Khamis, 14 Jun 2012

PGA gagalkan cubaan seludup baju, beras

RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup beras dan baju lelaki dipercayai dibawa masuk dari negara jiran bernilai RM29,850 di dua lokasi berasingan digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA), petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintenden Rooslan Radzi berkata, serbuan pertama kira-kira jam 1 petang membolehkan pasukan ini merampas 400 kilogram (kg) beras bernilai RM1,200 dan turut menahan seorang lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dalam operasi kedua kira-kira 4 petang di Pangkalan Haram Tebu, Kompeni B,PGA yang diketuai Asisten Superintenden Ismail Isrudin merampas 517 helai baju sementara penyeludup melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota terlibat terpaksa mengekori kenderaan dipandu lelaki berusia 34 tahun ini sebelum mengarahkannya memberhentikan perjalanannya. Setelah pemeriksaan dibuat, anggota PGA menemui 16 kampit beras di tempat duduk hadapan, belakang serta boot masing-masing seberat 25 kg dipercayai untuk dibawa ke Melor,” katanya di sidang media di Taman Bakti, di sini.

Rooslan berkata, beliau melihat ‘trend’ penyeludup mula berubah apabila terus menghantar barangan dibawa masuk ke negara ini kepada pelanggan berbanding menyimpan di stor terlebih dahulu.

Menurutnya, barangan yang dirampas ini dipercayai dibawa masuk menerusi pangkalan haram termasuk Pangkalan Tebu.

Pada sidang media sama, Rooslan berkata, sehingga kini barangan bernilai RM2.4 juta dirampas PGA setelah mengambil alih tugas bulan lalu.

Menurutnya, dalam tempoh kurang seminggu juga pihaknya berjaya merampas barangan bernilai RM500,000 setelah kejayaan mencatat RM1.8 juta sehingga 6 Jun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan