Selasa, 20 Disember 2011

SEKUMPULAN MAHASISWA TURUNKAN BENDERA HANYA GIMIK

KOTA BHARU – Tindakan sekumpulan mahasiswa menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak di pekarangan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hanya gimik untuk mendapatkan perhatian kerajaan.
 
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tiada sesiapa yang tampil untuk menerima penyerahan memorandum yang dibawa.
 
“Jika berlaku kekerasan saya pun tidak bersetuju tetapi insiden itu dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian pihak tertentu berikutan suara mereka diabaikan.
 
“Mungkin ada pihak yang beranggapan perbuatan itu kurang ajar terhadap pemimpin negara, tetapi kita harus faham suara kumpulan mahasiswa itu juga perlu diambil kira kerana mereka penentu generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri ketika mengadakan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
 
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di pekarangan ibu pejabat Umno kelmarin.
 
Pergerakan Pemuda Umno mengecam tindakan biadab dan melampau mahasiswa itu yang menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden Umno, dan menggantikannya dengan bendera himpunan mereka.
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan sedemikian memaparkan kumpulan ini langsung tidak matang dan bertanggungjawab malahan mencabul etika dan adab ketika mengunjungi mana-mana tempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan