuhnya termasuk menubuhkan jawatankuasa di 33 buah pusat daerah mengundi.

“Apabila kita membuka bilik gerakan, semua jentera ini baru lengkap. Tujuan kita hanya satu ialah untuk membantu rakyat, saya sendiri dan rakan-rakan berusaha bersungguh-sungguh.

“Kita telah melaksanakan banyak program untuk membela dan memenuhi keperluan rakyat dan Barisan Nasional tidak gentar untuk berhadapan dengan siapa calon pembangkang tidak Pas mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya. - Detikperubahan.com

Selasa, 10 Januari 2012

AGENSI BERENTAP - KEJOHANAN BOLA SEPAK PIALA DATUK FATMI

KOTA BHARU - Saingan Kojohanan Bola Sepak Piala Datuk Fatmi kini memasuki edisi seterusnya apabila menyaksikan kategori Agensi akan dilangsungkan di padang Maktab Sultan Ismail, Telipot pada Jumaat dan sabtu ini.

Pegawai Publisiti kejohanan, Azman Mohd Noor berkata, bagi kategori tersebut hanya terbuka dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan-persatuan selain jabatan kerajaan dalam kawasan Parlimen Kota Bharu.

"Kejohanan berbentuk karnival selama dua hari ini menyaksikan sebanyak empat pasukan terbaik akan dipilih untuk beraksi dalam saingan peringkat Liga Parlimen Kota Bharu yang dijadualkan berlangsung Februari nanti.

"Di peringkat Dun, kita sudah berjaya menganjurkannya baru-baru ini. Sebanyak 12 pasukan terbaik daripada Dun Kota Lama, Bunut Payung dan Tanjung Mas di pilih beraksi pada saingan Liga Parlimen nanti.

" Jadi dalam Kategori Agensi ini, empat lagi pasukan akan dipilih bagi mengiringi 12 pasukan tersebut.

" Juara bagi kategori ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,500, naib juara RM 1,000, tempat ketiga RM700 dan keempat RM500", katanya.

Menurut Azman,bagi Kejohanan Liga Parlimen Kota Bharu pada Februari nanti, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM 16,000 menanti pemenang dalam kejohanan tersebut.

"Juara pada kejohanan peringkat Liga Parlimen akan meraih hadiah wang tunai RM 8,000 berserta piala pusingan dan medal, naib juara RM5,000 dan medal, tempat ketiga RM3,000 dan medal sementara tempat keempat RM2,000 dan medal", katanya.

PEMECATAN HASAN TERBAIK UNTUK MENJAGA PARTI-FATAH

 KOTA BHARU - Tindakan buang parti ke atas Datuk Dr Hasan Mohamed Ali setimpal perbuatannya yang jelas tidak mengikut semangat jemaah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Menurutnya, walaupun tindakan pecat dilihat drastik, namun ia langkah terbaik bagi menjaga keharmonian parti khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Nampak seperti drastik tetapi ia setimpal dengan apa yang dilakukan, beliau (Hasan) sendiri yang membuka peluang kepada parti untuk bertindak ke atasnya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Pas Pusat yang memecat keahlian Hasan ekoran tindakan beliau mengkritik Pas berhubung beberapa isu berbangkit.

Menyentuh mengenai campur tangan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terhadap isu Hasan, Fatah yang juga Yang Dipertua Pas Rantau Panjang berkata, hal tersebut tidak berbangkit kerana Hasan sendiri yang bertindak di luar batasan.

“Azmin hanya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini sahaja sedangkan Hasan mengeluarkan pelbagai kritikan sebelumnya, keputusan yang dibuat parti ke atas Hasan tiada kaitan dengan Azmin,” katanya.

Beliau turut menegaskan Pas tidak akan berpecah walaupun terdapat ura-ura mengatakan isu Anwar menjadi polimik dalam Pas.

Menyentuh mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar, Fatah berkata, mungkin tekanan politik tidak berlaku dalam kes tersebut.

KEPUTUSAN MAHKAMAH BUKTI KERAJAAN TELUS

KOTA BHARU - Pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan kes liwatnya membuktikan kerajaan adalah telus dan undang-undang negara bukan untuk kepentingan politik.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Dali Hussin berkata, setiap keputusan yang ditetapkan di mahkamah adalah berdasarkan fakta dan hujah.

“Bebasnya Anwar, bukti Kerajaan Malaysia dan undang-undang negara adalah bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau juga yakin, keputusan tersebut tidak akan goyahkan sokongan rakyat terhadap pimpinan negara dan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan kes liwat ini juga tidak akan mempengaruhi senario politik negara termasuk Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Saya percaya rakyat kita bijak dan mampu untuk menterjemahkan setiap perkara yang berlaku dan tidak cepat terpengaruh dengan apa jua sekalipun,” katanya.

Dali yang juga Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, turut menegaskan pihaknya akan bersatu dan bekerja keras untuk memastikan BN sentiasa mendapat sokongan rakyat.

“Perkara yang berlaku hari ini sedikit pun tidak akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap BN kerana ini (kes liwat) adalah keputu­san mahkamah,” katanya.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan yanga membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perkara itu.

13,500 PENUNTUT IPTA TERIMA BAUCAR BUKU 1 MALAYSIA

KOTA BHARU – Kira-kira 13,500 penuntut institusi pengajian tinggi awam di negeri ini layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM200.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah terbabit meliputi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) seramai kira-kira 6,000 orang, Universiti Malaysia Kelantan (3,100), Universiti Sains Malaysia (4,000) dan Universiti Malaya Nilam Puri antara 300 hingga 400 orang.

Beliau berkata, pemberian baucar buku itu telah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 yang lalu bertujuan meringankan kos kewangan penuntut berkenaan.

“Kita berharap ia digunakan sebaik mungkin oleh pelajar-pelajar. Ini adalah atas kebaikan kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos termasuklah kos buku.

‘‘Kita yakin ia akan dapat membantu meringan beban yang ditanggung oleh mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian baucar buku berjumlah RM625,000 kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Firdaus Abd. Karim mewakili hampir 3,100 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah universiti itu.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Raduan Che Rose dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, selain bantuan baucar, Kerajaan Pusat juga menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM35 juta kepada 350,000 pelajar di negeri ini sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula, beliau berkata, setakat ini kira-kira 260,000 daripada 600,000 borang permohonan yang dikeluarkan telah dikembalikan untuk diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, seperti ditetapkan oleh kerajaan, pengagihan bantuan itu bermula 15 Januari ini sehingga akhir Mac depan dan Kelantan sedang merancang kaedah terbaik bagi mengagihkan bantuan tersebut.

“Kita telah pun bermesyuarat pagi ini dan saya meminta Datuk Makhtar (Pengarah JPP) supaya berbincang dengan pemimpin-pemimpin tempatan mengenai kaedah terbaik bagi menyalurkan bantuan tersebut.

“Yang penting kita runding dengan pemimpin tempatan masa yang sesuai dan kita bagi taklimat, tak boleh kita buat tergesa-gesa,” katanya. -Utusan Malaysia

Isnin, 9 Januari 2012

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT SEMAKIN DAPAT SAMBUTAN

KOTA BHARU - Lebih 150 penduduk menyertai Majlis Sarapan pagi Bersama Pemimpin di pekarangan Rumah Pangsa Jalan Bayam di sini baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menyampaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Ia merupakan salah satu program yang sering dianjurkan oleh UMNO bahagian itu untuk mendengar rintihan dan membantu masyarakat di bawah.

Mohamad Fatmi ketika berucap pada majlis tersebut bagaimanapun berkata, pihaknya hanya mampu mendengar masalah yang dihadapi tetapi tidak berpeluang untuk menyelesaikannya.

"Tanpa mandat yang diberikan melalui kemenangan dalam pilihan raya, masalah itu akan terus dihadapi mereka biarpun kita mencuba sedaya upaya untuk membantu.

"Tanpa persamaan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tiada apa yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

"Jika mahu menikmati keselesaan, sewajarnya mereka memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat negeri ini," ujarnya.

Tambahnya, sebagai pemimpin kecil, beliau akan cuba sedaya upaya untuk membantu penduduk di bandar ini.

Ahli UMNO Jangan Ikut Rentak Pembangkang Yang Mahu Huru Harakan Negara

KOTA BHARU – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh mengingatkan anggota UMNO supaya tidak mengikut rentak pembangkang dalam menangani isu perhimpunan di Kuala Lumpur Isnin ini.



Ketua UMNO bahagian Kota Baharu itu berkata pembangkang sememangnya berhasrat menjatuhkan kerajaan dengan cara menimbulkan huru-hara dalam negara.

Beliau berkata berdasarkan apa yang berlaku di negara luar, penggulingan kuasa melalui cara tidak sah tidak mampu menyelamatkan sesebuah negara itu.

Kerajaan tidak mahu perhimpunan itu menyebabkan pergaduhan antara rakyat serta menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan, katanya di sini Sabtu.

Mengenai usaha Barisan Nasional (BN) merampas pemerintahan Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13, Mohd Fatmi percaya banyak perkara boleh dilakukan jika mandat diberikan kepada kerajaan BN untuk membangunkan rakyat dan negeri itu.

Katanya, UMNO juga mempunyai perancangan jangka panjang bagi memajukan bidang agama di Kelantan termasuk mewujudkan pusat pengajian tinggi bertaraf Darul-Quran, walaupun ia bukan janji BN dalam pilihan raya.

Sabtu, 7 Januari 2012

BONGKAR !!! SIAPA DATO' FATMI SEBENARNYA PART 1 ?

Pasti  ramai yang ingin mengenali siapa sebenarnya calon Barisan Nasional pada PRU 13 nanti di Parlimen Kota Bharu. Ia tidak lain dan tidak bukan seorang insan yang selama ini berkerja keras dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan yaitu Dato' Fatmi Che Salleh yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.





Namun begitu mungkin ada yang bertanya, apa sumbangan beliau kepada penduduk di Kota Bharu. Untuk pendedahan bahagian pertama ini sama-sama kita menilainya dan membuat perbezaan beliau dan juga calon yang akan berdepan dengan beliau pada PRU 13 nanti.

Bukanlah tujuan penulis untuk memperbesarkan apa yang telah beliau buat untuk rakyat dan mengecilkan lawan beliau, tetapi lebih kepada untuk mengenali beliau dan andalah yang akan membuat penilaian mengenainya.

"Memberi seseorang itu peluang adalah satu kemuliaan berbanding dengan sebaliknya."

DPA SUNTIK SEMANGAT ANAK YATIM

KOTA BHARU - Semangat motivasi menimbulkan rasa teruja kepada anak yatim untuk menjawat jawatan pegawai profesional apabila dewasa kelak setelah pelbagai aktiviti dijalankan peserta Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) 1/2011.

Anak yatim berkenaan, Siti Nurul Huda, 16, berkata, aktiviti yang disediakan selama lima hari pegawai berkenaan berada di situ membuka minda mereka untuk belajar lebih tekun.

“Banyak aktiviti yang mendorong kami berfikir dan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh ada terutama ketika menjalankan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) dan ceramah motivasi.

“Tunjuk ajar dan kata semangat yang diberikan pegawai ini membolehkan kami mendekati mereka dan tahu bidang tugas mereka menimbulkan rasa minat terhadap kerja profesional,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim), di sini.

Sementara itu, bagi Mohd Haikal Mohd Latfi, 16 berkata, kini terdapat beberapa institusi pengajian yang memberikan motivasi kepada anak yatim di Yaatim, Taman Sabariah.

“Kami pernah menerima kunjungan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan universiti dari luar negara yang mengadakan beberapa aktiviti di sini.

“Mereka banyak kembalikan semangat kami dan beri keyakinan supaya percaya kepada diri sendiri untuk meneruskan hidup dan bergelar orang berjaya kelak,” katanya yang tinggal di Yaatim tiga tahun lalu.

Bagi Mohd Zubir Mohamad, 16 pula berkata, asrama adalah tempat terbaik kepada anak yatim kerana di situ mereka mampu berdikari dan menjalankan aktiviti bersama rakan-rakan senasib yang lain.

“Di asrama, pelajaran lebih terjamin kerana setiap kali keputusan peperiksaan dikeluarkan, pengetua asrama memantaunya secara berdisiplin, kami belajar bersolat dan agama, selain sentiasa diberi motivasi dan semangat baik secara rasmi atau santai,” katanya.

LETUPAN TELAGA BORING

 KOTA BHARU – Seorang penggali telaga tiub atau lebih dikenali sebagai ‘telaga boring’, di sini terkejut apabila satu letupan kuat berlaku ketika dia sedang menyiapkan kerja memasang paip telaga.

Mizi Deraman, 41, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam kerja berkenaan dikejutkan dengan situasi itu pada jam 7.30 petang, Selasa lalu setelah masuk hari kedua menggali di tepi sebuah rumah di Kampung Aman, Lundang di sini.

Menurutnya, dia telah menggali sedalam 9.45 meter sebelum terdengar bunyi aneh, menggelegak seperti air yang sedang mendidih, bagaimanapun, belum sempat dia berbuat apa-apa, satu letupan berlaku menyebabkan dia lari menyelamatkan dirinya.

“Letupan kuat itu menggegarkan kampung ini dan saya nampak gas keluar dari paip setinggi 5 meter melepasi bumbung rumah. Masa itu saya hanya mengucap dan bernasib baik kerana terselamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, wap itu mengeluarkan bau yang sangat kuat dan apabila dicucuh dengan mancis, wap tersebut menghasilkan api.

“Selepas kejadian pertama itu, empat lagi letupan besar berikutnya berlaku. Kejadian kedua terjadi pada jam 2 pagi, Rabu lalu serta berselang seli antara lewat petang dan awal pagi sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, juga penduduk asal kampung tersebut, Ismail@Rashid Hussin, 64, berkata, itu kejadian pertama dialaminya dan dia kini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

“Saya takut untuk berada di dalam rumah kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap ahli keluarga serta rumah saya. Selepas empat hari kejadian ini, tidur pun tidak lena,” katanya.

Menurutnya, dia yang menghubungi pihak bomba dinasihatkan anggota balai itu supaya menjauhi barangan mudah terbakar dari kawasan tersebut termasuk rokok.

“Bomba kata, gas yang keluar itu tidak berbahaya tetapi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan akan menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains untuk membuat kajian lanjut,” katanya.

Rabu, 4 Januari 2012

UMK DIAMBIL KESEMPATAN OLEH PAS


KOTA BHARU – Semalam beberapa pemimpin mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (Gempur) bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat.

Pada 31 Disember lalu, Profesor Emeritus Datuk Zainai Mohamed tidak disambung perkhidmatan dan jawatannya digantikan oleh Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Raduan Che Rose dilantik sebagai Naib Canselor UMK yang baru berkuat kuasa 1 Januari 2012.

Beberapa bulan lalu, menantu kepada Nik Aziz, Nik Yusri Muda dilantik sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK.

Dikhabarkan juga turut serta mencari rezeki di universiti yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu ialah beberapa lagi saudara mara pemimpin Pas Kelantan termasuk adik kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Zaki Ibrahim.

Turut bersama Yusri menyertai Pusat Pengajian Bahasa UMK ialah penceramah terkemuka Pas Dr. Aminurrasyid Yatiban yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Penyelarasan Mahasiswa Luar Negara, Dewan Pemuda Pas Pusat.

Daripada perkembangan ini maka tidak hairanlah Kabinet mahasiswa universiti termuda kerajaan BN itu diterajui oleh golongan Pro Mahasiswa yang condong kepada pembangkang.

Ini cerita lembu punya susu, sapi dapat nama. BN bersusah payah membina akhirnya ia diambil alih oleh orang lain.

Dan beberapa manusia yang berada dalam UMK ini mula menggigit tangan orang yang memberi makan.
Zainai telah berjaya mengangkat UMK di mata masyarakat negara ini disamping telah menjalinkan kerjasama dengan universiti luar negara dan pihak industri.

Ramai yang melihat beliau kelihatan masih segar dan sihat untuk berkhidmat tetapi disebabkan kegagalannya untuk menguruskan isu-isu diatas sehingga ‘tangan dan kaki Kerajaan BN digigit’ oleh orang dalam UMK maka perkhidmatannnya ditamatkan.

Bagaimanapun penulis yakin Zainai tidak bersalah kerana beliau menjalankan tugas atas dasar akademik tetapi disalah gunakan oleh penyokong Pas.

Inilah sikap Pas yang menyatakan setiap keputusan BN salah tetapi mereka akan mengambil kesempatan secepat mungkin untuk mengambil alih apa yang dibina untuk kepentingan peribadi. -Detikperubahan.com

SKUAD CAKNA BANJIR OLEH JPS KELANTAN

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membentuk satu pasukan dikenali sebagai Skuad Cakna Banjir (SKB) bagi menyiasat dan mengenal pasti punca berlakunya limpahan air di beberapa kawasan sekitar bandar ini sehingga menyebabkan beberapa jalan tenggelam.

Pengarahnya, Abu Bakar Yusof berkata, skuad itu yang akan menjalankan kerja-kerja pemantauan di kawasan kejadian melibatkan 15 pegawai JPS Kota Bharu dan Unit Pengurusan Persekutuan.

"Skuad ini akan bermula di Kota Bharu dengan melakukan rondaan dan melihat kawasan kejadian khususnya jalan-jalan yang dinaiki air.
"Di Kota Bharu misalnya, sudah mempunyai sistem saliran yang intensif dan cukup baik, tetapi masih berlaku limpahan air. Jadi, kita mahu tahu mengapa perkara itu masih berlaku," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pelan induk sistem saliran di kawasan bandar seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah dirangka oleh JPS, tetapi selepas segalanya disiapkan, JPS hanya bertanggungjawab kepada saluran utama manakala sistem jaringan saliran di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, melalui skuad yang baharu ditubuhkan itu, pihaknya akan mendapat maklumat yang jelas mengenai perkara berlaku selain dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kita mahu mengetahui kenapa sistem yang ada ini gagal, adakah sistem saliran yang ada ini tidak cukup ataupun ia masih belum sempurna semua perkara ini perlu dikaji.
"Selain itu, mungkin ada beberapa faktor lain yang menjadikannya tidak efisien antaranya kerana sampah-sarap, tiada saluran keluar, parit yang ada terlalu kecil atau sistem yang ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak," ujarnya.

SERENDAH RM1 DERMA MELALUI POTONGAN GAJI

KOTA BHARU- Kakitangan kerajaan, badan berkanun dan swasta kini boleh menderma kepada anak yatim dengan membuat potongan gaji mereka serendah RM1.

Setiausaha Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim), Mohamad Yaakob berkata, sebelum ini terdapat permintaan kakitangan kerajaan yang mahu menderma tetapi dalam kadar yang tidak menentu.

“Bagi memenuhi permintaan berkenaan, pihak kami mengalu-alukan kira-kira 70,000 kakitangan kerajaan yang ada di Kelantan, pekerja pejabat badan berkanun dan swasta digalakkan menderma melalui potongan gaji mereka.

“Bagi kakitangan kerajaan, pihak kami memudahkan cara dengan berunding dengan Jabatan Akauntan Negara dan Bank Negara Malaysia membenarkan gaji yang akan didermakan dipotong melalui Biro Angkasa serendah RM1,” katanya selepas memberi taklimat kepada 15 Pegawai Lantikan Baru Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Yaatim, di sini.

Beliau berkata, derma melalui potongan gaji sudah dijalankan sejak 2005 dan sekarang ini, Yaatim memperoleh RM3,000 sebulan derma daripada kakitangan kerajaan di Kelantan melalui pemotongan gaji.

Menurutnya, setiap tahun, sebanyak RM1.52 juta peruntukan diperlukan bagi membiayai kos keperluan 200 anak yatim yang ada di yayasan berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami memperoleh geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM310,000 setahun dan kami masih memerlukan banyak kos bagi menanggung perbelanjaan makan minum, persekolahan, pakaian termasuk wang persekolahan mereka RM2 sehari,” katanya.

Katanya, bagi pendaftaran baru, sehingga semalam, terdapat seramai 24 anak yatim dan pertambahan tersebut memerlukan kos berganda, namun penyertaan mereka bukanlah tetap pada satu-satu masa.

“Yaatim menganggarkan terdapat 10,000 anak yatim di negeri ini dan tidak semua antara mereka tinggal di rumah anak yatim, sebaliknya sebagai anak angkat atau menumpang di rumah saudara-mara,” katanya.

TEKA IKAN 'MOLLY' DAPAT HADIAH

KOTA BHARU - Pameran dan Pertandingan Ikan Hiasan anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelan­tan (Muzium Kelantan) melalui per­tandingan teka bilangan ikan ‘Molly’ menarik ramai pengunjungnya.

Pengarah Muzium Kelantan, Abdul Rahman Abdullah berkata, selain tertarik melihat ikan hiasan jenis Betta Halfmoon dan Plakat Halfmoon, pengunjung juga turut menyertai peraduan meneka bilangan ikan ‘Molly’.
“Bagi menyeronokkan peraduan ini, terdapat ikan jenis lain diletakkan pada satu akuarium dan mereka yang mengenali ikan ‘Molly’ berwarna oren membuat tekaan.
“Peserta yang meneka bilangan yang tepat atau hampir tepat dijadi­kan pemenang dan pihak kami menerima sambutan menggalakkan daripada penyertaan pertandingan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata, peserta bertuah memenangi hadiah berupa basikal fixie, hamper dan barangan elektrik sebagai menghargai penyertaan mereka.
“Aktiviti seumpama ini mampu menghiburkan pengunjung dan pe­minat ikan, malahan boleh dikatakan setiap hari selama seminggu pameran ikan hiasan berlangsung, mereka pasti tidak ketinggalan melihat akuarium teka ikan ‘Molly’,” katanya.
Katanya, setelah pameran dan pertandingan ikan hiasan berkenaan tamat pada Sabtu lalu, jika terdapat permintaan, pihaknya akan me­ngadakan pameran ikan hiasan pada masa yang lain terutama bagi program menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK). -Sinar Harian

Ahad, 1 Januari 2012

KENAPA TIADA TINDAKAN TERHADAP ARIFFAHMI? -NGO

KOTA BHARU – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mempersoalkan kenapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Mereka mendesak SPRM agar memaklumkan kepada umum sekiranya Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersalah atau tidak berhubung dakwaan berlaku penyelewengan ketika beliau menjawat jawatan tersebut.

SPRM diminta memaklumkan hasil siasatan untuk memastikan integriti suruhanjaya itu sentiasa terjaga kerana sikap berdiam diri SPRM berhubung isu itu boleh menimbulkan persepsi bahawa ada ‘tangan’ yang cuba menyelamatkan seseorang daripada didakwa atas kesalahan rasuah.

Timbalan Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, tempoh sehingga lebih dua tahun yang diambil SPRM untuk menyelesaikan siasatan sangat lama, menyebabkan timbul banyak persepsi negatif mengenainya.

“Ini boleh menimbulkan pelbagai reaksi termasuk adakah SPRM cuba melindungi sesetengah pihak apabila laporan hasil siasatan masih tidak dimaklumkan.

“Sikap mendiamkan diri itu juga sebenarnya menimbulkan persepsi negatif kepada yang dituduh dan kepada badan yang menjalankan siasatan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Siasatan SPRM terhadap Ariffahmi bermula pada 2009 apabila timbul dakwaan yang disiarkan di beberapa blog bahawa beliau melakukan penyelewengan di dalam PMBK selain kontroversi mengenai pelantikannya ke jawatan tersebut memandangkan Nik Aziz adalah bapa mertuanya.

Hasil siasatan itu, bagaimanapun masih belum diketahui kecuali kenyataan bekas Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu bahawa siasatan sudah selesai dan dihantar ke ibu pejabat suruhanjaya di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Ia adalah kenyataan terakhir yang dikeluarkan SPRM Kelantan manakala ibu pejabat SPRM di Putrajaya juga masih belum mendedahkan sebarang laporan mengenai siasatan tersebut.

Wan Khairul Ikhsan menegaskan, ada dua perkara asas yang tidak boleh dipolitikkan di negara ini iaitu agama dan perbuatan rasuah justeru sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan itu perlu dihukum.

Sementara itu, Presiden Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak), Norazli Ahmad berkata, dakwaan mengenai penyelewengan itu sangat penting untuk diketahui umum kerana ia membabitkan sebuah kerajaan yang memerintah negeri.

“Pandangan saya kalau salah, dakwa dan kalau tidak, bebaskan. Cuma masalahnya sekarang, SPRM tidak berkata apa-apa selain kenyataan suruhanjaya itu bahawa laporan siasatan sudah dihantar ke Putrajaya.

“Rakyat mempunyai hak untuk tahu, justeru kita desak agar SPRM keluarkan hasil laporan siasatan dan bukannya terus berdiam diri kerana kita mahu tahu dan tidak akan lupa mengenai dakwaan penyelewengan itu,” katanya.

150 WARGA EMAS DAPAT LESEN MOTOSIKAL

JELI 31 Dis. - Seramai lebih 150 warga emas di Kampung Ayer Lanas di sini gembira apabila berjaya memiliki lesen motosikal selepas lulus ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kampung itu melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).

Bagi Jusuh Awang, 62, ia menjadi hari yang amat bermakna dalam hidupnya apabila menerima lesen tersebut daripada pegawai JPJ memandangkan selama ini dia tidak pernah terfikir untuk memilikinya.

"Saya orang kampung, duit tidak cukup, jadi bila boleh dapat lesen lebih murah melalui program seperti ini amat bermakna kepada saya dan rakan-rakan yang turut menerimanya.

"Selama berpuluh tahun saya menunggang motosikal tetapi tidak pernah memiliki lesen. Jadi, bermula hari ini saya membawa lesen motosikal ke mana sahaja," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia pada Majlis Penutupan Program SKSJ di Sekolah Kebangsaan Ayer Lanas di sini, semalam.

Program tersebut dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Azmi Setapa.

Hadir sama, Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zamri Ali dan Pengarah JPJ Kelantan, Ab. Ghani Che Kassim.

Seorang lagi penerima, Mohamed Noor Daud, 65, berkata, ujian mendapatkan lesen motosikal yang dilakukan pada SKSJ lebih mudah berbanding ujian di sekolah memandu biasa.

"Semua ciri keselamatan itu memang ada dan perlu dilakukan, cuma saya rasa ujiannya tidak seperti di sekolah memandu kerana banyak prosedur perlu diselesaikan terlebih dahulu.

BEKAS PEMAIN REBAB HIDUP DAIF

KOTA BHARU - Pernah dipuja satu ketika dahulu kerana bakat dalam seni bermain rebab, namun kini bekas pemain rebab, Hamzah Awang, 73 sudah sakit dan tinggal di rumah usang bersama seorang anak lelakinya.

Lebih menyedihkan, rumah yang didiami tidak muat kenderaan empat roda, hanya boleh berjalan kaki atau menunggang motosikal sahaja menyusuri tanaman salak sejauh 50 meter ke rumahnya.

Bagi Hamzah, sakit tua yang dialami lima tahun lalu menyebabkan dia lebih banyak tinggal di rumah usang di Kampung Serdang Muda, Pak Badol, Bachok.

“Sebelum ini, pakcik banyak terlibat dengan kesenian bermain rebat di Bachok dan sekitar kampung terutama pada perasmian pada satu-satu majlis.

“Namun, sekarang ini, dengan keadaan sakit tua dan sering demam, pakcik tidak lagi giat dalam kesenian dan kebudayaan bermain rebab, malahan pakcik memohon mana-mana pihak berkaitan memberikan bantuan termasuk membaiki rumah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurut Hamzah, enam anaknya sudah berkahwin, mempunyai tanggungan masing-masing, namun kesemua mereka bekerja kampung dan tidak mampu menyara bapanya.

Anak lelakinya, Mohd Husnaidie, 26 yang tinggal bersamanya terpaksa membantunya memasak nasi, membuat kerja rumah dan menjaganya sakit setelah kematian isteri, Mek Wok Jaafar sejak 11 tahun lalu.

“Setiap kali hujan, bumbung rumah ini bocor, kami terpaksa menadah hujan di merata-rata tempat di dalam rumah dan lantai rumah pula dimakan anai-anai, tunggu masa akan runtuh.

“Pakcik tidak pernah memohon mana-mana bantuan daripada jabatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak tahu bagaimana cara untuk berbuat demikian,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh mengunjungi Hamzah di Kampung Serdang Muda, Pak Badol, Bachok atau menghubungi anak lelakinya di talian 012-9259943 (Husnaidie).