Rabu, 20 Jun 2012

Petani Bakal Rugi RM150 Juta

KOTA BHARU - Golongan petani di negeri ini bakal menanggung kerugian hampir RM150 juta akibat krisis air sungai Kelantan yang menjadi sumber utama bekalan air ke kawasan sawah padi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kemubu (Kada),Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi yang berlaku itu turut menyebabkan Kada kehilangan hasil pengeluaran padi sebanyak 120,000 tan.

Beliau berkata, keadaan paras air yang rendah, menyebabkan stesen pam Kada tidak dapat menyalurkan air untuk dialirkan ke sawah-sawah padi di setiap kawasan yang diselia pihak terbabit.

“Bekalan air ke bendang bergantung kepada sumber air sungai yang dialirkan melalui pam utama di Kampung Kemubu sendiri di samping Lemal dan Kasar di Pasir Mas.

Jika keadaan paras air sungai terlalu rendah, kerja-kerja mengepam air untuk disalurkan ke sawah tidak dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, dalam situasi terbabit petani tidak dapat menuai hasil padi dan perkara itu turut menjejaskan mata pencarian mereka.

“Beberapa langkah sudah diatur bagi mengatasi masalah terbabit, antaranya menempatkan pam-pam bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh kawasan Kada bagi mengepam air dari mana-mana sumber bekalan air berdekatan seperti sungai dan parit buang untuk dialirkan ke sawah.

“Punca air Sungai Kelantan kini semakin susut, dan masalah ini bukannya disebabkan musim kemarau tetapi akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara berleluasa di kawasan tadahan hujan di Hulu Kelantan,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, aktiviti perlombongan pasir secara besar-besaran beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca tanah di kawasan sungai mendap dan semakin cetek sehingga menyekat aliran sungai.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar diharap kaji perkara itu dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan