Selasa, 20 Disember 2011

200 PENULIS BLOG DAN FACEBOOK BERKUMPUL

Gambar sekadar hiasan
BACHOK 19 Dis. - Lebih 200 penulis blog termasuk penggemar laman sembang sosial Facebook dari seluruh negara, berkumpul dalam majlis ramah mesra bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein di Restoran Cherita, Pangkalan Petah dekat sini semalam.

Dalam pertemuan tersebut, kesemua penulis blog terbabit sepakat untuk berkempen dan membantu UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengurus laman blog Bachok Baru Bachok Maju, Mohd. Norwir Mohmood berkata, majlis itu dianjurkan untuk merapatkan hubungan dan menghargai sumbangan rakan penulis blog yang sentiasa memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan dalam menyampaikan dasar kerajaan dan UMNO menerusi Internet.

Menurutnya, kebanyakan yang hadir merupakan penulis blog tempatan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan perantau dari seluruh negara yang berhasrat membantu kemenangan UMNO dalam PRU13 khususnya di Bachok.

"Penulis blog dan rakan laman sosial ini menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengetengahkan isu- isu semasa politik untuk paparan umum.

"Ini termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh pimpinan UMNO dan keperitan hidup golongan miskin di peringkat akar umbi yang tidak mendapat pembelaan wakil rakyat mereka walaupun mengundi Pas," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di sini semalam.

Mohd. Norwir berkata, kata sepakat yang dicapai akan membantu UMNO menghadapi tohmahan dan tuduhan liar penulis blog propembangkang dengan mengemukakan fakta dan bukti lengkap untuk menyedarkan rakyat.

Sementara itu, Awang Adek berkata, sokongan padu penulis blog dan rakan Facebook amat dihargai kerana ia banyak membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyampaikan mesej perjuangan serta aspirasi negara kepada generasi baru.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, maklumat dan penjelasan perlu disebarkan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang turut disebarkan melalui Internet.

"Lazimnya lebih 80 peratus golongan muda adalah penggemar laman sosial dan meneroka maklumat secara maya. Mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah palsu pembangkang sekiranya usaha memperkukuhkan maklumat mengenai perjuangan Kerajaan Persekutuan tidak dilakukan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan