Rabu, 20 Jun 2012

Petani Bakal Rugi RM150 Juta

KOTA BHARU - Golongan petani di negeri ini bakal menanggung kerugian hampir RM150 juta akibat krisis air sungai Kelantan yang menjadi sumber utama bekalan air ke kawasan sawah padi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kemubu (Kada),Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi yang berlaku itu turut menyebabkan Kada kehilangan hasil pengeluaran padi sebanyak 120,000 tan.

Beliau berkata, keadaan paras air yang rendah, menyebabkan stesen pam Kada tidak dapat menyalurkan air untuk dialirkan ke sawah-sawah padi di setiap kawasan yang diselia pihak terbabit.

“Bekalan air ke bendang bergantung kepada sumber air sungai yang dialirkan melalui pam utama di Kampung Kemubu sendiri di samping Lemal dan Kasar di Pasir Mas.

Jika keadaan paras air sungai terlalu rendah, kerja-kerja mengepam air untuk disalurkan ke sawah tidak dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, dalam situasi terbabit petani tidak dapat menuai hasil padi dan perkara itu turut menjejaskan mata pencarian mereka.

“Beberapa langkah sudah diatur bagi mengatasi masalah terbabit, antaranya menempatkan pam-pam bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh kawasan Kada bagi mengepam air dari mana-mana sumber bekalan air berdekatan seperti sungai dan parit buang untuk dialirkan ke sawah.

“Punca air Sungai Kelantan kini semakin susut, dan masalah ini bukannya disebabkan musim kemarau tetapi akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara berleluasa di kawasan tadahan hujan di Hulu Kelantan,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, aktiviti perlombongan pasir secara besar-besaran beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca tanah di kawasan sungai mendap dan semakin cetek sehingga menyekat aliran sungai.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar diharap kaji perkara itu dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Jumaat, 15 Jun 2012

Penganggur didakwa tipu RM40,000 wang pesara

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang pesara menyebabkan warga emas terbabit menyerahkan RM40,000 kepadanya, tahun lalu.

Tuduhan terhadap Shee Fook, 64, dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan dihadapi Fook, dia bersama tiga yang masih bebas didakwa memperdaya Mohd Nor Mat Hassan, 76, sehingga mangsa menyerahkan RM40,000 bagi tujuan mengelak pengenaan cukai pendapatan berserta dengan pembayaran sewa tanah sebanyak lima tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.15 petang, 7 Ogos di sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Dia yang berasal dari Kampung Kuala Satap Sebuti, Sarawak itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Susulan penafian itu, Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menetapkan 12 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman - Sinar Harian

Khamis, 14 Jun 2012

PGA gagalkan cubaan seludup baju, beras

RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup beras dan baju lelaki dipercayai dibawa masuk dari negara jiran bernilai RM29,850 di dua lokasi berasingan digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA), petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintenden Rooslan Radzi berkata, serbuan pertama kira-kira jam 1 petang membolehkan pasukan ini merampas 400 kilogram (kg) beras bernilai RM1,200 dan turut menahan seorang lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dalam operasi kedua kira-kira 4 petang di Pangkalan Haram Tebu, Kompeni B,PGA yang diketuai Asisten Superintenden Ismail Isrudin merampas 517 helai baju sementara penyeludup melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota terlibat terpaksa mengekori kenderaan dipandu lelaki berusia 34 tahun ini sebelum mengarahkannya memberhentikan perjalanannya. Setelah pemeriksaan dibuat, anggota PGA menemui 16 kampit beras di tempat duduk hadapan, belakang serta boot masing-masing seberat 25 kg dipercayai untuk dibawa ke Melor,” katanya di sidang media di Taman Bakti, di sini.

Rooslan berkata, beliau melihat ‘trend’ penyeludup mula berubah apabila terus menghantar barangan dibawa masuk ke negara ini kepada pelanggan berbanding menyimpan di stor terlebih dahulu.

Menurutnya, barangan yang dirampas ini dipercayai dibawa masuk menerusi pangkalan haram termasuk Pangkalan Tebu.

Pada sidang media sama, Rooslan berkata, sehingga kini barangan bernilai RM2.4 juta dirampas PGA setelah mengambil alih tugas bulan lalu.

