Selasa, 27 Disember 2011

ABANG KE PENJARA GARA-GARA ADIK DURJANA


KOTA BHARU – Niat seorang abang menegur perlakuan adik perempuannya yang didakwa sering pulang lewat malam bertukar pengalaman pahit apabila dia terpaksa meringkuk sebulan di penjara gara-gara didapati bersalah mengacu parang kepada adiknya itu.

Lebih menyedihkan, sejurus hukuman diputuskan, Mohd Noor Einadzlie Yahaya, 30, mengalirkan air mata menangis sehingga mengundang hiba seluruh orang awam yang berada di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Bekas pekerja sebuah pusat snuker tersebut mengaku bersalah pada pertuduhan mengugut Siti Noor Kamariah Yahaya, 28, menggunakan parang dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian kepada janda tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah ibu mereka di Kampung Langgar, di sini pada jam 12.15 tengah malam, 22 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya nege­ri, Mohd Hafiz Abd Rahman.
Bagaimanapun, Mohd Noor Einadzlie dalam rayuannya menafikan dia mahu mencederakan adiknya itu, sebaliknya, dia memberitahu mahkamah hanya ingin memberi tunjuk ajar kepada Siti Noor Kamariah.

“Mulanya saya ingat pencuri, sebab itu saya pegang parang. Tetapi, tengok-tengok dia yang balik dan cabar saya libas parang. Saya lepas parang kemudian tumbuk dia.

“Dia ingat rumah ni hotel ke balik malam-malam. Dia bercakap kurang ajar dengan saya. Saya kan abang dia. Saya cuma nak ajar dia supaya hormat saya,” katanya.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly bagaimanapun menegur perbuatan tertuduh yang menggunakan senjata berbahaya tersebut.

“Walaupun tingkah laku adik kamu tidak sesuai tetapi cara kamu melarang dengan mengugutnya dengan parang juga tidak betul, malah, hanya menjerat diri kamu sendiri.

“Larang sahaja sudahlah. Jangan sampai guna senjata berbahaya yang boleh membawa maut. Lebih-lebih lagi terhadap adik-beradik sendiri,” katanya.

RUMAH DIGENANGI LIMPAHAN AIR LAUT TUJUH JAM

KOTA BHARU – Lebih 40 keluarga di pesisir pantai Bachok dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini terpaksa bersengkang mata apabila rumah mereka digenangi limpahan air laut selama tujuh jam berikutan fenomena air pasang besar diikuti ombak besar.

Di Bachok, kawasan yang terlibat ialah Kampung Pantai Damak, Kampung Perupok, Kampung Kubang Golok, bandar lama Bachok berhampiran Pantai Irama, Kampung Tok Burung dan Kampung Tanjung Chat.

Sementara itu, beberapa kawasan riadah di PCB turut musnah dipukul angin dan ombak besar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam.

Seorang penduduk Kampung Kubang Golok, Ahmad Azim, 39, berkata, kejadian ombak besar itu merupakan kali pertama dalam hidupnya sepanjang menetap di kampung tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

Katanya, penduduk mula bertindak menyelamatkan barangan penting dalam rumah masing-masing sebaik sahaja limpahan air masin mengalir masuk menerusi ruang dapur rumah mereka.
”Mengikut cerita orang tua, ini kali kedua fenomena ini berlaku sejak 63 tahun dan kali ini lebih besar berbanding pada tahun 1948,” katanya.

Menurutnya, angin kencang dan ombak besar bermula pada jam tujuh malam yang menyebabkan limpahan air masin sedalam di antara 0.2 hingga 0.4 meter masuk kediaman penduduk setempat.
Peniaga di PCB, Hafi Abd Rahman, 29, berkata, sebelum ini fenomena angin dan ombak melanda sejak dua hari yang lalu, namun tidak menyangka ia sebesar apa yang berlaku malam kelmarin.

“Penduduk pesisir pantai yang biasa menghadapi masalah tiupan angin kencang ini sudah membina pengadang angin menggunakan susunan daun kelapa namun terjahan kuat menyebabkan usaha mengurangkan gegaran ini gagal,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 1 pagi mendapati sebahagian besar penduduk bandar Bachok berkumpul berhampiran pusat peranginan Pantai Irama menyaksikan ombak besar. – Sinar Harian

Ahad, 25 Disember 2011

RM83.5 JUTA ZAKAT TELAH DIKUMPUL

KOTA BHARU 24 Dis. - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjaya mengutip zakat berjumlah RM83.5 juta sehingga 17 Disember tahun ini.

Jumlah terkini kutipan zakat itu dipaparkan menerusi portal rasmi Maik http//www.e-maik.my yang turut menyediakan kemudahan membayar zakat secara atas talian.

Menurut kenyataan dari laman sesawang itu, bagi kemudahan umat Islam, sepanjang bulan ini, kaunter zakat Maik di Kompleks Islam Lundang dibuka setiap hari termasuk pada hari kelepasan am iaitu Jumaat dan Sabtu dan juga pada cuti umum.

Selain itu katanya, zakat juga boleh ditunaikan di Pusat Mini Kutipan Zakat Maik yang beroperasi di enam buah masjid utama iaitu Masjid Bandar Pasir Mas, Pasir Mas dan Masjid Sultan Yahya Petra.
Machang; Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh; Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah dan Masjid Ismaili, Tumpat.

Pada hujung November lalu, akhbar ini melaporkan Setiausaha Maik, Che Hamat Che Muda berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat tahun ini akan meningkat sehingga RM85 juta berbanding RM71 juta yang dikutip sepanjang tahun lalu.

Sabtu, 24 Disember 2011

NIK AZIZ NAFI BERKEADAAN UZUR

KOTA BHARU-Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyangkal dakwaan beliau berada dalam keadaaan uzur dan menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini.
Nik Aziz, 80 berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.
 “Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fadzli Shaari memaklumkan bahawa Nik Aziz telah dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu untuk berehat dan dimaklumkan dibenarkan pulang pagi kelmarin.
Ogos lalu, tersebar khabar angin bahawa Nik Aziz menghidap barah prostat bagaimanapun beliau menafikannya dan menjelaskan hanya menghadapi masalah saluran jantung yang tersumbat akibat kolestrol yang tinggi.
Sebelum ini, biarpun dipertikaikan keadaan kesihatannya Nik Aziz berulang kali menegaskan beliau akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.

HRPZII SANGKAL DAKWAAN TIDAK MENYELAMATKAN PESAKIT

KOTA BHARU - Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menyangkal dakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesakit yang mendapat rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan ketika diminta mengulas dakwaan itu berkata, ia tidak benar kerana pihak hospital sudah melakukan tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan pesakit.

“Pesakit ketika dibawa ke Unit Kecemasan mengalami pendarahan serius otak kerana masalah darah tinggi yang tidak terkawal dan kami mengenal pasti keadaan berkenaan melalui CT xray, sebelum merujuk kes berkenaan kepada pakar bedah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Setelah meneliti CT xray yang dibuat, pakar berkenaan menyatakan rawatan melalui pembedahan sudah tidak sesuai lagi dan rawatan secara konservatif sahaja disarankan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, Ghazali berkata, doktor yang merawat sudah memaklumkan perkara itu kepada keluarga pesakit, namun kenyataan tersebut seolah-olah sukar diterima.

Menurutnya, hospital terus memberikan rawatan secara IV line (melalui darah) dan kematian pesakit sudah dijangka dalam masa terdekat.

Mengulas ketidakselesaan keluarga terhadap penjelasan yang dibuat di hadapan pesakit, Ghazali berkata, ada ketikanya perkara itu perlu dinyatakan secara terus kepada pesakit berkenaan.

“Namun dalam kes ini, saya bagi pihak doktor terlibat memohon maaf jika perkara itu menimbulkan rasa kurang selesa di hati keluarga pesakit, dan dalam kes ini pesakit tidak sedarkan diri (koma), tetapi boleh bernafas sendiri,” katanya.

Ghazali berkata, jika masih pihak keluarga belum berpuas hati dengan penjelasan ini, mereka boleh berjumpa doktor berkenaan atau saya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Ghazali menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Penyakit darah tinggi adalah pembunuh dalam diam, ia penyakit yang paling ditakuti kerana boleh menyebabkan strok jika tidak dikawal dengan baik, bila dirujuk ke hospital dalam keadaan sudah kritikal, tiada apa dapat dilakukan,” katanya.

Menurutnya, penyakit darah tinggi salah satu penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal.

Rabu lalu, Sinar Harian menyiarkan kekesalan anak kepada wakil peribadi Menteri Besar, Shafini Hassan, yang mendakwa menerima layanan kurang mesra daripada pegawai perubatan bertugas merawat arwah ibunya, Siti Sapur Mat Rani.

Siti Sapur dimasukkan ke hospital berkenaan Khamis minggu lalu selepas tidak sedarkan diri akibat darah tinggi yang tidak terkawal, sebelum meninggal dunia pagi jam 1.20 pagi Selasa lalu.

BONUS: PENEROKA DIMINTA TIDAK IKUT RENTAK PEMBANGKANG


KOTA BHARU 24 Dis. — Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad meminta peneroka Felda tidak mengikut rentak pembangkang yang mempertikai pemberian bonus dan insentif kepada mereka setiap tahun.

Beliau berkata, pemberian bonus insentif yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berjumlah kira-kira RM102.6 juta adalah bagi meringankan bebanan mereka, terutama dalam berdepan musim persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

"Ia juga sebagai penggalak kepada masyarakat supaya mengusahakan kebun dengan lebih baik dan menjual hasil kepada Felda,” katanya kepada pemberita pada majlis penerangan kepada peneroka rancangan kemajuan tanah itu di sini hari ini.

Isa kemudian melawat dan bertemu peneroka Felda Gugusan Gua Musang di Kemahang, Tanah Merah.

Isa berkata, pembangkang boleh memanipulasi pemberian bonus itu dengan pelbagai dakwaan seperti menggula-gula peneroka.

"Perdana Menteri banyak buat transformasi, ramai anak peneroka sudah berjaya.
"Ini adalah usaha kita yang berterusan, walaupun disebut sebagai gula-gula, tak apalah, asalkan faedah dapat pada peneroka. Sedangkan mereka hanya cakap saja, namun mereka tidak beri apa-apa,” katanya.

Beliau juga berkata, peneroka kini menikmati apa yang mereka usahakan menerusi pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan untuk faedah mereka. — BERNAMA

Khamis, 22 Disember 2011

NIK AZIZ BIDAS HASAN ALI DAN PERTAHANKAN PIMPINAN PAS PUSAT

KOTA BHARU – Biar pun baru keluar daripada hospital, Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menunggu lama untuk mempertahankan kepimpinan Pas Pusat selepas ‘dibelasah’ teruk oleh dua bekas hulubalang parti itu, Datuk Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa.

Dalam kenyataannya kepada media di sini hari ini, Nik Aziz menegaskan dakwaan Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor  berhubung negara berkebajikan yang diilhamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah tidak berasas.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar sudah pasti Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

“Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Sri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan.

“Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh Pas menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni Pas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian Hasan yang menolak konsep negara berkebajikan dan meminta sebaliknya mahu parti itu kembali kepada perjuangan asal Pas untuk menubuhkan negara Islam.

Kemelut yang kemudiannya menjadi lebih serius apabila Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, tidak disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu beliau berkata, hasil mesyuarat Lajnah Politik Pas semalam telah membuat keputusan akan memanggil kedua-dua pemimpin terbabit termasuk Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip bagi mendapatkan penjelasan mengenai kemelut yang berlaku itu.

Katanya, langkah itu adalah satu usaha terbaik bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku kebelakangan ini.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik Pas untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

“Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui media di rumahnya tengah hari ini, Nik Aziz berkata, beliau hanya menjalani pemeriksaan rutin tiga bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia.

“Saya biasa pergi hospital, tiga bulan sekali periksa di  hospital, Utusan Malaysia biasa sebar benda tu , saya tiada ada apa-apa,” katanya.

- Sumber : Detik Perubahan.com

MAK YONG-JKKN BERUSAHA MANTAPKAN TEATER TRADISIONAL


KOTA BHARU 21 Dis. - Bengkel Pemantapan Teater Tradisional yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, berjaya mencungkil bakat 25 peserta dalam seni permainan Mak Yong.

Program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu, dianjurkan JKKN Kelantan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, Tuah Md. Nor berkata, bengkel tersebut merupakan lanjutan program perantisan Mak Yong bertujuan mendedahkan kesenian permainan tersebut di kalangan generasi baru.

"Bengkel ini diadakan setiap tahun bagi memantapkan aspek kesenian permainan Mak Yong yang kini diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia mengikut keadaan semasa, tanpa meninggalkan konsep asal budaya tempatan agar ia terus hidup sebagai seni orang Melayu.

"Justeru, setiap seni perlu dihayati dan diwarisi agar ia tidak ditelan zaman khususnya bagi generasi masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Malam Persembahan Teater Tradisional Sempena Bengkel Pemantapan Teater Tradisional di Auditorium Kompleks JKKN Kelantan, di sini malam tadi. Hadir sama, Penolong Pengarah JKKN Kelantan, Zani Ismail.

Menurut Tuah, setiap peserta yang menyertai program tersebut menerima bimbingan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman dalam seni permainan Mak Yong.

Beliau turut menyifatkan program tersebut sebagai berjaya meskipun bilangan peserta dilihat agak kecil memandangkan penyertaan peserta adalah terhad.

Menerusi majlis tersebut, peserta bengkel turut mempersembahkan kreativiti serta bakat mereka dengan menyaksikan persembahan teater tradisional Mak Yong berjudul 'Raja Sinun Sakti'.

KEDAI RAKYAT 1M KELANTAN BANTU RAKYAT


KOTA BHARU - Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) pertama di negeri ini yang dibuka pada 24 November lalu, semakin mendapat sambutan menggalakkan dan diterima baik oleh orang ramai.

Kedai berkonsepkan pasar mini itu terletak di Jalan Tengku Petra Semerak dekat sini, diuruskan oleh Pasaraya Mydin dan dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kewujudan KR1M itu ternyata membantu rakyat berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan mereka pada harga berpatutan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung dari kawasan bandar dan daerah-daerah lain turut tidak melepaskan peluang mengunjungi KR1M untuk membeli barangan asas menggunakan logo 1Malaysia seperti minyak masak, telur, tepung dan beras.

Beras seberat lima kilogram misalnya dijual pada harga RM11.50 berbanding harga runcit biasa RM13, manakala 10 kilogram dijual RM21.99 berbanding RM26, bihun pula RM1.39 sebungkus, telur 30 biji (RM9.29) dan sardin 425 gram (RM2.99).

Seorang pengunjung dari Tumpat, Norhafizah Razali, 23, berkata, dia seronok berbelanja di kedai itu kerana harga barangan amat berpatutan berbanding di pasar raya.

"Saya sudah tiga kali datang ke KR1M untuk membeli barangan dan saya lihat pihak kerajaan mementingkan kebajikan rakyat berpendapatan rendah dengan menawarkan belian barangan keperluan yang murah," katanya.

Seorang lagi pengunjung yang juga berasal dari Tumpat, Kamariah Yusof, 45, bagaimanapun memberitahu, tidak semua barangan keperluan yang ditawarkan di KR1M pada harga rendah, sebaliknya lebih berpatutan berbanding di tempat lain seperti minyak dan beras.

"Saya mencadangkan Mydin membuka cawangan KR1M di kawasan Tumpat kerana saya yakin penduduk di kawasan berkenaan memerlukan barangan di kedai tersebut," katanya yang pertama kali berkunjung ke kedai tersebut.

Sementara itu, Pengurus KR1M cawangan Kelantan, Nik Nurul Ain Nik Osman berkata, sambutan orang ramai ke kedai tersebut amat menggalakkan semenjak dibuka pada November lalu.

Katanya, KR1M diwujudkan atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

"Keutamaan produk di bawah jenama KR1M diberikan kepada barangan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana secara tidak langsung, dapat membantu mereka memajukan serta meningkatkan hasil jualan dan bersaing di pasaran," katanya.

BAU SAMPAH MELOYAKAN DI KG.JAMBU


KOTA BHARU – Penduduk di Kampung Jambu Pengkalan Chepa disini, menyatakan rasa tidak senang terhadap persekitaran  yang  menjadikan kawasan perkampungan mereka  sebagai tempat  melonggokkan sampah-sarap yang adakalanya bertaburan serta sangat menjijikkan, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Hasan 50-an ketika ditemui, berkata :
” Ketika dulu tempat ini tidaklah sepertimana kita tengok macam hari ini. Entah kenapa sekarang ni sampai macam ni sekali, kadang-kadang hilang selera untuk makan  dengan bau sampah yang sangat meloyakan”.
Katanya, biarpun Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerap memungut sampah dan tidak membiarkan ianya berlonggok, namun bau sampah hasil dari perapan yang sudah sekian lama bertapak disitu tidak mampu untuk menyekatnya sehingga sampai ke penempatan yang berhampiran.

Bagi  Mohd Shamsul Ariffin, 33, penduduk di kawasan tersebut telah membuat beberapa kali aduan kepada MPBK-BRI supaya mengalihkan ‘tong sampah’ besar di kawasan berkenaan tetapi ia  tidak ubah seperti anjing menyalak bukit .

Menurutnya, ia boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa serius dan memainkan peranan seperti yang diamanahkan dalam mengenalpasti langkah-langkah untuk menanganinya secara sistematik.

“Bila hujan kawasan ini akan berselut dan bercampur aduk dengan sampah dan ia akan menghasilkan satu persekitaran yang menjijikkan dengan bau yang memualkan,” katanya.

Sementara itu tinjauan detikperubahan.com di kawasan ini mendapati tahap longgokkan sampah tidak begitu ketara kerana ianya diangkut secara berjadual.

Cuma masalah bau busuk yang luar biasa di tempat pembuangan sampah yang terletak di tepi jalan di kawasan penempatan orang ramai di Kampung Jambu.

Tambahan pula jarak diantara kediaman dan tempat pembuangan sampah hanya sekitar 10 meter itu tidak wajar dengan pembuangan sampah berkapasiti tinggi.

Diharap pihak berkuasa tempatan dan agensi yang berkaitan memandang serius masalah ini supaya keselesaan hidup dapat dinikmati oleh semua pihak.

Selasa, 20 Disember 2011

KRISIS DIDALAM PARTI: DPPP MAHU PIMPINAN SELESAIKAN SEGERA

Nasrudin Hassan At Tantawi

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) meminta pimpinan tertinggi parti itu agar menyelesaikan krisis yang melanda parti itu dan menghentikan segera ‘perang mulut’ serta ‘perang media’.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At Tantawi berkata, ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikkan dan manfaat kepada parti sebaliknya, mengundang persepsi negatif di kalangan ahli.

Katanya, DPPP mencadangkan satu pertemuan di antara Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung, Datuk Mustapa Ali, Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa diadakan bagi menyelesaikan ‘krisis’ yang berlaku.

“Apa yang kami mahu adalah pimpinan dapat menyelesaikan masalah itu dan tidakmeneruskan krisis itu. Kita mahu jentera parti diperkukuhkan dan parti dapat dimantapkan.

“Untuk mencapai tujuan ini kita tidak perlu membunuh karaktor pimpinan (Datuk Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa),” katanya ketika dihubungi  DetikPerubahan.com di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Timbalannya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang membidas kartun drnot yang disiarkan di dalam Harakah keluaran terbaru kerana menghina bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Nik Abduh dalam facebooknya membidas Harakah supaya lebih beretika, berakhlak serta tahu cara untuk membina serta mendamaikan dan bukan bertindak memecah atau meruntuhkan.

Pada masa sama, Nik Abduh turut membidas kritikan serta tuduhan secara terbuka oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali terhadap dua pejuang Islam iaitu Nasharuddin dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang berkali-kali menyatakan kesetiaannya kepada parti itu.

Sehubungan itu, Nasrudin juga tidak menafikan wujudnya kelemahan berhubung krisis itu namun ia tidak perlu dicantas buang sebaliknya pimpinan perlu duduk semeja membincangkan perkara ini agar ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Untuk mencapai kemenangan pada pilihanraya kita tidak perlu membunuh karektor pimpinan atau ahli. Tak perlu nak mempersendakan Nasharudin Mat Isa.

“Sebab itulah saya meminta pimpinan dan ahli berhenti dari membuat spekulasi negatif berhubung krisis ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pihak tidak merosakkan mood anggota parti yang gigih berkerja dan berjuang untuk mencari kemenangan buat perjuangan ini dengan pertelagahan yang saling mendedah dan membongkar kelemahan serta kekurangan parti.

200 PENULIS BLOG DAN FACEBOOK BERKUMPUL

Gambar sekadar hiasan
BACHOK 19 Dis. - Lebih 200 penulis blog termasuk penggemar laman sembang sosial Facebook dari seluruh negara, berkumpul dalam majlis ramah mesra bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein di Restoran Cherita, Pangkalan Petah dekat sini semalam.

Dalam pertemuan tersebut, kesemua penulis blog terbabit sepakat untuk berkempen dan membantu UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengurus laman blog Bachok Baru Bachok Maju, Mohd. Norwir Mohmood berkata, majlis itu dianjurkan untuk merapatkan hubungan dan menghargai sumbangan rakan penulis blog yang sentiasa memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan dalam menyampaikan dasar kerajaan dan UMNO menerusi Internet.

Menurutnya, kebanyakan yang hadir merupakan penulis blog tempatan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan perantau dari seluruh negara yang berhasrat membantu kemenangan UMNO dalam PRU13 khususnya di Bachok.

"Penulis blog dan rakan laman sosial ini menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengetengahkan isu- isu semasa politik untuk paparan umum.

"Ini termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh pimpinan UMNO dan keperitan hidup golongan miskin di peringkat akar umbi yang tidak mendapat pembelaan wakil rakyat mereka walaupun mengundi Pas," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di sini semalam.

Mohd. Norwir berkata, kata sepakat yang dicapai akan membantu UMNO menghadapi tohmahan dan tuduhan liar penulis blog propembangkang dengan mengemukakan fakta dan bukti lengkap untuk menyedarkan rakyat.

Sementara itu, Awang Adek berkata, sokongan padu penulis blog dan rakan Facebook amat dihargai kerana ia banyak membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyampaikan mesej perjuangan serta aspirasi negara kepada generasi baru.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, maklumat dan penjelasan perlu disebarkan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang turut disebarkan melalui Internet.

"Lazimnya lebih 80 peratus golongan muda adalah penggemar laman sosial dan meneroka maklumat secara maya. Mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah palsu pembangkang sekiranya usaha memperkukuhkan maklumat mengenai perjuangan Kerajaan Persekutuan tidak dilakukan," katanya.

SEKUMPULAN MAHASISWA TURUNKAN BENDERA HANYA GIMIK

KOTA BHARU – Tindakan sekumpulan mahasiswa menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak di pekarangan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hanya gimik untuk mendapatkan perhatian kerajaan.
 
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tiada sesiapa yang tampil untuk menerima penyerahan memorandum yang dibawa.
 
“Jika berlaku kekerasan saya pun tidak bersetuju tetapi insiden itu dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian pihak tertentu berikutan suara mereka diabaikan.
 
“Mungkin ada pihak yang beranggapan perbuatan itu kurang ajar terhadap pemimpin negara, tetapi kita harus faham suara kumpulan mahasiswa itu juga perlu diambil kira kerana mereka penentu generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri ketika mengadakan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
 
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di pekarangan ibu pejabat Umno kelmarin.
 
Pergerakan Pemuda Umno mengecam tindakan biadab dan melampau mahasiswa itu yang menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden Umno, dan menggantikannya dengan bendera himpunan mereka.
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan sedemikian memaparkan kumpulan ini langsung tidak matang dan bertanggungjawab malahan mencabul etika dan adab ketika mengunjungi mana-mana tempat.

SIAPA BAKAL KAPTEN KELANTAN?

KOTA BHARU – Kedudukan Mohd Badri Radzi atau Piya sebagai ketua pasukan The Red Warriors masih belum terjamin.

Itu peringatan daripada pengendali juara Liga Super 2011, Peter James Butler.

Malah Butler turut mengingatkan Phia supaya meningkatkan prestasi sekiranya mahu memastikan kedudukannya sebagai kapten dan kesebelasan utama terjamin kerana saingan musim hadapan lebih mencabar.

Tegasnya, kehadiran tiro bekas pemain T-Team dan pemain import akan memberikan saingan sengit kepada kapten tersebut sekiranya mahu terus kekal dalam skuad utama.

“Apa pun saya masih percaya keupayaan Piya untuk membimbing pasukan tetapi dia kena ingat Kelantan sekarang mempunyai banyak pilihan termasuk pemain import untuk diturunkan pada setiap perlawanan.

“Tetapi saya mahu kapten musim ini kena mengambil tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dalam satu pasukan, kapten bukan satu tugas yang mudah,” katanya ketika ditemui detikperubahan.com di sini petang semalam.

Katanya, sekiranya Piya tidak diturunkan, tugas sebagai kapten akan digalas oleh seorang lagi pemain tengah yang kian meningkat naik, Shakir Shaari.

Sementara itu, Mohd. Badri ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata, beliau mengakui berhadapan dengan saingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak kisah siapa yang menjadi kapten, apa yang penting kita dalam satu keluarga dapat mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Bagi saya kita mempunyai pemain yang cukup lengkap, sebagai contoh Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Shahrul Idlan Talah sudah mengetahui corak permainan masing-masing cuma kita menghadapi masalah komunikasi dengan pemain import tetapi saya rasa ia akan dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

JPS-JANGAN BINA RUMAH DI TEBING SUNGAI

KOTA BHARU- Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kelantan mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai di negeri ini tidak membina rumah di tebing sungai bagi mengelak sebarang masalah.
 
Jurutera JPS Jajahan Kota Bharu, Tengku Zamri Raja Zainal Abidin berkata, pihaknya mengambil berat berkenaan tanah rizab sungai dan sehingga kini JPS negeri ini tidak memiliki mana-mana tanah rizab di kawasan sungai.
 
“Tanah rizab sungai yang ada sekarang ini milik kerajaan yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) daerah dan sekiranya ada permohonan memiliki tanah itu daripada individu, PTJ akan meminta nasihat daripada JPS. Bagi mengelak sebarang masalah, mereka yang berhasrat membina rumah berhampiran sungai, pastikan jaraknya perlu melebihi 50 meter dari tebingnya,” katanya kepada Sinar Harian semasa meninjau masalah hakisan sungai di Kampung Sri Kulim Melor, di sini.
 
Beliau berkata, berkenaan warta tanah rizab sungai JPS, sehingga kini Kerajaan Negeri sudah meluluskan perkara itu sejak 2009 dan dalam proses melaksanakannya.
 
“Proses ini memerlukan masa yang lama kerana melibatkan kos yang banyak untuk melaksanakannya,” katanya.

PENDERMA DARAH DIHARGAI

KOTA BHARU- Kelantan masih memerlukan pendermaan darah dari rakyat negeri ini dan dari Januari hingga semalam, hospital mampu memproses 34,000 pain darah derma keseluruhan kepada pengguna.
 
Ketua Perkhidmatan Darah Negeri Kelantan, Dr Iluni Hayati Ibrahim berkata, dengan penderma 20,000 orang di negeri ini, sebanyak 24 hingga 25,000 pain komponen darah dikumpul untuk pesakit.
 
“Berbanding tahun lalu, sebanyak 36,342 pain darah diperoleh dan setakat ini, keperluan darah di Kelantan adalah mencukupi yang mana dalam sehari 200 pain darah diperlukan di seluruh negeri ini.
 
“Namun, pihak kami sentiasa mencari dan menampung tabung darah yang digunakan dengan sekurang-kurangnya sebanyak 100 hingga 150 pain darah sehari perlu ditambah semula bagi menampung keperluan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Penderma Darah Peringkat Negeri Kelantan 2011, di Dewan Jubli Perak, Panji, di sini, semalam.
 
Majlis berkenaan menghargai 300 penderma individu dan berkumpulan dari seluruh negeri ini yang menyokong serta membantu pihak hospital menambah bekalan tabung darah untuk keperluan pesakit.
 
Dr Illuni Hayati berkata, jumlah kutipan bekalan darah yang didermakan bagi semua jenis darah termasuk jenis A, O, B dan AB meningkat berbanding tahun sebelum ini.
 
Beliau yang juga Pakar Patologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berkata, bagi usaha menambah bekalan darah, hospital berkenaan dan hospital daerah mengadakan pelbagai program derma darah untuk menarik lebih ramai penderma.
 
“Terdapat juga masa-masa kritikal yang menyebabkan stok darah menurun sehingga 90 pain sehari dan jika keadaan ini berlaku, secara aktif kempen diadakan termasuk ceramah bagi membolehkan bekalan ditambah,” katanya.
 
Katanya, darah yang didermakan kebanyakan adalah darah merah yang digunakan merawat pesakit anemia, leukemia, kurang hemoglobin dan kurang platlet seperti penyakit denggi.

PADAH CURI KABEL TELEKOM

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menghadapi tuduhan mencuri wayar besi milik sebuah syarikat telekomunikasi di Paloh Rambai di sini, 15 Disember lalu.
 
Tuduhan terhadap Mohd Hairi Azrul Yusof, 25, dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta sama dan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
 
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama-sama yang masih bebas mencuri segulung wayar besi milik Telekom Malaysia di Kampung Batu 11, Paloh Rambai di sini pada jam 9.30 pagi, 15 Disember lalu.
 
Pada prosiding semalam, tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu bersama-sama yang masih bebas menyimpan harta curi tersebut di alamat Kampung Chengal, Ketereh di sini, pada jam 1.30 pagi, 16 Disember lalu.
 
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
 
Bagaimanapun, Mohd Hairi Azrul tidak mengaku pada kedua-dua tuduhan itu. Berikutan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen untuk perbicaraan kes berkenaan.
 
Sementara itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Isnin, 19 Disember 2011

ADIGURU KRAF-38 PAKAR TELAH DILANTIK


KOTA BHARU – Seramai 38 tukang kraf daripada pelbagai bidang telah dilantik sebagai ‘Adiguru’ semenjak ‘Skim Adiguru Kraf’ diperkenalkan oleh kerajaan pada 1987 dalam usaha memelihara dan mengembangkan seni kemahiran serta pertukangan kraf tradisional negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, setiap Adiguru Kraf yang dilantik untuk tempoh lima tahun akan menerima wang ganjaran sebanyak RM2,000 sebagai saguhati dan bayaran elaun bulanan sebanyak RM500.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lantikan itu juga, seorang Adiguru Kraf layak menerima kemudahan perubatan kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan.

“Bagi mencapai objektif Skim Adiguru Kraf, beberapa pengisian program dan aktiviti telah direncanakan, antaranya penyelidikan, dokumentasi, penerbitan dan pameran mengenai seni kemahiran pertukangan seseorang Adiguru Kraf,” katanya di sini semalam.

Beliau berucap pada majlis menandatangani dan penyerahan watikah Adiguru Kraf 2011 kepada tiga tukang kraf iaitu tukang logam perak, Mohamed @ Mohd. Daud Yusof; tukang blok batik, Md. Ghani Mat dan tukang ukiran halus, Norhaiza Nordin di Dewan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Negeri Kelantan di sini.

Turut hadir, Pengarah Kraftangan Negeri Kelantan, Mohd. Razis Md. Said dan Pengarah Kraftangan Terengganu, Khairul Hafizi Naharuddin.

Mohd. Kamil berkata, pada tahun ini, Kraftangan Malaysia telah melantik empat orang Adiguru dalam empat bidang kraf iaitu anyaman rotan, pertukangan blok batik, perak dan ukiran halus.

“Buat julung-julung kalinya pelantikan Adiguru Kraf akan dipantau dan dinilai melalui kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) agar ia memberi manfaat dan impak lebih berkesan dalam pembangunan industri kraf negara,” katanya.

Beliau berkata, khidmat seorang Adiguru Kraf akan dipraktikkan sebagai pakar rujuk, pembimbing serta tenaga pengajar kepada Kraftangan Malaysia dalam menurunkan ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk kumpulan pelapis melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Gelaran Adiguru dianugerahkan kepada usahawan kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan besar dalam membangun serta mengembangkan seni kraf negara.
Penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan itu merupakan anugerah tertinggi kepada seseorang tokoh kraf. – Utusan

BR1M: Jangan Terpedaya Hasutan Pembangkang

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 diagihkan oleh kerajaan Pusat adalah haram kerana ia adalah rasuah daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dali Hussin yang kesal dengan dakyah tersebut berkata, ia merupakan sabotaj pihak terbabit terhadap usaha ikhlas kerajaan Pusat membantu meringankan beban rakyat berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

"Sabotaj yang dilakukan bukan sahaja melalui pengedaran borang-borang palsu tetapi juga syarahan dan ceramah pihak tertentu termasuk parti pembangkang kononnya menerima wang RM500 itu adalah satu kesalahan dan berdosa.

"Perkara ini perlu diperbetulkan supaya rakyat tidak dikelirukan dengan dakyah-dakyah seumpama itu kerana penyaluran BR1M dilakukan melalui prosedur yang sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada 502 murid cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di sini semalam.

Mengulas sumbangan wang ihsan itu, Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa berkata, ia sebagai suntikan semangat kepada murid terbabit dan juga penghargaan kepada ibu bapa mereka yang berjaya membentuk sahsiah anak-anak menjadi insan cemerlang.

"Banyak perubahan positif yang dilakukan oleh kerajaan Pusat untuk menambah baik sistem pendidikan negara dan sokongan daripada warga sekolah termasuk guru-guru dan ibu bapa wajar diteruskan supaya prestasi pelajar terus meningkat," ujarnya.

Dr M cabar Anwar tunjuk surat pinjaman Bank Dunia

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dr Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu tetapi, sekiranya apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sila tunjukkan surat itu.

"Saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.

"Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran. Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di Butterworh hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah berita online (Malaysiakini) hari ini, yang melaporkan bahawa Anwar telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.

"Saya biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada bank dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada pegawai-pegawai kita. Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut bersama berkata beliau boleh menjadi saksi bahawa Dr Mahathir adalah orang yang menolak pertolongan bank dunia dan apa yang didakwa oleh Anwar itu tidak benar.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau masih ingat ada satu ketika wakil daripada bank dunia dan IMF telah datang untuk mencari Dr Mahathir untuk membincang tentang cara untuk elakkan krisis pada 1999.

"Wakil bank dunia itu telah mencadangkan kepada Dr Mahathir untuk menambah kadar faedah rumah, kerajaan pula tidak boleh belanja dan bank negara harus tarik balik semua pinjaman untuk elakkan krisis ekonomi.

"Namun Dr Mahathir memberitahu mereka bahawa cadangan itu akan membawa kepada 'bloods in the street' dan mereka berkata 'let it be bloods in the streets' tetapi cadangan itu telah dibantah keras oleh Dr Mahathir yang kemudiannya menghalau  wakil bank dunia itu keluar dari pejabatnya pada ketika itu," katanya.
- Bernama

Ahad, 18 Disember 2011

INSENTIF RM30 JUTA UNTUK SISWAZAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, insentif berkenaan merupakan tambahan daripada peruntukan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini untuk membangunkan sektor pertanian negara.

Selain itu, katanya, peruntukan baharu terbabit juga merupakan sokongan penuh kerajaan terhadap penubuhan Kelab Usahawan Tani atau MyAgrosis yang dilancarkan hari ini.

"Dalam usaha kerajaan untuk menyokong penuh Kelab Myagrosis mencapai matlamat, saya telah mencadangkan agar pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya iaitu FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Agrobank dan Tekun Nasional bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan inisiatif meningkatkan pengeluaran pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kelab MyAgrosis Peringkat Kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah di Merbok, dekat sini hari ini.

Hadir bersama ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata, peruntukan RM30 juta itu ialah tambahan RM10 juta bagi Inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Tani Agrobank sebagai pinjaman mudah, RM10 juta untuk dana khas daripada Tekun Nasional manakala RM10 juta lagi peruntukan kementerian bagi meningkatkan kemudahan pertanian.

Perdana Menteri berkata, negara amat memerlukan lulusan institut pengajian tinggi berkecimpung secara langsung dalam bidang keusahawanan tani.

Katanya, langkah tersebut bukan saja dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara tetapi turut membantu mengurangkan defisit serta kebergantungan terhadap bekalan makanan import.

Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan rasa yakin Kelab MyAgrosis akan mendapat sambutan memandangkan keahliannya kini telah mencapai 10,000 orang dan dijangka meningkat kepada 20,000 orang pada tahun depan.

"Fenomena ini boleh membentuk komuniti usahawan siswazah komersial yang lebih dinamik. Malah, saya yakin, mereka bijak mengenal pasti peluang-peluang dalam pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

PAS KIAN BERUBAH SELEPAS BERSAMA DAP

Pas telah meninggalkan perjuangan Islam sebaik sahaja parti itu bersahabat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, disebabkan perubahan itu juga agenda perjuangan memartabatkan Islam di Selangor oleh bekas Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Hasan Ali tidak disenangi oleh kepemimpinan parti khususnya di peringkat pusat.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar dengan perkembangan itu kerana sejak Pas bersekutu dengan Anwar serta DAP, parti tersebut telah mengalami perubahan drastik sehingga ke tahap terpaksa mengorbankan agenda perjuangan Islam.

"Pas lebih mementingkan nilai keduniaan iaitu kemenangan pada pilihan raya daripada meneruskan agenda perjuangan Islam sedangkan inilah perjuangan yang sepatutnya mereka utamakan.

"Akhirnya pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam seperti Dr. Hasan Ali akan diketepikan kerana tidak selari dengan perjuangan Pas walaupun apa yang dilakukan oleh Exco Selangor itu adalah perjuangan asal Pas," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang mengulas cabaran Hasan dalam usahanya memartabatkan Islam di Selangor.

Bagaimanapun, pendirian Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu tidak disenangi oleh beberapa pemimpin Pas sehingga namanya disebut-sebut digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Terbaru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris telah menyerang Hasan dengan mendakwa kenyataan bekas Naib Presiden Pas itu seolah-olah menggambarkan parti itu tidak lagi mempertahankan Islam.

Mohamed Hafiz berkata, pemimpin-pemimpin lain yang sepatutnya meninggalkan Pas dan bukannya Hasan kerana disebabkan mereka matlamat asal perjuangan Pas telah berubah.

"Mereka ini diumpamakan anai-anai di dalam parti dan ia pernah disebut oleh Salahuddin Ayub ketika menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas pada muktamar parti 2005.

"Di dalam muktamar itu saya memberi sokongan penuh terhadap kenyataan itu," katanya.
Dalam pada itu Mohamed Hafiz berkata, sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi menyokong penuh tindakan Hasan di Selangor kerana itulah agenda asal perjuangan Pas.

"Ini bukan saya yang kata tetapi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang kata. Saya tidak nafikan ada yang menyokong pemimpin-pemimpin Pas Pusat tetapi harus diingat sebahagian besar mereka berdiri teguh di belakang Dr. Hasan. Mereka melihat Dr. Hasan telah melakukan sewajarnya untuk Islam.

"Begitu juga nasib yang menimpa bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa. Beliau juga masih mendapat sokongan daripada ahli di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, mereka disisihkan kerana berusaha memperjuangkan sesuatu yang amat bertentangan dengan perjuangan Anwar dan DAP.

Sementara itu Mohamed Hafiz berkata, selagi Pas tidak keluar daripada pakatan pembangkang selagi itu parti tersebut akan gagal dalam agendanya memperjuangkan Islam.

"Saya yakin dan cukup percaya Pas sedar yang mereka tidak akan berjaya menegakkan syiar Islam walaupun pakatan pembangkang menang pada pilihan raya. Realitinya PKR dan DAP tidak mahu syiar Islam ditegakkan.

"Cuba lihat kenyataan-kenyataan pemimpin daripada kedua-dua parti itu. Apa pendirian mereka terhadap Islam? Mustahil pemimpin Pas tidak menyedari tentang perkara ini," ujarnya.

KERAJAAN KELANTAN GAGAL URUS TANAH

Kegagalan kerajaan Pas Kelantan menguruskan tanah menyebabkan beberapa lot tanah di pinggir Kota Bharu yang berpotensi untuk dibangunkan terbengkalai dan dipenuhi semak samun.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, masalah itu timbul disebabkan kerajaan negeri tidak berani mengambil alih kebanyakan tanah tersebut yang setiap lot dimiliki oleh beberapa penama.
Jelas beliau, kebanyakan tanah tersebut terletak di kawasan penempatan awal di bandar ini iaitu di tebing Sungai Kelantan antaranya Lorong Gajah Mati, Kota Lama, Kubang Pasu serta Kampung Cina.

"Pelabur mahu tanah itu sebab lokasinya menarik. Tetapi mereka tidak berminat sebab urusan yang rumit meskipun tanah itu sebenarnya berpotensi untuk dibangunkan.

"Tanah-tanah ini kalau individu hendak ambil alih memang payah. Hanya kerajaan yang boleh selesaikan kerana mereka ada kuasa dan keupayaan untuk melakukannya," katanya kepada pemberita ketika turun padang pada Majlis Gotong-Royong Menebang Pokok di Lorong Cabang Nyior di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan teragak-agak untuk mengkaji balik keadaan tanah-tanah itu bagi dibangunkan sekiranya diberi peluang memerintah negeri ini.

PASTIKAN TIDAK TERSILAP PILIH PEMIMPIN

Kesilapan memilih pemimpin boleh menyebabkan rakyat akan menghadapi masalah dan kehancuran pada masa akan datang.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen Pasir Puteh, Azmi Mohamad Noor berkata, disebabkan itulah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, rakyat perlu membuat keputusan terbaik untuk masa depan mereka.

“Untuk memilih pemimpin, kita seharusnya memilih orang yang boleh menjaga hak rakyat tidak kira dalam apa jua situasi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Beras kepada ibu tunggal dan orang kurang berkemampuan di sini, semalam.

Majlis yang diadakan di rumah Ketua Umno Cawangan Jeram A, Mohd Nasir Mustafa itu dihadiri hampir 50 penduduk setempat.

Azmi berkata, pada PRU-13 nanti rakyat di Pasir Puteh harus memastikan Ahli Parlimen di sini dapat menjadi salah seorang menteri yang akan menjaga kebajikan rakyat.

“Siapa calonnya kita tidak kisah, tetapi yang penting kita mahukan wakil menteri dari Pasir Puteh ada pada masa akan datang.

“Ini kerana di Pasir Puteh belum ada lagi wakil menteri jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat harus sedar sekarang kerana perubahan perlu dilakukan semasa PRU-13 nanti demi masa depan mereka dan anak cucu mereka.- Sinar Harian

Sabtu, 17 Disember 2011

HIV Tertinggi di Kelantan Perlu Kerjasama Pendakwah Tanganinya

KOTA BHARU 16 Dis. - Golongan pendakwah dan penggiat masyarakat diminta tidak malu dengan ranking Kelantan sebagai negeri dengan bilangan penghidap HIV dan AIDS tertinggi dalam negara.


Kaunselor HIV dan AIDS Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Zaimah Husin berkata, ranking tersebut tidak harus dipandang negatif kerana ia menandakan pekerja kesihatan di negeri ini menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya dalam merekod data mengenai pesakit HIV dan AIDS.

"Kita tidak perlu malu kerana kakitangan kesihatan membuat kerja mencatat setiap kes yang dikenal pasti dan tidak menyembunyikan data.

"Mereka menyebarkan maklumat tentang risiko HIV dan AIDS kepada orang ramai dan apabila masyarakat sedar mereka datang ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan.

"Setiap makluman dimasukkan dalam notifikasi dan didaftarkan tanpa disembunyikan," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Kesedaran HIV dan AIDS 'Nur Hayah' anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Gelanggang Seni di sini semalam.

Program dengan kerjasama sebuah konsultan itu bertujuan memberi pendedahan tentang penyakit HIV dan AIDS serta cara menanganinya kepada lebih 200 penggerak masyarakat di bandar itu.

Zaimah berkata, ranking tersebut menjadi pencetus kesedaran paling ampuh agar semua pihak mengambil peranan lebih serius membendung penularan penyakit itu dalam masyarakat.

Namun, beliau berkata, perkara paling utama adalah membuang dahulu stigma negatif terhadap pesakit HIV dan AIDS kerana dengan kemajuan perubatan, penyakit itu kini sudah dapat dikawal.

Jelasnya, virus berbahaya itu hanya boleh berjangkit menerusi tiga cara iaitu hubungan seks, berkongsi jarum suntikan dan dari ibu kepada anak dalam kandungan dan tidak melalui pergaulan seharian atau cara lain.

"Masyarakat mesti mengambil kisah dan memberikan maklumat jika ada antara rakan dan ahli keluarga yang disyaki menghidap HIV dan Aids.

"Jangan malu atau sembunyikan mereka kerana klinik dan hospital kerajaan sekarang menyediakan ubat dan rawatan percuma yang boleh mengawal virus daripada merebak dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani hidup seperti orang biasa," katanya. - Utusan Malaysia

Kemalangan Yang Melumpuhkan Segala-Galanya Perlukan Bantuan

KOTA BHARU 16 Dis. - Seorang isteri, Hasbi Dollah, 40, buntu memikirkan masa depan keluarganya apabila suami yang menjadi tempat bergantung selama ini lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan Oktober lalu.

Lebih memeritkan Hasbi apabila suaminya, Ahmad Suhaimy Mat El, 43, yang dahulu seorang buruh kasar, tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan dan bergantung sepenuh kepadanya untuk urusan seharian.

Apa yang membimbangkan ibu kepada empat orang anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu ialah, dia sendiri mengalami masalah kesihatan dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan sehingga tidak mampu bekerja bagi mencari nafkah.

"Saya memerlukan kira-kira RM1,100 sebulan untuk perbelanjaan suami termasuk mendapatkan susu dan lampin pakai buang. Kos tersebut tidak termasuk perbelanjaan anak-anak kami.

"Suami saya hanya bergantung kepada susu jenis Ensure sebagai makanan dan minumannya dan setiap hari dia perlu menghabiskan satu tin susu berkenaan yang berharga RM32.50," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machang Limbat, Kubang Kerian di sini hari ini.

Lantaran itu, Hasbi mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat untuk membantu meringankan bebannya sekeluarga.

Menceritakan lebih lanjut kejadian yang menimpa suaminya, wanita itu memberitahu, Ahmad Suhaimy terbabit dalam kemalangan dua bulan lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pulau Gajah dekat sini.

Menurutnya, kemalangan tersebut menyebabkan suaminya hilang upaya dan lumpuh seluruh tubuh serta hanya mampu terlantar.

"Hanya tangan kanan mampu digerakkan, tetapi dia tidak mampu untuk memegang sebarang objek seolah- olah urat saraf dan sendi tidak lagi berfungsi.

"Sejak kejadian itu, dia hanya terlantar sehingga berkudis di bahagian belakang mungkin disebabkan pengudaraan yang tidak sempurna. Selain itu, dia juga pernah koma selama sebulan akibat kemalangan tersebut," katanya.

Siapa Kata Borang Bantuan RM500 Photostat Tidak Diterima?



BACHOK – Kementerian Kewangan menjelaskan pihaknya tidak pernah menolak salinan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adik Hussin berkata, pihaknya hanya menolak borang palsu yang diedarkan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk mensabotaj Kerajaan Pusat.

Katanya,  pihak tersebut juga telah mengelirukan rakyat dan memburukkan Barisan Nasional (BN) apabila kenyataan beliau telah dimanipulasi untuk meraih kepentingan peribadi.

Beliau bercakap kepada detikperubahan.com ketika ditemubual dalam majlis perjumpaan P.25 Bachok Maju Bachok Baru  di Pengkalan Petah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memohon semua rakyat terutama di negeri ini supaya membuat satu perubahan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, BN terbukti mampu menjana ekonomi dan memberi pembangunan kepada rakyat.

Keluarga Daif di Pulau Gajah Dapat Bantuan JKM

KOTA BHARU – Nasib seorang ibu dan dua anaknya dari Kampung Pulau Gajah dekat sini, yang hidup dalam kedaifan selepas ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, pihaknya terus memberi bantuan selepas kisah duka hidup Maryam Mat Deris, 45, bersama dua anaknya, Mohd. Suhaimi Napi, 15, dan Nordiana, 2, disiarkan akhbar kelmarin.

Katanya, sumbangan berupa makanan dan wang tunai telah disampaikan kepada ibu dua anak itu bagi meringankan beban mereka yang terpaksa menjalani kehidupan sukar ekoran tidak mempunyai sumber kewangan.

Menurutnya, selain sumbangan segera itu, pihaknya telah meluluskan Skim Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM200 sebulan kepada kedua-dua anak Maryam bermula bulan ini.

“Kita juga akan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mengenal pasti sama ada keluarga ini tersenarai atau tidak sebagai penerima bantuan e-Kasih dan sekiranya tidak, kita akan membantu sedaya upaya mempercepatkan proses tersebut.

“Mengenai persekolahan Mohd. Suhaimi, kita akan merujuk perkara tersebut kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sama ada dia boleh kembali ke sekolah atau tidak kerana saya difahamkan dia berhenti ketika di darjah dua lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut di rumah keluarga itu di sini, hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kisah Maryam yang hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah usang bersama dua anaknya selepas suaminya, Husin Othman, 50-an, menghilangkan diri.

Dalam pada itu, Md. Nor menyeru pemimpin setempat dan masyarakat supaya lebih peka dengan kehidupan jiran masing-masing bagi memastikan mereka yang layak mendapat bantuan tidak terpinggir dan terus mengalami kehidupan sukar.

“Bagi kes keluarga Maryam ini, saya difahamkan mereka tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada JKM, jadi disinilah pemimpin dan masyarakat boleh memainkan peranan untuk membantu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Md. Noor memberitahu, bagi tahun ini pihaknya telah mengagihkan bantuan dan sumbangan sebanyak RM88 juta atau purata RM8 juta sebulan kepada 32,000 penerima, termasuk 10,000 penerima Skim Bantuan Kanak-kanak.

Sementara itu, Maryam melahirkan rasa syukur akhirnya penderitaan yang ditanggungnya bersama dua anak selama ini terbela selepas JKM meluluskan bantuan tersebut.

“Memang saya bersyukur sangat, walaupun bantuan itu tidak besar bagi orang lain, tapi bagi kami ia sungguh bermakna kerana sekurang-kurangnya dapat membeli makanan. Ini kerana sebelum ini saya terpaksa meminta makanan daripada adik beradik dan jiran.

“Saya juga benar-benar berharap anak saya, Mohd. Suhaimi dapat kembali semula ke sekolah seperti remaja-remaja lain kerana dialah satu-satunya harapan saya untuk mengubah nasib keluarga,” jelasnya.- Utusan Malaysia

Jumaat, 16 Disember 2011

Tiga Beradik Terima Padah

KOTA BHARU – Tindakan tiga beradik mengugut seorang lelaki menggunakan sebilah pedang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Kedai Buloh di sini, bulan lalu, membawa padah, apabila mereka dikenakan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Nik Azan Nik Mohd Salleh, 34; Nik Anuar, 19, dan Nik Mohd Shafiq, 22, diputuskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, Nik Azan dikenakan denda RM5,500 dan jika gagal bayar dikenakan hukuman penjara tiga bulan; Nik Anuar pula didenda RM1,500 dan gagal bayar sebulan penjara, manakala Nik Mohd Shafiq, didenda RM4,000, jika gagal bayar berdepan penjara dua bulan.

Mereka didapati bersalah, bersama-sama melakukan ugutan jenayah terhadap Sukri Dollah, 48, menggunakan sebilah pedang dengan niat menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian kepadanya.

Kesemua mereka yang beralamat di Kampung Pulau Pisang dan Pulau Panjang, Jalan Kuala Besar di sini, dituduh melakukan perbuatan itu di kedai runcit berhadapan Sekolah Menengah Kedai Buloh, pada jam 11.30 malam, 23 November lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Terdahulu, semua tertuduh mengaku bersalah, bagaimanapun, Nik Mohd Shafiq mempertikai kandungan fakta kes yang dibaca menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali terpaksa menjelaskan maksud pertuduhan dengan niat bersama.

“Dalam undang-undang, pada satu kejadian ada lima orang, seorang membawa senjata, seorang menunggu dalam kereta dan tiga yang lain masuk ke dalam bangunan, tetapi kesemua mereka dikira mempunyai niat bersama melakukan jenayah tersebut.

“Begitu juga dalam kes ini, fakta menunjukkan kamu datang bersama-sama dan tahu senjata dibawa. Apabila pengadu meminta pertolongan orang awam, kamu lari bersama-sama. Itu menunjukkan kamu mempunyai niat bersama,” katanya.

Sejurus ulasan itu, tertuduh berkenaan kemudiannya menukar pengakuan dan menerima fakta yang menunjukkan, pengadu bersama anak saudaranya didatangi suspek sebelum menunjukkan pedang itu kepada anak saudara pengadu.

Suspek kemudian cuba menetak pengadu menyebabkan perkara itu dilaporkan di Balai Polis Badang dan disiasat Inspektor Norsiah Hussin, selain melawat lokasi kejadian, melakukan tangkapan dan merampas barang kes.

Hasil siasatan, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan ugutan itu.

Janda miliki 100 pil kuda didenda RM12,000

 KOTA BHARU – Seorang janda muda yang tidak mempunyai pekerjaan termasuk antara dua dikenakan denda RM12,000 atau dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana kesalahan memiliki dadah.

Hukuman terhadap Rohani Saari, 24, dan Mohammad Sanusi Hanafi, 26, diputuskan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Mereka dituduh secara bersama memiliki 100 pil kuda mengandungi 1.36 gram metamphetamine di sebuah rumah di Jalan Pintu Geng di sini, pada jam 3.20 pagi, 24 September lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali dalam keputusannya berkata, beliau tidak dapat memberi hukuman yang terlalu ringan berikutan kesalahan tertuduh-tertuduh membabitkan sejumlah dadah yang banyak.

Sementara itu, Rohani turut didapati bersalah menagih dadah jenis sama dan Mohd Fazaly Ali mengenakan denda RM3,500 atau lapan bulan penjara terhadap tertuduh.

“Kamu juga dikenakan pengawasan dan perlu melaporkan diri di balai polis selama dua tahun,” katanya.

Khamis, 15 Disember 2011

Misteri Rakaman Kemunculan Wajah Aneh

KOTA BAHRU – Seorang pelanggan sebuah gerai minum di pekan Langgar secara tidak sengaja merakam gambar satu kepulan asap yang menyerupai wajah manusia beberapa hari lalu sewaktu bersantai di kedai berkenaan.

Usahawan, Zul Azri Abdul Khalil, 34, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 5 petang, dia hanya mahu menguji kamera telefon bimbitnya sahaja dan mengambil gambar beberapa kali.

Menurutnya, selepas beberapa ketika dia meneliti kembali gambar yang diambil dan terkejut apabila mendapati terdapat satu kepulan asap seolah-olah menyerupai wajah manusia.

“Terdapat seolah-olah kepulan asap yang menyerupai wajah manusia semasa gambar diambil.
“Selepas itu, saya menunjukkan kepada beberapa kawan yang lain dan ternyata mereka juga turut terkejut,” katanya.

Pengalaman pertama kali merakam gambar aneh sedemikian ternyata turut menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berada di kedai berkenaan.

Zul Azri berkata, dia tidak menyangka bahawa dengan hanya mengambil beberapa gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia dapat merakam gambar aneh.

Seorang lagi pelanggan kedai minum itu, Yusof Hat, 40, mengakui masih belum pernah melihat benda aneh yang dirakam secara tiba-tiba.

Menurutnya, bagaimanapun perkara demikian tidak perlu diambil serius kerana langsung tidak memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

“Serius saya katakan memang tidak pernah melihat kejadian seumpama ini, sedangkan gambar berkenaan pula dirakamkan pada waktu siang,” katanya.

Lelaki Dipercayai Perogol Bersiri Mula Didakwa

KOTA BHARU – Lima pertuduhan secara berasingan di tiga buah mahkamah dikenakan ke atas seorang pemuda yang dikatakan terlibat dalam 26 kes rogol di negeri ini.

Amran Che Jaafar, 29, dari Kampung Sungai Perupok, Bachok bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut.

Difahamkan tertuduh akan menghadapi lebih banyak pertuduhan selepas ini.

Bagimanapun daripada lima pertuduhan itu hanya satu melibatkan kes rogol manakala selebihnya kes jenayah yang lain.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, dia didakwa merogol seorang gadis berusia 20 tahun di asrama pekerja Galeri Tudung Ariani di Tanah Merah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan supaya tertuduh tidak diikat jamin bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan dan menetapkan 10 Januari depan untuk sebut semula kes.

Ketika di bawa ke penjara dengan berpakaian lokap berwarna ungu, Amran kelihatan tenang tetapi cuba sedaya upaya mengelak daripada wajahnya dirakam lensa kamera.

Sementara itu, di Mahkamah Seysen Kota Bharu, tertuduh berhadapan dengan tiga lagi pertuduhan.

Pertuduhan pertama, Amran didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenama Blacberry, wang tunai RM250, kad pengenalan, kad ATM Bank Islam, lesen memandu seorang wanita berusia 34 tahun di Flat Hijau , Blok 5, Kubang kerian di sini pada 15 November 2011.

Kedua, Amran dituduh menceroboh rumah mangsa untuk melakukan rompakan pada waktu dan lokasi yang sama dan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 450 Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda pada tarikh yang sama.

Ketiga, Amran didakwa menceroboh dengan niat hendak mencabul seorang gadis berusia 23 tahun di asrama no 388 dan 389, Jalan Sultan Yahya Petra, seksyen 7 di sini lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 25 November 2011.

Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 450 Kanun Keseksaan dan kes disebut semula pada 12 Januari 2012.

Dalam pada itu di Mahkamah Majistret Kota Bharu, dihadapan Majitret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Amran dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, seorang gadis berusia 23 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan dengan cara mengikat kedua-dua tangan dengan wayar sterika dan memegang buah dada mangsa.

Dia dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 25 November 2011, lebih kurang pukul 10.30 pagi di asrama no 388 dan 389, Jalan Sultan Yahya Petra, seksyen 7 di sini.

Sebelum ini, polis mendedahkan seorang suspek yang ditahan pada 25 November lalu mengaku terlibat dalam 26 kes rogol dan cubaan merogol di seluruh negeri ini

Gasak Dakwa Wujud Salah Urus Tadbir Dalam AKSB

KOTA BHARU 14 Dis. - Selepas Utusan Malaysia mendedahkan mengenai masalah air di Kelantan yang tercemar, hari ini Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) tampil dengan dakwaan wujud salah urus tadbir dalam pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang menyebabkan bekalan air gagal disalurkan dengan baik.

Presiden Gasak, Nor Azli Ahmad mendakwa, masalah itu disedari oleh kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas surat terbuka mengenai perkara itu diedarkan secara meluas pada pertengahan 2010.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malah beberapa projek yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.

"Perkara ini telah didedahkan dalam sebuah laman blog, kelatekito.net semalam.
"Sebagai contoh, kita minta kepada AKSB supaya menjelaskan keadaan projek air tidak terhasil (NRW) yang menelan belanja RM130 juta dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas.

"Projek NRW tidak perlu menunggu lama untuk melihat impaknya dan Gasak difahamkan berdasarkan kontrak NRW dapat dikurangkan sehingga 35 peratus daripada 48 peratus sebaik sahaja projek itu selesai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pertengahan bulan lepas, Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas berkaitan kualiti air di Kelantan yang dicemari logam-logam berat berbahaya.

Kandungan logam-logam seperti arsenik, besi dan mangan serta bakteria ditemui menerusi ujian makmal Kementerian Kesihatan dari 2008 hingga 2010 dan juga uji kaji yang dijalankan sendiri pihak Utusan Malaysia di makmal bertauliah swasta baru-baru ini.

Bekalan air bersih merupakan masalah utama bagi rakyat negeri ini sejak 1990, sehingga penduduk terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membina telaga tiub, membeli alat penyedut air dan tangki tambahan.
Nor Azli berkata, pencemaran mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan masalah pengurusan dalam anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu.

"Kita minta masalah diselesaikan secepat mungkin sekiranya tidak mahu perkara ini dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Gasak tidak memberi amaran kosong dan kita akan mendedahkan beberapa dokumen penting mengenai masalah dalaman AKSB sekiranya keadaan mendesak," katanya.

Bakal Lahir Anak di Penjara

KOTA BHARU – Seorang ibu muda bakal melahirkan kandungannya di penjara selepas Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara terhadapnya bersabit kesalahan menagih dadah, September lalu.

Hukuman terhadap wanita tersebut, Bebe Maryawati Omar, 28, diputuskan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menagih.

Bebe Maryawati yang beralamat di Pulai Condong, Machang kini hamil empat bulan itu. Dia dituduh memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine pada jam 5.20 pagi, 23 September lalu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini membawa tertuduh ke pejabat bahagian itu. Kemudiannya tertuduh diarah menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara tersebut.

“Hukuman penjara kamu akan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dan kamu juga dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun serta perlu melaporkan diri ke balai polis Binjai setiap 10 hari bulan setiap bulan,” katanya.

Rabu, 14 Disember 2011

Tiga Lelaki Digantung Sampai Mati Dalam Tempoh Dua Hari

KOTA BHARU – Dalam tempoh dua hari tiga lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana kesalahan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Semalam Bernama melaporkan seorang buruh dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Selasa kerana mengedar 4,992 pil dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdi Taib, 43, dari Rantau Panjang, selepas mensabitkan tertuduh dengan kesalahan tersebut.

Tertuduh didakwa mengedar dadah itu di depan sebuah kedai runcit di tepi jalan Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada 7 petang, 8 Dis 2009 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Rosdi kelihatan tenang sewaktu mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hidayah Mohd Razali.

Kelmarin dua sahabat dari Mohd. Hazlani Che Hussin, 20, dan Mohd. Azlan Mat Nor, 20, dari Pasir Mas turut dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Rumah Miskin Dipecah Masuk Pencuri

KOTA BHARU - Bukan sahaja terpaksa hidup dalam kedaifan sejak lima tahun lalu, malah empat sekeluarga yang tinggal di Pulau Gajah, Sabak di sini, turut ditimpa musibah, apabila rumah mereka dipecahkan masuk, petang kelmarin.

Keluarga ini yang baru sahaja menerima bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) sebanyak RM3,000, ekoran pendedahan Sinar Harian, mengenai kemiskinan mereka yang terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah yang usang dan hampir roboh, bersama kambing, burung, kucing dan ayam.

Dipercayai ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, penghuni rumah itu, Fatma Yahya, 34 serta Sulaiman Yusof, 45, tiada di rumah.

Ibu Fatma, Nik Som Nik Ngah, 57, berkata, dia tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan adiknya, Nik Sum, 54, yang tinggal bersebelahan rumahnya.

“Saya dimaklumkan dia kehilangan dua ayam peliharaan di samping sepasang seluar dan baju suaminya yang digantung dekat pintu dapur belakang rumahnya turut dicuri.

“Mungkin pencuri itu mengetahui Fatma dan suaminya baru menerima sumbangan wang MAIK dan menyangka wang itu ada dalam rumah mereka sehingga sanggup menceroboh masuk, mujurlah suaminya mengambil tindakan awal, menyimpan wang itu dalam bank,” katanya ketika ditemui di rumahnya kira-kira tiga kilometer dari rumah anaknya itu.

“Walaupun kehidupan saya bersama sembilan lagi anak miskin, namun saya sering bantu Fatma yang mempunyai dua anak itu menghantar makanan ala kadar, tetapi kami jarang bertemu kerana Fatma jarang keluar rumah berikutan banyak haiwan peliharaan suaminya disimpan dalam rumah itu akibat bimbang dicuri,” katanya.

Nik Som berharap, Maik yang memberi jaminan bagi membina rumah baru di kawasan terbabit dapat disegerakan bagi mengelakkan masalah terbabit berulang.

Angkara Dadah Remaja ke Tali Gantung

KOTA BHARU – Seorang bekas penuntut sebuah universiti tempatan, antara dua yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah di hadapan sebuah masjid di Rantau Panjang, tahun lalu.

Kedua-dua sahabat dari Pasir Mas itu, Mohd Hazlani Che Hussin, 20, dan rakannya, Mohd Azlan Mat Nor, 20, didapati bersalah mengedar 23.11 gram dadah metamphetamine atau pil kuda di hadapan pintu gerbang Masjid Beijing di Rantau Panjang pada jam 2 petang, 3 Februari
2010.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, selepas diteliti daripada hujah pembelaan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati mereka ada niat bersama mengedar dadah tersebut.

“Saya mendapati tanpa keraguan munasabah, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan sebagaimana pertuduhan. Sebagai mana yang diperintahkan mengikut Seksyen 39B(2) ADB 1952, hanya satu hukuman sahaja terhadap pesalah, iaitu gantung sampai mati,” katanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh-tertuduh, Datuk Syukri Mohamed memberitahu mahkamah ketika ditahan kedua-duanya masih muda dan masing-masing berusia 19 tahun.

“Ketika ditahan, Mohd Hazlani sedang menuntut di sebuah universiti di Terengganu manakala Mohd Azlan ketika itu menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Sejurus hukuman diputuskan, semalam, kedua-dua sahabat dari Pasir Mas itu dilihat serentak saling berpandangan sesama mereka.
Sumber - Sinar Harian

Selasa, 13 Disember 2011

Belia adalah ‘Superhero’ bagi program transformasi jadi kenyataan - PM


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.

Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib berkata, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya.

"Tetapi suara golongan muda bukan hanya semata-mata sebagai kritikan tetapi perlu mengemukakan idea untuk penyelesaian.

"Mereka ini seperti ”superhero” kepada negara kerana mempunyai kuasa untuk berubah dan sekiranya semua wira unggul bekerjasama dengan kerajaan maka program transformasi lebih mudah untuk menjadi kenyataan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutupan sidang kemuncak belia berjudul “Membentuk Masa Depan Kita” yang dihadiri oleh kira-kira 500 pelajar universiti awam dan swasta di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria. - Bernama