Sabtu, 10 Mac 2012

Dua Buah Kedai Hangus Terbakar Sekelip Mata

KOTA BHARU - Sebuah butik pengantin hangus dalam kabakaran membabitkan dua buah kedai di Ketereh dalam kejadian 1.30 petang semalam.

Pemilik butik pengantin berkenan, Wan Abdul Hakam Wan Omar, 35, berkata, hanya isteri, Rosidah Mohd Zinon, 33, dan beberapa pekerja berada dalam kedai tersebut manakala dia menunai solat Jumaat.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan kelengkapan pengantin pelanggan yang membuat tempahan untuk majlis kahwin bagi musim cuti sekolah yang bermula semalam, kerana semuanya hangus dalam kebakaran,” katanya.

Katanya, ketika kejadian berlaku, dia sedang mendengar khutbah Jumaat dan menerima berita mengenai kebakaran melalui seorang rakan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di kedai, saya lihat api semakin marak dan tidak dapat menyelamatkan segala barangan dalam kedai terbabit yang dijadikan stor barangan pengantin,

“Sedih juga apabila kedai yang disewa sejak lebih 10 tahun lalu hangus dalam sekelip mata. Apa pun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa dan kesemuanya selamat,” katanya.

Menurutnya, dia mengagarkan kerugian kira-kira lebih RM 150,000 berdasarkan 20 unit pelamin yang turut hangus dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu seorang lagi pemilik kedai membaiki seluar, Mohd Izzat Mohd Wardi, 24, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menunaikan solat Jumaat.

“Sampai di kedai kesemuanya sudah hangus hampir 80 peratus termasuk tujuh buah mesin jahit.

“Terkilan kerana tidak dapat selamatkan barangan dalam kedai di samping menanggung kerugian lebih RM30,000,” katanya.

Sementara Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok, berkata, kebakaran terbabit melibatkan dua kedai jenis sementara.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 1.51 petang dan sampai di tempat kejadian pada 1.53 petang. Dengan kekuatan dua jentera dari Balai Ketereh dan Darul Naim bersama 15 anggota api dapat dikawal kira-kira jam 2.03 petang.

Beliau berkata, setakat ini punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM 288,000.

Kelantan Tetap Bubar Dun Bersama Dewan Rakyat

KOTA BHARU - Di sebalik desas desus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam masa terdekat, Kerajaan Kelantan menegaskan tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bersama Dewan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pilihan raya berasing tidak memberi manfaat politik yang besar kepada Kelantan selain memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Sebagaimana yang saya sebut sebelum ini, atas sifat peribadi, saya mahu pilihan raya (peringkat Dun) diadakan serentak dengan (pilihan raya) Parlimen, kerana banyak perkara yang tidak elok boleh berlaku jika diadakan secara berasingan.

”Kalau (PR) nak buat mesyuarat, dia punya fasal, bagi saya Kelantan, saya (akan pohon) membubarkan Dun bersekali dengan Pusat,” katanya ketika ditemui di selepas kuliah Jumaat, di Dataran Ilmu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menjelaskan pemimpin tertinggi PR akan membuat satu ketetapan Selasa ini sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diperintah mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.

Guan Eng berkata, ketetapan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri itu hanya akan membubarkan Dun selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen, jika ia dibubarkan sebelum bulan Jun.

Dalam pada itu, Nik Aziz ketika ditemui di kediaman rasminya di JKR 10 berkata, beliau tidak mengulas lagi mengenai kecaman yang dibuat oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali termasuk mendakwa terdapat parasit dalam kepimpinan Pas Kelantan.

“Biar dia nak kecam Pas, dia bukan lagi ahli Pas, saya tidak mahu nafi ada parasit, sebab kalau saya nafi benda itu mungkin wujud, Pas dianggotai ahli yang berpelajaran, tidak ada parasit,” katanya.

Rabu, 7 Mac 2012

Daudsu Kemalangan, Kereta Mitsubishi Lancer Dianggarkan Kerugian RM 200,000.

KOTA BHARU - Pemain pertahan Kelantan, Daudsu Jamaluddin, 27, terlibat dalam kemalangan selepas dikatakan gagal mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan U di Jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun beliau bersama isteri, Nursyahmina Rasudin, 26 serta anaknya, Nik Dhiya Qistina, 18 bulan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar Perdana.

Menurutnya, semasa kejadian pada jam 8.15 malam, dia yang menaiki kereta jenis Mistubishi Lancer menghala ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, untuk menghantar isterinya ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi.

“Ketika sampai di selekoh berhampiran kem tentera Markas Lapan Briged, saya nampak sebuah motosikal dan seorang lelaki terbaring di atas jalan selepas dikatakan dilanggar sebuah kereta Iswara dari arah jalan yang sama, bagi mengelak melanggarnya, saya cuba pusing stereng kereta ke tepi tetapi tindakan saya itu menyebabkan kereta saya terbabas.

“Ini merupakan kejadian pertama yang melibatkan saya dan keluarga dalam kemalangan seumpama ini selepas empat tahun menggunakan kereta ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Daudsu berkata, walaupun terkejut dengan kejadian itu, dia masih bersyukur kerana anak serta isterinya terselamat.

“Kerugian dianggarkan lebih RM200,000 berdasarkan kerosakan dan nilai sebenar kereta terbabit iaitu RM124,000.

“Apa pun kejadian ini tidak akan saya lupakan kerana ia turut melibatkan keluarga, namun saya masih bersyukur kerana mereka selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal.

“Mangsa yang menaiki motosikal dikatakan membuat pusingan U dirempuh kereta Iswara dari Kota Bharu ke Pengkalan Chepa yang gagal mengelak lalu melanggar mangsa sementara kereta yang dipandu Daudsu yang berada pada arah yang sama, gagal mengelak motosikal yang dilanggar lalu terbabas ke tepi jalan.

"Lelaki terbabit mengalami kecederaan di kepala dan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) serta dilaporkan stabil,” katanya.

Azham berkata, pemandu Iswara membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) sejurus selepas kemalangan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Malaysia Tak Perlu Perubahan Revolusi - Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan program yang bersifat revolusi tetapi sebaliknya memerlukan pemimpin yang diyakini rakyat dan komited kepada perubahan.

NONEPerdana Menteri berkata tahun ini menjanjikan wujudnya perbincangan politik yang meluas di Malaysia dan beliau berharap lebih ramai perwakilan dapat memberikan tumpuan kepada permasalahan sebenar yang dihadapi.

"Natijahnya rakyatlah yang akan menentukan masa hadapan negara. Itulah erti sebenar kebebasan daripada penguasaan penjajah, itulah yang kita pertahankan sejak mula Merdeka dan sewajarnya kita semua berbangga memiliki sebuah Malaysia yang ditentukan oleh rakyatnya," katanya.

Najib berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk '1Malaysia Adalah Satu Komitmen Terhadap Transformasi' dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan yang menentang 1Malaysia membawa dua penampilan iaitu pihak yang bersikap tegar menyatakan bahawa pendekatan tahun 1971 dan gelombang pertama Polisi Ekonomi Baru tidak boleh diubah, dan pihak yang menuntut program perubahan yang berbentuk revolusi.

Berhubung kumpulan penentang pertama, Najib berkata: "Saya faham mengapa ada kegusaran pada mereka; terdapat banyak lagi ketidakseimbangan sejarah dalam masyarakat kita yang masih perlu ditangani, dan ini akan kita lakukan.

"Namun kita juga perlu menampilkan pendekatan yang dapat menggalakkan mereka yang boleh menyumbang kepada Malaysia untuk kekal di sini dan kita juga perlu mengakui bahawa penglibatan yang lebih meluas dalam ekonomi tidak akan dengan sendirinya menyelesaikan masalah kemiskinan di akar umbi."

NONEKepada mereka yang meragui 1Malaysia atas sebab-sebab tersebut, Najib menasihatkan mereka supaya bertenang dan bersabar kerana, menurut beliau, 1Malaysia adalah satu strategi dinamik untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Dan saya percaya kita akan mendapat lebih banyak manfaat daripadanya berbanding jika kita menolak perubahan," katanya.

Perdana Menteri menyifatkan kumpulan penentang 1Malaysia yang kedua sebagai lebih membimbangkan dengan terus-menerus menolak dan tidak berpuas hati dengan apa sahaja yang dilakukan kerajaan, serta menuntut program perubahan berbentuk revolusi.

Mengulas lanjut mengenai kumpulan ini, Najib berkata kata-kata mereka berubah mengikut siapa hadirin mereka dengan bermotivasikan ketamakan kuasa dan sentiasa membangkitkan kontroversi bagaikan ia satu keperluan dan kemestian bagi mereka.

"Sekiranya dihimpunkan semua program yang mereka canangkan, ternyata ia tidak teratur. Seseorang itu tidak boleh berjanji untuk melupuskan tol, melupuskan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sebanyak RM40 bilion dan mengurangkan defisit belanjawan semuanya dalam satu masa.

azlan"Dalam sekelip mata salah satu daripada janji-janji ini akan gagal dan akibatnya, rakyat menjadi marah dan ekonomi jatuh menjunam," tegas beliau.

Namun, di sebalik kebimbangan itu, Najib berkata beliau adalah seorang yang optimis.

"Saya percaya bahawa ketidakpuasan hati yang dihalakan ke arah kerajaan kerana kononnya gagal melaksanakan program mereka yang tidak masuk akal, akan hanya menemui kegagalan akhirnya.

"Ini kerana semakin banyak janji kosong yang ditabur kepada masyarakat umum, maka semakin hilanglah kepercayaan rakyat terhadap mereka," katanya.

- Bernama

Isnin, 5 Mac 2012

53.5 KM dari 75.5 KM Pantai di Kelantan Mengalami Hakisan Musim Tengkujuh

KOTA BHARU - Sepanjang 53.5 kilometer pantai di Kelantan dikenal pasti mengalami hakisan terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata hakisan tiga pantai di sini iaitu di Pantai Cahaya Bulan, Kuala Pak Amat, Pantai Sabak serta Pantai Irama di Bachok dikategorikan sebagai kritikal.

"Pantai di Kelantan adalah sepanjang 75.5 kilometer dengan 53.5 kilometer daripadanya mengalami hakisan.

"Tiga kawasan pantai di Kota Baharu dan di Bachok adalah serius manakala pantai lainnya dikategori sebagai ketara dan boleh diterima," katanya ketika menjawab soalan Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria (PKR-Guchil) di persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin.

Md Anizam berkata Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh dikategori sebagai ketara iaitu masih berlaku dan mengambil masa sehingga kira-kira 10 tahun lagi, jika tidak diatasi untuk mencapai peringkat kritikal.

Beliau berkata Pantai Mek Mah di sini pula dikategori sebagai tidak berbahaya selain ia tidak dimajukan sebagai pusat pelancongan seperti yang lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata sejak 2009 sehingga kini sebanyak 346 kes penderaan dilaporkan berlaku di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 322 kes membabitkan penderaan terhadap wanita manakala 24 kes adalah penderaan terhadap kanak-kanak. Sebanyak 173 kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lannjut," katanya menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok).

Wan Ubaidah berkata penderaan yang membabitkan wanita terhadap wanita juga dilaporkan berlaku yang membabitkan madu, ibu tiri, ibu kandung dan keluarga sendiri. - BERNAMA

Kes Diabetes di Kelantan Meningkat

KOTA BHARU — Kelantan khuatir dengan peningkatan ketara jumlah penghidap baru kes diabetes di negeri ini, yang berpunca daripada tabiat penduduknya mengambil gula secara berlebihan kata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri Wan Ubaidah Omar.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, kira-kira 25,500 penduduk menghidap diabetes dengan lebih 4,000 orang merupakan kes baru.

“Ini yang kita bimbangkan kerana segala langkah telah kita lakukan untuk memberi kesedaran kepada rakyat namun mereka menganggap penyakit ini sebagai biasa sahaja.

“Mereka telah menjadikan mengambil gula berlebihan ini adalah gaya hidup rakyat Kelantan dan penyakit ini merupakan penyakit biasa yang tidak perlu digeruni,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.— BERNAMA

Sabtu, 3 Mac 2012

Calon MB Kelantan Belum Lagi Di Tentukan- Najib

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib berkata calon Menteri Besar dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kelantan belum ditentukan lagi setakat ini.

Perdana Menteri berkata BN akan menentukan barisan pemimpin itu apabila tiba masanya kelak.

"Kita faham, bila sampai masanya (nanti) kita akan bariskan pemimpin BN yang berwibawa untuk mempimpin kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Bersama Profesional Kelantan di sini, Jumaat.

Najib mengulas soalan pemberita mengenai kesediaan BN dan Umno meletakkan nama-nama sebagai pemimpin negeri berikutan faktor calon yang bakal menjadi Menteri Besar Kelantan penting demi menjamin kemenangan Barisan Nasional.

Menjawab soalan berhubung kenyataannya bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed adalah wakil beliau, Najib berkata ia adalah di dalam konteks Umno di mana Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.

Mengenai kajian bahawa Mustapa adalah calon terbaik untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau berkata: "Oh anda nak Tok Pa (Mustapa), tak apalah kita tengok dulu pendapat semua pihak... Tak susah kalau Tok Pa sanggup."

Najib berkata calon-calon akan diumumkan tidak terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.

Merumuskan lawatan seharinya di sini, beliau berkata walaupun suasana baik di kalangan penyokong tetapi ia bukan satu perkara mudah untuk parti kembali menawan negeri ini.

"Saya sedar bahawa kita tak boleh anggap jalan itu mudah kepada kita dan mesti terus berusaha lakukan yang diperlukan dalam menjamin kemenangan kita," katanya.

Beliau berkata anggota Umno mesti setia kepada parti dan kesetiaan itu akan teruji apabila nama calon diumumkan kelak.

"Saya nampak komitmen bertambah baik dan kita memberikan tumpuan turun ke bahagian-bahagian untuk yakinkan mereka, bagi komitmen mereka untuk apa juga keadaan dengan menerima keputusan kepimpinan," katanya.

Najib berkata perkara ini elok diperingatkan selalu supaya anggota parti tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan parti.

Ditanya mengenai tuntutan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut kerajaan PAS Kelantan supaya menunaikan janji pilihan raya, Najib berkata rakyat kini sudah bijak menilai.

"Ada kumpulan NGO, (yang mana) bukan Umno di belakang (mereka) itu. Sekarang ni tak boleh tutup. Rakyat berpengetahuan tinggi dan bermaklumat.

"Kalau ada sesiapa yang tak tunai janji mereka tentu bangkit mendesak menuntut janji-janji berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar) tampil menuntut kerajaan PAS Kelantan supaya menunaikan 22 janji sepanjang mentadbir negeri selama 21 tahun lepas.

Mengenai bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mendakwa bahawa beliau membeli undi di kawasan yang ditandinginya, Najib berkata perkara itu diserahkan Lembaga Disiplin Umno.

Abdul Kadir, yang juga bekas menteri kabinet, mendakwa beliau pernah memberi RM200 sehingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya BN untuk tujuan membeli undi. -Bernama.

Penafian Hamas Bukti Anwar Sebelahi Israel - Najib

KOTA BHARU -  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penafian Hamas bahawa ia mempunyai pendirian selari dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kenyataan Ketua Pembangkang itu yang menyebelahi Israel.

Perdana Menteri berkata kenyataan Anwar nyata bertentangan dengan pendirian Hamas yang memperjuangkan hak rakyat dan negara Palestin.

"Dia (Hamas) tolaklah sebab kenyataan Anwar itu memang menunjukkan dia (Anwar) lebih memberi keutamaan kepada keselamatan negara Israel berbanding perjuangan orang Palestin yang ditindas dan dizalimi (rejim Israel) selama ini," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Najib mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik Hamas Dr Mousa Abu Marzook semalam yang menafikan pendirian pertubuhan itu selari dengan Anwar yang menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan Israel.

Dr Mousa dipetik sebagai berkata bahawa pertubuhan itu sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis.

Anwar sebelum ini mendakwa pemimpin Hamas Khalid Mashal menerima baik penjelasannya berhubung kontroversi berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu di Qatar.

Najib berkata pendirian kerajaan terhadap Israel adalah konsisten sejak sekian lama dan ini terbukti melalui surat-surat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kepada tiga bekas pemimpin negara itu.

Kandungan surat itu antara lain menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel dan tidak pernah menyokong negara itu mahupun perkara berkaitan negara itu. BERNAMA

Najib Jamin Sisa LYNAS Akan Dibuang Jauh Dari Penempatan Penduduk

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan akan dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari penempatan penduduk.

Perdana Menteri berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira soal kelegaan masyarakat tempatan daripada segi psikologi dan emosi.

"Walaupun saintis sudah mempunyai bukti termasuk akuan dari badan-badan antarabangsa sisa buangan itu selamat tetapi kerana masih ada orang yang tidak puas hati yang membabitkan soal emosi dan psikologi, jadi kita putuskan kena pindahkan sisa buangan itu ke tempat yang lebih jauh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama Profesional Kelantan di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak.

Perdana Menteri menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Isu Lynas telah dimanipulasi oleh pembangkang dengan mengajak rakyat berdemonstrasi di beberapa tempat pada Ahad lalu. - Bernama

Jumaat, 2 Mac 2012

Hasil Tadbir Urus Yang Baik Majukan Negara, Manfaatkan Rakyat - Najib

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil tadbir urus yang baik menjadikan negara semakin maju dan dengan kemakmuran itu, rakyat terutama yang perlu dibantu kini mendapat manfaat sewajarnya.
Perdana Menteri berkata ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.1 peratus dengan nilai pelaburan mencecah RM105 bilion serta nilai hasil kerajaan pusat yang bertambah sebanyak RM26 bilion tahun lepas membuktikan kecekapan tadbir urus kerajaan.

"Ini bukan sedikit punya pitih (wang) dan lebihan yang ada itu lebih baik kita berikan kepada rakyat yang mana 80 peratus isirumah di seluruh negara mendapat manfaat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Seramai 300,000 isi rumah penduduk Kelantan turut mendapat manfaat dan ini kerana apa? Kerana urus tadbir negara dapat dilakukan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Ramah Mesra Bersama Profesional Kelantan di Padang Kompleks Wakaf Mek Zainab di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis itu.

Najib berkata dalam memberikan bantuan kepada rakyat, kerajaan sama sekali tidak memilih bulu tanpa mengira faham politik masing-masing.

"Yang pakai baju merah kita bagi, yang pakai baju biru pun kita bagi dan yang pakai baju hijau pun kita bagi," katanya.

Beliau berkata apa sahaja tohmahan pembangkang terhadap langkah kerajaan Barisan Nasional, ia sedikit pun tidak menjadi kudis sebaliknya berharap Allah SWT memberikan pahala di atas keikhlasan itu.

"Inilah negara berkebajikan yang sebenarnya dan kalau tidak urus tadbir negara dengan baik, sudah tentu kita tidak mampu berpeluang untuk sama-sama memajukan negara dan ada yang menjadi penganggur," katanya.

Perdana Menteri berkata kepimpinan yang baik sudah semestinya akan memastikan agenda nasional berjaya dan hasrat kerajaan itu mahu melihat semua rakyat tidak terkecuali menikmatinya.

Mengulas 12 resolusi yang diserahkan Peneraju Profesional Kelantan (Kelpro) agar sesuatu dapat dilakukan kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri ini Najib berkata golongan profesional itu perlu berani membuat perubahan kepimpinan pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Sebahagian besar boleh kita (BN) laksanakan. Tiada masalah buat rumah perumahan rakyat. Nak bawa industri boleh buat. Masalah air tak ada hal.

"Kalau resolusi ini nak kita buat (realisasikan), kita mesti berani buat perubahan," katanya.

Najib berkata beliau tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimahukan golongan profesional itu jika tidak mahukan kerajaan yang benar-benar mampu membawa negara dan negeri ke tahap yang sepatutnya.

"Mereka ini sudah berjaya dan kita tidak boleh kecewakan mereka dan kita perlu lakukan yang terbaik untuk itu," katanya. BERNAMA

Khamis, 1 Mac 2012

PAS BUKAN HAK DZULKEFLY, JANGAN SEMBARANGAN SENTUH DASAR PARTI - PEMUDA PAS

SHAH ALAM –  Dewan Pemuda Pas menggesa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad agar menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf berikutan responsnya bahawa parti itu bersedia menerima seorang Timbalan Presiden Pas daripada kalangan bukan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, perkara-perkara yang besar dan melibatkan dasar parti perlu diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti sama ada muktamar tahunannya atau Majlis Syura Ulama selain memerlukan pindaan Perlembagaan Pas.

Katanya, langkah-langkah itu memerlukan proses yang panjang dan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan semua ahli.

“Bukan semudah itu untuk melontarkan sesuatu pandangan yang besar apabila melibatkan dasar dan perlembagaan parti.

“Beliau sepatutnya merujuk Perlembagaan Pas serta kepemimpinan tertinggi terlebih dahulu sebelum melontarkan pandangan kerana boleh menimbulkan satu polemik yang meresahkan ahli di peringkat bawahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shahir, natijah dari kenyataan Dzulkefly semalam, pengundi Melayu juga sudah mula mempertikaikan kenyataan beliau dengan menganggap Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya.

Kelmarin, Dzulkefly membuat kenyataan itu ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Menurut beliau dalam Islam, terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah, contoh yang boleh berubah adalah perkara politik.

Katanya, Pas tidak terlalu taksub dengan berkeras mengatakan orang bukan Islam tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti. Ujar, Mohd Shahir, perlembagaan parti dengan jelas menggariskan syarat bahawa ahli mestilah beragama Islam.

Katanya, sebagai sebuah parti Islam yang meletakkan dasar dan matlamat perjuangannya Islam, sudah tentu mereka yang mendukungnya juga mesti terdiri daripada orang-orang Islam.

Sementara itu, Mohd Shahir berkata, amat sukar bagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam menerima kepemimpinan tertingginya daripada kalangan bukan Islam.

“Sepatutnya sebagai pimpinan Pas di peringkat pusat, beliau perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan berbincang dengan kepemimpinan Pas Pusat supaya kenyataan beliau selari dengan dasar parti,” katanya.

“Kami berharap Dr Dzulkefly Ahmad lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pas,” katanya.- Sinar Harian