Menurutnya, dalam tempoh kurang seminggu juga pihaknya berjaya merampas barangan bernilai RM500,000 setelah kejayaan mencatat RM1.8 juta sehingga 6 Jun lalu.

Sabotaj mahu gagal projek lebuh raya rakyat


KOTA BHARU - Belum pun pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bermula sudah timbul dakwaan terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan pembinaan projek itu yang dikenali sebagai lebuh raya rakyat.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pembinaan lebuh raya itu masih mengikut jadual walaupun terdapat usaha untuk mengganggu kontraktor yang terlibat.

Malah kata beliau, pihaknya juga melantik lapan juruukur baru yang terlibat dalam proses mengenal pasti laluan setelah juruukur yang asal diganggu.

“Kontraktor yang dilantik masih lagi kuat dengan ikatan perjanjian walaupun pihak tertentu cuba untuk (hasut supaya) tidak terlibat, ini adalah satu dari cubaan tetapi semuanya masih mengikut jadual,” kata beliau selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau terkejut apabila mendapati konsep wakaf yang diperkenalkan mendapat sambutan baik bukan sahaja dari segi kewangan malah perkhidmatan.

Mengulas mengenai kritikan sinis pihak tertentu yang meragui usaha pembinaan tersebut, Husam berkata, beliau tidak akan memberi banyak reaksi sebaliknya menunjukkan usaha itu melalui tindakan.

“Saya tak akan jawab lisan, sebaliknya melalui tindakan, kita sudah lantik kontraktor dan mempunyai perjanjian serta struktur kewangan, bagi kita empat bulan pun dah nampak kemajuan,” katanya.

Bagi tujuan yang sama, Husam dalam nada sinis berkata, pihaknya akan melelong perkakasan pembinaan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh peserta perhimpunan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) minggu lalu.

Menjawab kritikan mengenai terdapat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan mempunyai kaitan dengan syarikat Genting, Husam berkata, mereka yang membuat dakwaan itu terlebih dahulu perlu menyelidik kenapa Kerajaan Pusat tidak membina sedangkan ia tanggungjawab mereka. - Sinar Harian

Sabtu, 10 Mac 2012

Dua Buah Kedai Hangus Terbakar Sekelip Mata

KOTA BHARU - Sebuah butik pengantin hangus dalam kabakaran membabitkan dua buah kedai di Ketereh dalam kejadian 1.30 petang semalam.

Pemilik butik pengantin berkenan, Wan Abdul Hakam Wan Omar, 35, berkata, hanya isteri, Rosidah Mohd Zinon, 33, dan beberapa pekerja berada dalam kedai tersebut manakala dia menunai solat Jumaat.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan kelengkapan pengantin pelanggan yang membuat tempahan untuk majlis kahwin bagi musim cuti sekolah yang bermula semalam, kerana semuanya hangus dalam kebakaran,” katanya.

Katanya, ketika kejadian berlaku, dia sedang mendengar khutbah Jumaat dan menerima berita mengenai kebakaran melalui seorang rakan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di kedai, saya lihat api semakin marak dan tidak dapat menyelamatkan segala barangan dalam kedai terbabit yang dijadikan stor barangan pengantin,

“Sedih juga apabila kedai yang disewa sejak lebih 10 tahun lalu hangus dalam sekelip mata. Apa pun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa dan kesemuanya selamat,” katanya.

Menurutnya, dia mengagarkan kerugian kira-kira lebih RM 150,000 berdasarkan 20 unit pelamin yang turut hangus dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu seorang lagi pemilik kedai membaiki seluar, Mohd Izzat Mohd Wardi, 24, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menunaikan solat Jumaat.

“Sampai di kedai kesemuanya sudah hangus hampir 80 peratus termasuk tujuh buah mesin jahit.

“Terkilan kerana tidak dapat selamatkan barangan dalam kedai di samping menanggung kerugian lebih RM30,000,” katanya.

Sementara Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok, berkata, kebakaran terbabit melibatkan dua kedai jenis sementara.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 1.51 petang dan sampai di tempat kejadian pada 1.53 petang. Dengan kekuatan dua jentera dari Balai Ketereh dan Darul Naim bersama 15 anggota api dapat dikawal kira-kira jam 2.03 petang.

Beliau berkata, setakat ini punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM 288,000.