Ahad, 1 Januari 2012

BEKAS PEMAIN REBAB HIDUP DAIF

KOTA BHARU - Pernah dipuja satu ketika dahulu kerana bakat dalam seni bermain rebab, namun kini bekas pemain rebab, Hamzah Awang, 73 sudah sakit dan tinggal di rumah usang bersama seorang anak lelakinya.

Lebih menyedihkan, rumah yang didiami tidak muat kenderaan empat roda, hanya boleh berjalan kaki atau menunggang motosikal sahaja menyusuri tanaman salak sejauh 50 meter ke rumahnya.

Bagi Hamzah, sakit tua yang dialami lima tahun lalu menyebabkan dia lebih banyak tinggal di rumah usang di Kampung Serdang Muda, Pak Badol, Bachok.

“Sebelum ini, pakcik banyak terlibat dengan kesenian bermain rebat di Bachok dan sekitar kampung terutama pada perasmian pada satu-satu majlis.

“Namun, sekarang ini, dengan keadaan sakit tua dan sering demam, pakcik tidak lagi giat dalam kesenian dan kebudayaan bermain rebab, malahan pakcik memohon mana-mana pihak berkaitan memberikan bantuan termasuk membaiki rumah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurut Hamzah, enam anaknya sudah berkahwin, mempunyai tanggungan masing-masing, namun kesemua mereka bekerja kampung dan tidak mampu menyara bapanya.

Anak lelakinya, Mohd Husnaidie, 26 yang tinggal bersamanya terpaksa membantunya memasak nasi, membuat kerja rumah dan menjaganya sakit setelah kematian isteri, Mek Wok Jaafar sejak 11 tahun lalu.

“Setiap kali hujan, bumbung rumah ini bocor, kami terpaksa menadah hujan di merata-rata tempat di dalam rumah dan lantai rumah pula dimakan anai-anai, tunggu masa akan runtuh.

“Pakcik tidak pernah memohon mana-mana bantuan daripada jabatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak tahu bagaimana cara untuk berbuat demikian,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh mengunjungi Hamzah di Kampung Serdang Muda, Pak Badol, Bachok atau menghubungi anak lelakinya di talian 012-9259943 (Husnaidie).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan