Rabu, 20 Jun 2012

Petani Bakal Rugi RM150 Juta

KOTA BHARU - Golongan petani di negeri ini bakal menanggung kerugian hampir RM150 juta akibat krisis air sungai Kelantan yang menjadi sumber utama bekalan air ke kawasan sawah padi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kemubu (Kada),Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi yang berlaku itu turut menyebabkan Kada kehilangan hasil pengeluaran padi sebanyak 120,000 tan.

Beliau berkata, keadaan paras air yang rendah, menyebabkan stesen pam Kada tidak dapat menyalurkan air untuk dialirkan ke sawah-sawah padi di setiap kawasan yang diselia pihak terbabit.

“Bekalan air ke bendang bergantung kepada sumber air sungai yang dialirkan melalui pam utama di Kampung Kemubu sendiri di samping Lemal dan Kasar di Pasir Mas.

Jika keadaan paras air sungai terlalu rendah, kerja-kerja mengepam air untuk disalurkan ke sawah tidak dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, dalam situasi terbabit petani tidak dapat menuai hasil padi dan perkara itu turut menjejaskan mata pencarian mereka.

“Beberapa langkah sudah diatur bagi mengatasi masalah terbabit, antaranya menempatkan pam-pam bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh kawasan Kada bagi mengepam air dari mana-mana sumber bekalan air berdekatan seperti sungai dan parit buang untuk dialirkan ke sawah.

“Punca air Sungai Kelantan kini semakin susut, dan masalah ini bukannya disebabkan musim kemarau tetapi akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara berleluasa di kawasan tadahan hujan di Hulu Kelantan,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, aktiviti perlombongan pasir secara besar-besaran beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca tanah di kawasan sungai mendap dan semakin cetek sehingga menyekat aliran sungai.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar diharap kaji perkara itu dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Jumaat, 15 Jun 2012

Penganggur didakwa tipu RM40,000 wang pesara

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang pesara menyebabkan warga emas terbabit menyerahkan RM40,000 kepadanya, tahun lalu.

Tuduhan terhadap Shee Fook, 64, dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan dihadapi Fook, dia bersama tiga yang masih bebas didakwa memperdaya Mohd Nor Mat Hassan, 76, sehingga mangsa menyerahkan RM40,000 bagi tujuan mengelak pengenaan cukai pendapatan berserta dengan pembayaran sewa tanah sebanyak lima tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.15 petang, 7 Ogos di sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan, di sini.

Dia yang berasal dari Kampung Kuala Satap Sebuti, Sarawak itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Susulan penafian itu, Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menetapkan 12 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman - Sinar Harian

Khamis, 14 Jun 2012

PGA gagalkan cubaan seludup baju, beras

RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup beras dan baju lelaki dipercayai dibawa masuk dari negara jiran bernilai RM29,850 di dua lokasi berasingan digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA), petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintenden Rooslan Radzi berkata, serbuan pertama kira-kira jam 1 petang membolehkan pasukan ini merampas 400 kilogram (kg) beras bernilai RM1,200 dan turut menahan seorang lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dalam operasi kedua kira-kira 4 petang di Pangkalan Haram Tebu, Kompeni B,PGA yang diketuai Asisten Superintenden Ismail Isrudin merampas 517 helai baju sementara penyeludup melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota terlibat terpaksa mengekori kenderaan dipandu lelaki berusia 34 tahun ini sebelum mengarahkannya memberhentikan perjalanannya. Setelah pemeriksaan dibuat, anggota PGA menemui 16 kampit beras di tempat duduk hadapan, belakang serta boot masing-masing seberat 25 kg dipercayai untuk dibawa ke Melor,” katanya di sidang media di Taman Bakti, di sini.

Rooslan berkata, beliau melihat ‘trend’ penyeludup mula berubah apabila terus menghantar barangan dibawa masuk ke negara ini kepada pelanggan berbanding menyimpan di stor terlebih dahulu.

Menurutnya, barangan yang dirampas ini dipercayai dibawa masuk menerusi pangkalan haram termasuk Pangkalan Tebu.

Pada sidang media sama, Rooslan berkata, sehingga kini barangan bernilai RM2.4 juta dirampas PGA setelah mengambil alih tugas bulan lalu.

Menurutnya, dalam tempoh kurang seminggu juga pihaknya berjaya merampas barangan bernilai RM500,000 setelah kejayaan mencatat RM1.8 juta sehingga 6 Jun lalu.

Sabotaj mahu gagal projek lebuh raya rakyat


KOTA BHARU - Belum pun pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bermula sudah timbul dakwaan terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan pembinaan projek itu yang dikenali sebagai lebuh raya rakyat.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pembinaan lebuh raya itu masih mengikut jadual walaupun terdapat usaha untuk mengganggu kontraktor yang terlibat.

Malah kata beliau, pihaknya juga melantik lapan juruukur baru yang terlibat dalam proses mengenal pasti laluan setelah juruukur yang asal diganggu.

“Kontraktor yang dilantik masih lagi kuat dengan ikatan perjanjian walaupun pihak tertentu cuba untuk (hasut supaya) tidak terlibat, ini adalah satu dari cubaan tetapi semuanya masih mengikut jadual,” kata beliau selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau terkejut apabila mendapati konsep wakaf yang diperkenalkan mendapat sambutan baik bukan sahaja dari segi kewangan malah perkhidmatan.

Mengulas mengenai kritikan sinis pihak tertentu yang meragui usaha pembinaan tersebut, Husam berkata, beliau tidak akan memberi banyak reaksi sebaliknya menunjukkan usaha itu melalui tindakan.

“Saya tak akan jawab lisan, sebaliknya melalui tindakan, kita sudah lantik kontraktor dan mempunyai perjanjian serta struktur kewangan, bagi kita empat bulan pun dah nampak kemajuan,” katanya.

Bagi tujuan yang sama, Husam dalam nada sinis berkata, pihaknya akan melelong perkakasan pembinaan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh peserta perhimpunan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) minggu lalu.

Menjawab kritikan mengenai terdapat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan mempunyai kaitan dengan syarikat Genting, Husam berkata, mereka yang membuat dakwaan itu terlebih dahulu perlu menyelidik kenapa Kerajaan Pusat tidak membina sedangkan ia tanggungjawab mereka. - Sinar Harian

Sabtu, 10 Mac 2012

Dua Buah Kedai Hangus Terbakar Sekelip Mata

KOTA BHARU - Sebuah butik pengantin hangus dalam kabakaran membabitkan dua buah kedai di Ketereh dalam kejadian 1.30 petang semalam.

Pemilik butik pengantin berkenan, Wan Abdul Hakam Wan Omar, 35, berkata, hanya isteri, Rosidah Mohd Zinon, 33, dan beberapa pekerja berada dalam kedai tersebut manakala dia menunai solat Jumaat.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan kelengkapan pengantin pelanggan yang membuat tempahan untuk majlis kahwin bagi musim cuti sekolah yang bermula semalam, kerana semuanya hangus dalam kebakaran,” katanya.

Katanya, ketika kejadian berlaku, dia sedang mendengar khutbah Jumaat dan menerima berita mengenai kebakaran melalui seorang rakan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di kedai, saya lihat api semakin marak dan tidak dapat menyelamatkan segala barangan dalam kedai terbabit yang dijadikan stor barangan pengantin,

“Sedih juga apabila kedai yang disewa sejak lebih 10 tahun lalu hangus dalam sekelip mata. Apa pun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa dan kesemuanya selamat,” katanya.

Menurutnya, dia mengagarkan kerugian kira-kira lebih RM 150,000 berdasarkan 20 unit pelamin yang turut hangus dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu seorang lagi pemilik kedai membaiki seluar, Mohd Izzat Mohd Wardi, 24, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas menunaikan solat Jumaat.

“Sampai di kedai kesemuanya sudah hangus hampir 80 peratus termasuk tujuh buah mesin jahit.

“Terkilan kerana tidak dapat selamatkan barangan dalam kedai di samping menanggung kerugian lebih RM30,000,” katanya.

Sementara Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok, berkata, kebakaran terbabit melibatkan dua kedai jenis sementara.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 1.51 petang dan sampai di tempat kejadian pada 1.53 petang. Dengan kekuatan dua jentera dari Balai Ketereh dan Darul Naim bersama 15 anggota api dapat dikawal kira-kira jam 2.03 petang.

Beliau berkata, setakat ini punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM 288,000.

Kelantan Tetap Bubar Dun Bersama Dewan Rakyat

KOTA BHARU - Di sebalik desas desus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam masa terdekat, Kerajaan Kelantan menegaskan tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bersama Dewan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pilihan raya berasing tidak memberi manfaat politik yang besar kepada Kelantan selain memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Sebagaimana yang saya sebut sebelum ini, atas sifat peribadi, saya mahu pilihan raya (peringkat Dun) diadakan serentak dengan (pilihan raya) Parlimen, kerana banyak perkara yang tidak elok boleh berlaku jika diadakan secara berasingan.

”Kalau (PR) nak buat mesyuarat, dia punya fasal, bagi saya Kelantan, saya (akan pohon) membubarkan Dun bersekali dengan Pusat,” katanya ketika ditemui di selepas kuliah Jumaat, di Dataran Ilmu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menjelaskan pemimpin tertinggi PR akan membuat satu ketetapan Selasa ini sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diperintah mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.

Guan Eng berkata, ketetapan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri itu hanya akan membubarkan Dun selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen, jika ia dibubarkan sebelum bulan Jun.

Dalam pada itu, Nik Aziz ketika ditemui di kediaman rasminya di JKR 10 berkata, beliau tidak mengulas lagi mengenai kecaman yang dibuat oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali termasuk mendakwa terdapat parasit dalam kepimpinan Pas Kelantan.

“Biar dia nak kecam Pas, dia bukan lagi ahli Pas, saya tidak mahu nafi ada parasit, sebab kalau saya nafi benda itu mungkin wujud, Pas dianggotai ahli yang berpelajaran, tidak ada parasit,” katanya.

Rabu, 7 Mac 2012

Daudsu Kemalangan, Kereta Mitsubishi Lancer Dianggarkan Kerugian RM 200,000.

KOTA BHARU - Pemain pertahan Kelantan, Daudsu Jamaluddin, 27, terlibat dalam kemalangan selepas dikatakan gagal mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan U di Jalan Pengkalan Chepa-Kota Bharu di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun beliau bersama isteri, Nursyahmina Rasudin, 26 serta anaknya, Nik Dhiya Qistina, 18 bulan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar Perdana.

Menurutnya, semasa kejadian pada jam 8.15 malam, dia yang menaiki kereta jenis Mistubishi Lancer menghala ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, untuk menghantar isterinya ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi.

“Ketika sampai di selekoh berhampiran kem tentera Markas Lapan Briged, saya nampak sebuah motosikal dan seorang lelaki terbaring di atas jalan selepas dikatakan dilanggar sebuah kereta Iswara dari arah jalan yang sama, bagi mengelak melanggarnya, saya cuba pusing stereng kereta ke tepi tetapi tindakan saya itu menyebabkan kereta saya terbabas.

“Ini merupakan kejadian pertama yang melibatkan saya dan keluarga dalam kemalangan seumpama ini selepas empat tahun menggunakan kereta ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Daudsu berkata, walaupun terkejut dengan kejadian itu, dia masih bersyukur kerana anak serta isterinya terselamat.

“Kerugian dianggarkan lebih RM200,000 berdasarkan kerosakan dan nilai sebenar kereta terbabit iaitu RM124,000.

“Apa pun kejadian ini tidak akan saya lupakan kerana ia turut melibatkan keluarga, namun saya masih bersyukur kerana mereka selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal.

“Mangsa yang menaiki motosikal dikatakan membuat pusingan U dirempuh kereta Iswara dari Kota Bharu ke Pengkalan Chepa yang gagal mengelak lalu melanggar mangsa sementara kereta yang dipandu Daudsu yang berada pada arah yang sama, gagal mengelak motosikal yang dilanggar lalu terbabas ke tepi jalan.

"Lelaki terbabit mengalami kecederaan di kepala dan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) serta dilaporkan stabil,” katanya.

Azham berkata, pemandu Iswara membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) sejurus selepas kemalangan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Malaysia Tak Perlu Perubahan Revolusi - Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan program yang bersifat revolusi tetapi sebaliknya memerlukan pemimpin yang diyakini rakyat dan komited kepada perubahan.

NONEPerdana Menteri berkata tahun ini menjanjikan wujudnya perbincangan politik yang meluas di Malaysia dan beliau berharap lebih ramai perwakilan dapat memberikan tumpuan kepada permasalahan sebenar yang dihadapi.

"Natijahnya rakyatlah yang akan menentukan masa hadapan negara. Itulah erti sebenar kebebasan daripada penguasaan penjajah, itulah yang kita pertahankan sejak mula Merdeka dan sewajarnya kita semua berbangga memiliki sebuah Malaysia yang ditentukan oleh rakyatnya," katanya.

Najib berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk '1Malaysia Adalah Satu Komitmen Terhadap Transformasi' dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan yang menentang 1Malaysia membawa dua penampilan iaitu pihak yang bersikap tegar menyatakan bahawa pendekatan tahun 1971 dan gelombang pertama Polisi Ekonomi Baru tidak boleh diubah, dan pihak yang menuntut program perubahan yang berbentuk revolusi.

Berhubung kumpulan penentang pertama, Najib berkata: "Saya faham mengapa ada kegusaran pada mereka; terdapat banyak lagi ketidakseimbangan sejarah dalam masyarakat kita yang masih perlu ditangani, dan ini akan kita lakukan.

"Namun kita juga perlu menampilkan pendekatan yang dapat menggalakkan mereka yang boleh menyumbang kepada Malaysia untuk kekal di sini dan kita juga perlu mengakui bahawa penglibatan yang lebih meluas dalam ekonomi tidak akan dengan sendirinya menyelesaikan masalah kemiskinan di akar umbi."

NONEKepada mereka yang meragui 1Malaysia atas sebab-sebab tersebut, Najib menasihatkan mereka supaya bertenang dan bersabar kerana, menurut beliau, 1Malaysia adalah satu strategi dinamik untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Dan saya percaya kita akan mendapat lebih banyak manfaat daripadanya berbanding jika kita menolak perubahan," katanya.

Perdana Menteri menyifatkan kumpulan penentang 1Malaysia yang kedua sebagai lebih membimbangkan dengan terus-menerus menolak dan tidak berpuas hati dengan apa sahaja yang dilakukan kerajaan, serta menuntut program perubahan berbentuk revolusi.

Mengulas lanjut mengenai kumpulan ini, Najib berkata kata-kata mereka berubah mengikut siapa hadirin mereka dengan bermotivasikan ketamakan kuasa dan sentiasa membangkitkan kontroversi bagaikan ia satu keperluan dan kemestian bagi mereka.

"Sekiranya dihimpunkan semua program yang mereka canangkan, ternyata ia tidak teratur. Seseorang itu tidak boleh berjanji untuk melupuskan tol, melupuskan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sebanyak RM40 bilion dan mengurangkan defisit belanjawan semuanya dalam satu masa.

azlan"Dalam sekelip mata salah satu daripada janji-janji ini akan gagal dan akibatnya, rakyat menjadi marah dan ekonomi jatuh menjunam," tegas beliau.

Namun, di sebalik kebimbangan itu, Najib berkata beliau adalah seorang yang optimis.

"Saya percaya bahawa ketidakpuasan hati yang dihalakan ke arah kerajaan kerana kononnya gagal melaksanakan program mereka yang tidak masuk akal, akan hanya menemui kegagalan akhirnya.

"Ini kerana semakin banyak janji kosong yang ditabur kepada masyarakat umum, maka semakin hilanglah kepercayaan rakyat terhadap mereka," katanya.

- Bernama

Isnin, 5 Mac 2012

53.5 KM dari 75.5 KM Pantai di Kelantan Mengalami Hakisan Musim Tengkujuh

KOTA BHARU - Sepanjang 53.5 kilometer pantai di Kelantan dikenal pasti mengalami hakisan terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata hakisan tiga pantai di sini iaitu di Pantai Cahaya Bulan, Kuala Pak Amat, Pantai Sabak serta Pantai Irama di Bachok dikategorikan sebagai kritikal.

"Pantai di Kelantan adalah sepanjang 75.5 kilometer dengan 53.5 kilometer daripadanya mengalami hakisan.

"Tiga kawasan pantai di Kota Baharu dan di Bachok adalah serius manakala pantai lainnya dikategori sebagai ketara dan boleh diterima," katanya ketika menjawab soalan Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria (PKR-Guchil) di persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin.

Md Anizam berkata Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh dikategori sebagai ketara iaitu masih berlaku dan mengambil masa sehingga kira-kira 10 tahun lagi, jika tidak diatasi untuk mencapai peringkat kritikal.

Beliau berkata Pantai Mek Mah di sini pula dikategori sebagai tidak berbahaya selain ia tidak dimajukan sebagai pusat pelancongan seperti yang lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata sejak 2009 sehingga kini sebanyak 346 kes penderaan dilaporkan berlaku di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 322 kes membabitkan penderaan terhadap wanita manakala 24 kes adalah penderaan terhadap kanak-kanak. Sebanyak 173 kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lannjut," katanya menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok).

Wan Ubaidah berkata penderaan yang membabitkan wanita terhadap wanita juga dilaporkan berlaku yang membabitkan madu, ibu tiri, ibu kandung dan keluarga sendiri. - BERNAMA

Kes Diabetes di Kelantan Meningkat

KOTA BHARU — Kelantan khuatir dengan peningkatan ketara jumlah penghidap baru kes diabetes di negeri ini, yang berpunca daripada tabiat penduduknya mengambil gula secara berlebihan kata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri Wan Ubaidah Omar.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, kira-kira 25,500 penduduk menghidap diabetes dengan lebih 4,000 orang merupakan kes baru.

“Ini yang kita bimbangkan kerana segala langkah telah kita lakukan untuk memberi kesedaran kepada rakyat namun mereka menganggap penyakit ini sebagai biasa sahaja.

“Mereka telah menjadikan mengambil gula berlebihan ini adalah gaya hidup rakyat Kelantan dan penyakit ini merupakan penyakit biasa yang tidak perlu digeruni,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.— BERNAMA

Sabtu, 3 Mac 2012

Calon MB Kelantan Belum Lagi Di Tentukan- Najib

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib berkata calon Menteri Besar dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kelantan belum ditentukan lagi setakat ini.

Perdana Menteri berkata BN akan menentukan barisan pemimpin itu apabila tiba masanya kelak.

"Kita faham, bila sampai masanya (nanti) kita akan bariskan pemimpin BN yang berwibawa untuk mempimpin kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Bersama Profesional Kelantan di sini, Jumaat.

Najib mengulas soalan pemberita mengenai kesediaan BN dan Umno meletakkan nama-nama sebagai pemimpin negeri berikutan faktor calon yang bakal menjadi Menteri Besar Kelantan penting demi menjamin kemenangan Barisan Nasional.

Menjawab soalan berhubung kenyataannya bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed adalah wakil beliau, Najib berkata ia adalah di dalam konteks Umno di mana Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.

Mengenai kajian bahawa Mustapa adalah calon terbaik untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau berkata: "Oh anda nak Tok Pa (Mustapa), tak apalah kita tengok dulu pendapat semua pihak... Tak susah kalau Tok Pa sanggup."

Najib berkata calon-calon akan diumumkan tidak terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.

Merumuskan lawatan seharinya di sini, beliau berkata walaupun suasana baik di kalangan penyokong tetapi ia bukan satu perkara mudah untuk parti kembali menawan negeri ini.

"Saya sedar bahawa kita tak boleh anggap jalan itu mudah kepada kita dan mesti terus berusaha lakukan yang diperlukan dalam menjamin kemenangan kita," katanya.

Beliau berkata anggota Umno mesti setia kepada parti dan kesetiaan itu akan teruji apabila nama calon diumumkan kelak.

"Saya nampak komitmen bertambah baik dan kita memberikan tumpuan turun ke bahagian-bahagian untuk yakinkan mereka, bagi komitmen mereka untuk apa juga keadaan dengan menerima keputusan kepimpinan," katanya.

Najib berkata perkara ini elok diperingatkan selalu supaya anggota parti tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan parti.

Ditanya mengenai tuntutan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut kerajaan PAS Kelantan supaya menunaikan janji pilihan raya, Najib berkata rakyat kini sudah bijak menilai.

"Ada kumpulan NGO, (yang mana) bukan Umno di belakang (mereka) itu. Sekarang ni tak boleh tutup. Rakyat berpengetahuan tinggi dan bermaklumat.

"Kalau ada sesiapa yang tak tunai janji mereka tentu bangkit mendesak menuntut janji-janji berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar) tampil menuntut kerajaan PAS Kelantan supaya menunaikan 22 janji sepanjang mentadbir negeri selama 21 tahun lepas.

Mengenai bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mendakwa bahawa beliau membeli undi di kawasan yang ditandinginya, Najib berkata perkara itu diserahkan Lembaga Disiplin Umno.

Abdul Kadir, yang juga bekas menteri kabinet, mendakwa beliau pernah memberi RM200 sehingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya BN untuk tujuan membeli undi. -Bernama.

Penafian Hamas Bukti Anwar Sebelahi Israel - Najib

KOTA BHARU -  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penafian Hamas bahawa ia mempunyai pendirian selari dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kenyataan Ketua Pembangkang itu yang menyebelahi Israel.

Perdana Menteri berkata kenyataan Anwar nyata bertentangan dengan pendirian Hamas yang memperjuangkan hak rakyat dan negara Palestin.

"Dia (Hamas) tolaklah sebab kenyataan Anwar itu memang menunjukkan dia (Anwar) lebih memberi keutamaan kepada keselamatan negara Israel berbanding perjuangan orang Palestin yang ditindas dan dizalimi (rejim Israel) selama ini," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Najib mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik Hamas Dr Mousa Abu Marzook semalam yang menafikan pendirian pertubuhan itu selari dengan Anwar yang menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan Israel.

Dr Mousa dipetik sebagai berkata bahawa pertubuhan itu sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis.

Anwar sebelum ini mendakwa pemimpin Hamas Khalid Mashal menerima baik penjelasannya berhubung kontroversi berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu di Qatar.

Najib berkata pendirian kerajaan terhadap Israel adalah konsisten sejak sekian lama dan ini terbukti melalui surat-surat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kepada tiga bekas pemimpin negara itu.

Kandungan surat itu antara lain menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel dan tidak pernah menyokong negara itu mahupun perkara berkaitan negara itu. BERNAMA

Najib Jamin Sisa LYNAS Akan Dibuang Jauh Dari Penempatan Penduduk

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan akan dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari penempatan penduduk.

Perdana Menteri berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira soal kelegaan masyarakat tempatan daripada segi psikologi dan emosi.

"Walaupun saintis sudah mempunyai bukti termasuk akuan dari badan-badan antarabangsa sisa buangan itu selamat tetapi kerana masih ada orang yang tidak puas hati yang membabitkan soal emosi dan psikologi, jadi kita putuskan kena pindahkan sisa buangan itu ke tempat yang lebih jauh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama Profesional Kelantan di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak.

Perdana Menteri menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Isu Lynas telah dimanipulasi oleh pembangkang dengan mengajak rakyat berdemonstrasi di beberapa tempat pada Ahad lalu. - Bernama

Jumaat, 2 Mac 2012

Hasil Tadbir Urus Yang Baik Majukan Negara, Manfaatkan Rakyat - Najib

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil tadbir urus yang baik menjadikan negara semakin maju dan dengan kemakmuran itu, rakyat terutama yang perlu dibantu kini mendapat manfaat sewajarnya.
Perdana Menteri berkata ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.1 peratus dengan nilai pelaburan mencecah RM105 bilion serta nilai hasil kerajaan pusat yang bertambah sebanyak RM26 bilion tahun lepas membuktikan kecekapan tadbir urus kerajaan.

"Ini bukan sedikit punya pitih (wang) dan lebihan yang ada itu lebih baik kita berikan kepada rakyat yang mana 80 peratus isirumah di seluruh negara mendapat manfaat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Seramai 300,000 isi rumah penduduk Kelantan turut mendapat manfaat dan ini kerana apa? Kerana urus tadbir negara dapat dilakukan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Ramah Mesra Bersama Profesional Kelantan di Padang Kompleks Wakaf Mek Zainab di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis itu.

Najib berkata dalam memberikan bantuan kepada rakyat, kerajaan sama sekali tidak memilih bulu tanpa mengira faham politik masing-masing.

"Yang pakai baju merah kita bagi, yang pakai baju biru pun kita bagi dan yang pakai baju hijau pun kita bagi," katanya.

Beliau berkata apa sahaja tohmahan pembangkang terhadap langkah kerajaan Barisan Nasional, ia sedikit pun tidak menjadi kudis sebaliknya berharap Allah SWT memberikan pahala di atas keikhlasan itu.

"Inilah negara berkebajikan yang sebenarnya dan kalau tidak urus tadbir negara dengan baik, sudah tentu kita tidak mampu berpeluang untuk sama-sama memajukan negara dan ada yang menjadi penganggur," katanya.

Perdana Menteri berkata kepimpinan yang baik sudah semestinya akan memastikan agenda nasional berjaya dan hasrat kerajaan itu mahu melihat semua rakyat tidak terkecuali menikmatinya.

Mengulas 12 resolusi yang diserahkan Peneraju Profesional Kelantan (Kelpro) agar sesuatu dapat dilakukan kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri ini Najib berkata golongan profesional itu perlu berani membuat perubahan kepimpinan pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Sebahagian besar boleh kita (BN) laksanakan. Tiada masalah buat rumah perumahan rakyat. Nak bawa industri boleh buat. Masalah air tak ada hal.

"Kalau resolusi ini nak kita buat (realisasikan), kita mesti berani buat perubahan," katanya.

Najib berkata beliau tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimahukan golongan profesional itu jika tidak mahukan kerajaan yang benar-benar mampu membawa negara dan negeri ke tahap yang sepatutnya.

"Mereka ini sudah berjaya dan kita tidak boleh kecewakan mereka dan kita perlu lakukan yang terbaik untuk itu," katanya. BERNAMA

Khamis, 1 Mac 2012

PAS BUKAN HAK DZULKEFLY, JANGAN SEMBARANGAN SENTUH DASAR PARTI - PEMUDA PAS

SHAH ALAM –  Dewan Pemuda Pas menggesa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad agar menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf berikutan responsnya bahawa parti itu bersedia menerima seorang Timbalan Presiden Pas daripada kalangan bukan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, perkara-perkara yang besar dan melibatkan dasar parti perlu diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti sama ada muktamar tahunannya atau Majlis Syura Ulama selain memerlukan pindaan Perlembagaan Pas.

Katanya, langkah-langkah itu memerlukan proses yang panjang dan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan semua ahli.

“Bukan semudah itu untuk melontarkan sesuatu pandangan yang besar apabila melibatkan dasar dan perlembagaan parti.

“Beliau sepatutnya merujuk Perlembagaan Pas serta kepemimpinan tertinggi terlebih dahulu sebelum melontarkan pandangan kerana boleh menimbulkan satu polemik yang meresahkan ahli di peringkat bawahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shahir, natijah dari kenyataan Dzulkefly semalam, pengundi Melayu juga sudah mula mempertikaikan kenyataan beliau dengan menganggap Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya.

Kelmarin, Dzulkefly membuat kenyataan itu ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Menurut beliau dalam Islam, terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah, contoh yang boleh berubah adalah perkara politik.

Katanya, Pas tidak terlalu taksub dengan berkeras mengatakan orang bukan Islam tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti. Ujar, Mohd Shahir, perlembagaan parti dengan jelas menggariskan syarat bahawa ahli mestilah beragama Islam.

Katanya, sebagai sebuah parti Islam yang meletakkan dasar dan matlamat perjuangannya Islam, sudah tentu mereka yang mendukungnya juga mesti terdiri daripada orang-orang Islam.

Sementara itu, Mohd Shahir berkata, amat sukar bagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam menerima kepemimpinan tertingginya daripada kalangan bukan Islam.

“Sepatutnya sebagai pimpinan Pas di peringkat pusat, beliau perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan berbincang dengan kepemimpinan Pas Pusat supaya kenyataan beliau selari dengan dasar parti,” katanya.

“Kami berharap Dr Dzulkefly Ahmad lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pas,” katanya.- Sinar Harian

Selasa, 28 Februari 2012

AMANAT KHAS DAN PENGUMUMAN PM UNTUK WARGA KOTA BHARU JUMAAT INI

Bersama  kita memanjat kesyukuran kepada Allah Taala diatas kesempurnaan kurniannya seorang pemimpin besar negara yang "Mudah Baso dan senang kiro" yaitu seorang Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disamping seluruh rakyat di negara kita merasa syukur, tibalah masanya bagi penduduk Kota Bharu pula yang ingin melahirkan rasa terima kasih terhadap PM seterusnya tidak melepaskan peluang yang sangat sukar ini untuk melihat secara dekat dan beramah mesra bersamanya.


Seorang Perdana Menteri yang disifatkan sebagai 'Hero Rakyat' ini sebenarnya telah banyak menjuarai segala kebajikkan kepada rakyat, melalui usaha 'Transformasi Minda Memeta Wawasan Melaksana Amanah' yang diperkenalkan beliau telah banyak mengubah taraf hidup rakyat serta menyediakan kemudahan dan bantuan yang sempurna tanpa mengira bangsa. Sebahagian buktinya sila rujuk diSINI.

Apapun warga Kota Bharu tidak sekali-kali melupakan orang yang telah bersusah payah dan bertungkus lumus membawa Perdana Menteri untuk menjenguk rakyat di Kota Bharu ini bagi membawa satu perubahan kepada seluruh masyarakat disini, beliau tidak lain dan tidak bukan ialah Datuk Fatmi Che Salleh yang juga merangkap Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri.

Alangkah bangganya warga Kota Bharu sekiranya mempunyai pemimpin atau wakil  yang sangat rapat dengan Perdana Menteri, ini sekaligus perhatian yang khusus dapat diberikan kepada penduduk di Kota Bharu dan pasti manfaatnya dapat dirasai oleh keseluruhan penduduk di dalam negeri Kelantan Darul Naim.

Apa yang difahamkan kehadiran Perdana Menteri di Kota Bharu ini dibuat pada saat-saat terakhir hasil dari kesungguhan Datuk Fatmi agar Perdana Menteri sendiri yang mengumumkan dari apa yang dirancangkan oleh beliau selama ini dalam usaha meningkatkan taraf hidup sosio ekonomi, pembangunan dan juga pusat perkembangan Islam yang berstatus antarabangsa di daerah Kota Bharu ini.

Melihat kesungguhan Datuk Fatmi dalam usaha membantu rakyat, dikatakan Perdana Menteri telah bersetuju untuk tidak menghampakan harapannya dan Harapan seluruh penduduk di Kota Bharu khasnya bagi bersama-sama dalam Majlis Penyerahan Resolusi Konvensyen Profesional Kelantan.

Pada Majlis tersebut, Perdana Menteri juga akan membuat kejutan kepada rakyat Kelantan dan Warga Kota Bharu khasnya dengan pengumuman bermanfaat kepada rakyat dan pasti ianya dinanti dan sudah diimpikan oleh seluruh rakyat sebelum ini. Pengumuman tersebut yang akan terlaksana juga bakal menjadikan Kota Bharu sebuah bandar berkonsep Islamik yang sebenar dan termaju lantas mengubah lanskap kehidupan seluruh rakyat.

Itulah tanda terima kasih tidak terhingga seorang Perdana Menteri kepada warga di Kota Bharu hasil dari peranan Datuk Fatmi seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat permasalahan rakyat. Kepercayaan rakyat kepada Datuk Fatmi tidak dikecewakan, ianya dibawa dan  diterjemahkan kepada Perdana Menteri untuk direalisasikan harapan tersebut.

Sebagai menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh Kerajaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tanda terima kasih kita  rakyat Kelantan dan penduduk di Kota Bharu khasnya, anda dijemput datang beramai-ramai untuk memberi sokongan dari apa yang akan dilaksanakan dan akan disumbangkan kepada kita semua.

Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita menerima, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang sudi membawa arus perubahan di bandar Kota Bharu ini. Terima kasih juga didahulukan kepada seluruh warga Kota Bharu dengan kehadiran di Majlis ini nanti supaya kesungguhan kita untuk mengubah nasib hidup menambahkan lagi semangat juang Pemimpin kita Datuk Fatmi Che Salleh.

Tengku Mahkota Pahang Campur Tangan Isu Khalwat Dr Badrulamin Bahron

Pengarah Penerangan kerajaan Selangor Dr Badrulamin Bahron mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa Tengku Mahkota Pahang mungkin mencemar duli dan campur tangan dalam isu tuduhan khalwat yang dilemparkan terhadap dirinya.

Katanya, kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Mahkota yang didakwa mengenalinya secara peribadi.

"Hari ini baginda mengarahkan orang kanannya bertemu saya untuk mendengar versi saya terhadap insiden itu dan berbincang dengan peguam saya.

"Gambaran yang diberikan, terdapat kemungkinan yang tinggi Tengku Mahkota campur tangan dalam kes ini untuk menghentikan kerja kotor Umno yang tidak pernah berhenti menyerang, menyerang dan terus menyerang," kata Badrulamin.

Pada ceramah sulungnya di pentas Seremban selepas didakwa berkhalwat, Badrulamin juga malam tadi diiringi isterinya.

Bercakap di hadapan kira-kira 500 penyokong Pakatan Rakyat, beliau juga mendakwa pembantunya di Kuala Lumpur mendapat ugutan supaya bersedia menjadi saksi bagi memburukkannya.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung isu itu hari ini.

Semalam, dalam kenyataan akhbarnya, Badrulamin juga berkata beliau khuatir kes itu akan dijadikan permainan politik kotor oleh Umno.

Dakwanya, selain pemandunya diugut, beliau juga diberitahu oleh ayah kepada wanita yang dituduh berkhalwat dengannya itu bahawa seorang ahli parlimen Pahang yang sekarang bertugas di luar negara ada meminta nombor telefon suami wanita berkenaan melalui ketua kampung di situ.

Menyentuh siasatan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang bermula semalam, Badrulamin berkata beliau memberikan kerjasama penuh. -Malaysiakini.

Isnin, 27 Februari 2012

Ambil Positif Kenyataan PM Tentang Isu Kemiskinan di Kelantan

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan sepatutnya mengambil positif disebalik pendedahan mengatakan negeri ini adalah termiskin dalam negara ini, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Mnurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bukan untuk menghina rakyat negara ini, sebaliknya pendedahan dibuat adalah fakta berdasarkan statistik.

"Apa yang berlaku hari ini adalah kenyataan PM diputar belit pihak tidak bertanggungjawab, sehingga timbul spekulasi mengatakan kenyataan itu menghina rakyat Kelantan, ia satu kenyataan yang merugikan rakyat Kelantan.

"Pendapatan rakyat Kelantan adalah terendah berbanding negeri lain, ekonomi Kelantan tak berkembangan, tidak semaju negeri lain, dan kalau tidak dipoltikkan ia perlu diambil dalam nada positif, agar rakyat Kelantan mengambil langkah dan strategi untuk meningkatkannya," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kereta Sewa Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ)II disini.

Mohd Fatmi menyifatkan suara sumbangan yang mengkritik kenyataan PM itu dibuat demi kepentingan politik semata-mata.

"Tidak timbul Kelantan dianaktirikan dan dihina, kerana ia dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan, termasuk hospital ini yang diperuntukkan dengan satu peruntukkan tertentu bagi tujuan menaik taraf dan sebagainya,"katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan kereta sewa kepada pesakit di hospital berkenaan, Mohd fatmi yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat HRPZ II berkata, ia adalah satu alternatif yang di lakukan dalam mengurangkan masalah kesesakan di hospital.

"Idea mewujudkan perkhidmatan kereta sewa ini diilhamkan Pengarah HRPZ II sendiri, Datuk Dr. Ghazali Husni Md Hassan setelah melihat kepada masalah kesesakan yang sering berlaku di hospital-hospital termasuk hospital ini," katanya.

Mohd fatmi berkata, HRPZ II mandapat kerjasama Persatuan Kereta Sewa Buluh Kubu yang menyediakan 10 kenderaan untuk tujuan perkhidmatan di hospital berkenaan.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan kereta sewa itu boleh menghubungi talian 014-5025928.

Kes Denggi Tahun 2011 Turun 79 Peratus

KOTA BHARU - Kes denggi di negeri ini tahun lalu mencatat penurunan besar iaitu sebanyak 79 peratus, daripada 3,578 kes pada 2010 kepada hanya 743 kes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan berkata, daripada jumlah itu 38 kes adalah kes demam denggi berdarah dengan hanya satu kematian dicatatkan pada tahun lalu.

Jelasnya lagi, daerah Kota Bharu mencatatkan kes terbanyak dengan 340 kes iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan bilangan kes.

"Sebanyak 17 episod wabak juga telah dilaporkan berlaku di 17 lokaliti namun semuanya adalah wabak terkawal.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha keras yang kita jalankan di mana pada tahun lalu lebih sejuta premis telah dibuat semburan kabus bagi membunuh nyamuk aedes dewasa, manakala sebanyak 573,720 premis telah diperiksa bagi pembiakan dengan 4,511 atau 0.8 peratus daripadanya didapati positif aedes.

"Sebanyak 852 sesi gotong-royong juga telah dianjurkan di seluruh negeri melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena program 'Gotong Royong Jom! Ganyang Aedes' peringkat Taman Seri Pengkalan Chepa anjuran Pejabat Kesihatan daerah, semalam.

Kenyataan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Dr. Nordiyanah berkata, pihak jabatan juga telah mengadakan pameran, ceramah dan pengedaran poster serta risalah selain membuat pengumuman di radio tempatan, pasar raya dan masjid bagi mendidik masyarakat.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 240 kompaun telah dikeluarkan dengan kutipan bayaran sebanyak RM105,150.

Katanya, sebanyak tujuh kes telah dibawa ke mahkamah di mana pihak terbabit enggan membayar kompaun yang dikenakan.

Jelasnya, pihak jabatan kesihatan akan terus mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang didapati dengan sengaja membiarkan premis dan kediaman mereka menjadi tempat pembiakan aedes.

Ahad, 26 Februari 2012

Rakyat Kelantan Mendesak SPAN Ambil Alih Pengurusan Air Kelantan

KOTA BHARU – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menganggap Kerajaan Pas Kelantan cuba mempolitikkan isu air negeri yang berlarutan sehingga 21 tahun apabila enggan menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Naib Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Datuk Musthapa Yaakub berkata, tindakan menyerahkan pengurusan air kepada Span adalah langkah terbaik dalam usaha menyelesaikan masalah terbabit dalam kadar segera.

Katanya, masalah air tidak akan selesai selagi kerajaan negeri hanya mengutamakan politik berbanding keperluan rakyat.

“Sebenarnya Kerajaan Pas Kelantan tahu masalah ini malah mereka cukup arif cuma apa yang berlaku adalah mereka terlalu berpolitik kerana menganggap jika SPAN yang menguruskannya maka itu bermaksud Kerajaan Pusat ambil alih.

“Jadi bila sebut Kerajaan Pusat semuanya buruk. Pemimpin di Kelantan ini apa sahaja perkara yang berkaitan dengan Kerajaan Pusat walaupun baik akan tetap dianggap buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perhimpunan lebih 3,000 rakyat Kelantan yang mendesak pengurusan air negeri ini diserahkan kepada SPAN di Lembah Sireh di sini.

Menurut Musthapa, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya melupakan sentimen politik kerana rakyat Kelantan semakin menderita disebabkan bekalan air yang semakin teruk.

“Sampai bila mereka mahu bertahan macam ini sebab keadaan air sekarang makin teruk bukannya semakin baik sebab itulah hari ini kita berkumpul beramai-ramai untuk menyatakan bantahan dan mendesak SPAN ambil alih.

“Span bukanlah sebuah badan politik jadi biarkan Span yang uruskan agar rakyat dapat air bersih dan bila itu sudah berlaku semua orang gembira termasuk pemimpin-pemimpin Kelantan sendiri,” ujarnya. -Detikperubahan.com.

Penubuhan UniKIST Bukti Graduan Penuhi Pasaran Kerja

KOTA BHARU - Selepas tujuh tahun beroperasi sebagai pusat pengajian sains kesihatan terbesar di Pantai Timur, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) bakal memasuki era baru apabila mengembangkan sayapnya sebagai Kolej Universiti Islam Sains dan Teknologi (UniKIST).

Penubuhan UniKIST yang bakal beroperasi April ini, adalah lambang kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada kejayaan KIST selama ini seperti dinyatakan menerusi surat pelawaan kepada pengurusan kolej pada 19 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Taib A. Rahim berkata, kumpulan pelajar perintis akan memulakan pengajian peringkat sarjana muda sains sosial di Kampus Kota UniKIST Wisma Abrar, Jalan Kebun Sultan dekat sini.

"UniKIST juga bakal menawarkan pengajian pasca diploma dan ijazah termasuk peringkat sarjana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Taib berkata, sejak penubuhannya hingga kini, KIST sudah melahirkan kira-kira 2,000 tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang dan berbekalkan keputusan cemerlang, pelajar terbabit tidak berdepan masalah bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian masing-masing.

"Pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terhadap bidang pengajian yang ditawarkan, membolehkan lulusan KIST menyertai perkhidmatan awam di jabatan kerajaan atau sektor swasta tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, beberapa bekas penuntut KIST yang ditemui mengakui tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pekerjaan sejurus sahaja tamat pengajian.

Seorang bekas penuntut KIST, Azizan Azizi, 22, yang mengambil jurusan kejururawatan di kolej berkenaan memberitahu, dia telah mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan.

"Saya menamatkan pengajian September lalu, tiga bulan selepas itu saya telah mendapat pekerjaan. Ini membuktikan pelajar KIST mampu bersaing dengan penuntut kolej lain. Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan, hampir 80 peratus mereka telah mendapat peluang pekerjaan," katanya.

Pandangan Azizan disokong oleh seorang lagi bekas penuntut KIST, Syacerelyne Suan Yun Chin, 22, yang kini berkhidmat dengan Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya dapat tawaran kerja sebelum tamat pengajian. Ini menunjukkan pelajar KIST mempunyai kualiti dan mampu bersaing dengan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negara ini.

"Selain itu, subjek yang diajar mengikut spesifikasi dan kehendak serta keperluan pasaran pekerjaan," ujarnya. -Utusan Malaysia.

Sabtu, 25 Februari 2012

Warga Emas Terpaksa Menghabiskan Sisa Hidup di Pondok Usang

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri terpaksa menghabiskan sisa hidup mereka di sebuah pondok usang tidak berdinding apabila rumah didiami sebelum ini terpaksa dirobohkan.

Nasib malang itu mula menimpa pasangan warga emas, Nawi Salam, 61 dan isterinya, Limah Wan Mat, 65, sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini, kami tinggal tidak jauh dari sini. Tetapi saya tumpang atas tanah orang dan apabila mereka ambil balik tanah itu, saya terpaksalah keluar dari rumah tersebut,” katanya.

Ketika tiba di lokasi, Sinar Harian terpaksa melalui laluan bercerun di tepi rimbunan buluh untuk sampai ke pondok Nawi di tebing sungai Kampung Limbat, Pasir Tumboh di sini.

Lebih menyayat hati apabila diberitahu, Nawi dan isterinya hanya makan sekiranya ada yang bermurah hati memberikan makanan kepada mereka.

“Jujurnya saya jawab, kalau ada duit kami belilah beras sekilogram. Lauk pula, banyak tidak ada daripada ada. Kalau ada rezeki dapat ikan dari sungai ini. Air minum dan mandi pun, kami guna air sungai sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan melainkan memasak menggunakan kayu api dan pernah mengikat perut sekiranya terputus bekalan makanan pada malam harinya.

“Saya bukannya tidak mahu bekerja, tetapi tidak boleh bekerja kerana ada penyakit. Saya pernah diserang penyakit kudis buta dan terpaksa menjahit luka kudis itu sendiri kerana tidak ada duit untuk ke hospital.

“Walaupun penyakit itu sudah sembuh, tubuh saya sudah tidak sekuat dulu,” katanya yang sekali-sekala dilihat hilang imbangan ketika berdiri.

Nawi yang mempunyai lima anak, tiga perempuan dan dua lelaki itu berkata, dia pernah menerima bantuan RM50 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini tetapi dihentikan atas alasan dia dikategorikan sebagai orang sihat.

“Mula-mula dapat RM50 selepas itu RM80. Tetapi, sudah lama dihentikan, kira-kira sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Ditanya kenapa dia tidak tinggal dengan anak-anaknya, Nawi dalam nada sebak berkata, mereka berdua sememangnya mempunyai hasrat sedemikian tetapi anak-anaknya juga susah sama seperti dirinya.

“Mereka bukannya tidak mahu menjaga saya, tetapi masing-masing ada keluarga. Dua yang masih bujang pun, kerja buruh kasar sahaja.

“Besar harapan saya agar ada yang datang membantu, saya sudah tidak tahu hendak buat apa. Hanya isteri yang kadang-kadang mengambil upah mengurut di sekitar kampung.

“Selainnya, saya hanya mampu berserah. Tidur malam, nyamuk sudah jadi biasa. Tidak makan pun, terpaksalah,” katanya.

Jumaat, 24 Februari 2012

TEMPAT LETAK KERETA BERTINGKAT DI HUSM

KOTA BHARU - Sebuah tempat letak kenderaan bertingkat bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta akan dibina untuk kemudahan pengunjung dan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, kemudahan itu akan dibina dalam tempoh dua tahun lagi dan dipercayai dapat mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di HUSM.

Katanya, sistem letak kereta berbayar yang dikenakan sekarang bukan untuk membebankan pengguna, tetapi sebagai cara mengelak mereka meletak kenderaan terlalu lama berikutan banyak kenderaan keluar masuk ke HUSM dengan lebih 2,500 kenderaan direkodkan setiap hari.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat USains Holding Sdn. Bhd. (USains) iaitu UVest Sdn. Bhd. (UVest) dan merupakan sebahagian aktiviti sosial korporat pihak USM kepada masyarakat.

"Kami tubuhkan UVest sebagai syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta awam dalam kampus dan mereka telah membentuk satu sistem letak kereta berbayar sejak tahun lalu dengan bayaran setara dengan pihak berkuasa tempatan.

"Kewujudannya bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi sebahagian besar kutipan harus digunakan untuk manfaat masyarakat dan warga universiti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Ahli Lembaga Pengarah UVest berkata demikian pada majlis penyerahan ruang menunggu tambahan untuk pesakit luar HUSM bernilai RM100,000 daripada UVest kepada USM yang diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Omar Osman di sini hari ini.

Katanya, pembinaan ruang menunggu berhawa dingin daripada keuntungan UVest itu dapat menampung kapasiti pengguna daripada 30 kepada 80 orang pada satu-satu masa.

Beliau menambah, pihak UVest juga dalam proses membina sebuah poliklinik, tempat menunggu teksi awam dan kompleks perniagaan USains dalam kawasan hospital.

Sementara itu Pengarah Urusan UVest, Datuk Nik Haidi Mohamed berkata, setakat ini pihaknya menyediakan 313 petak letak kenderaan dalam kawasan hospital dan 187 lagi petak di luar kawasan hospital.

Jelas beliau, antara kemudahan lain yang diperkenalkan adalah sistem jockey kereta yang akan membantu pengguna meletak kenderaan mereka dengan bayaran berpatutan. -Utusan Malaysia

Khamis, 23 Februari 2012

IMAM 'BERSIH' BALING KASUT KE ARAH HAKIM KERANA MENOLAK PERMOHONAN MEMBUAT RAYUAN

NONESeorang imam yang diusir dari kuarters kediamannya atas dakwaan masalah disiplin bertindak membaling kasutnya ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin menolak permohonannya supaya diberi kebenaran membuat rayuan.

Ini berikutan bantahan yang dibangkitkan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.

Imam berkenaan, Hoslan Hussain (kiri), yang tidak diwakili berdiri di barisan meja berhampiran pegawai pendakwa raya dan peguam semasa permohonan itu.

Difahamkan Hoslan merayu kepada Hakim Zulkefli supaya berlembut dan membenarkan permohonannya itu tetapi tetapi hakim dilaporkan mahkamah terpaksa membenarkan bantahan  kerana ia mengikut undang-undang.

Hakim Zulkefli cuba menenangkan Hoslan tetapi beliau dikatakan tidak mahu mendengar alasan berkenaan tetapi sebaliknya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

azlanDua lagi hakim yang bersidang bersama pagi ini adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

Berikutan kejadian ini, polis yang mengendalikan perbicaraan mahkamah memegang Hoslan dan cuba menenangkan beliau.

Adalah difahamkan bahawa ahli panel tiga hakim tidak membuat apa-apa perintah berhubung tindakannya yang menghina mahkamah itu.
Demi keadlilan
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Hoslan berkata, rungutannya bukan tentang pengusiran, tetapi demi keadilan, kerana beliau telah membangkitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan tabung di Masjid Ar Rahimah dan isu-isu berkaitan tidak dilayan.

azlanBeliau mendakwa banyak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak polis berhubung dakwaan penyalahgunaan berkenaan, tetapi tiada tindakan.

Malah, dakwanya, Umno turut terbabit menggunakan MAIWP untuk menyingkirkannya.

Menurut Hoslan, beliau menjadi imam rawatib sejak tahun 2005 dan sebelum itu, beliau merupakan bilal di masjid berkenaan.

Katanya, beliau tidak diwakili peguam dalam semua kes mahkamah, bukan kerana beliau tidak mampu, tetapi kerana MAIWP telah menggantung gajinya.

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1Hoslan juga mengaku menjadi penyokong kuat pembangkang, terutama PAS, dan berkata beliau turut membantu pada setiap kempen pilihan raya kecil yang disertai parti itu.

Ketika kemuncak BERSIH 2,0 tahun lalu, katanya,
khutbah Jumaat di masjidnya menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan.

Namun, sebaik mendengar khutbah itu Hoslan berkata, beliau mengangkat jubahnya sebagai protes di hadapan jemaah, untuk menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya. -Malaysiakini.

JAHEIK TAMBAH PENDAKWAH UNTUK MEMBIMBING ORANG ASLI

KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menambah enam lagi pendakwah bagi membimbing dan memastikan akidah Orang Asli beragama Islam di negeri ini terpelihara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan, dan Dakwah Negeri, Muhammad Mustapha berkata, penambahan tersebut menjadikan jumlah pendakwah untuk golongan berkenaan kini 18 orang.

“Sebelum ini hanya 12 pendakwah memikul tanggungjawab menyampaikan dakwah secara berterusan berkenaan yang bertugas di lima penempatan Orang Asli di negeri ini, dan diharap dengan pertambahan ini akan memantapkan lagi kerja- kerja membimbing dan menjaga akidah golongan berkenaan,” katanya.

Muhammad berkata demikian selepas merasmikan Kursus Asas Pengurusan dan Dakwah serta Penyampaian Kit Alat Bantuan Dakwah kepada Muallim Jaheaik di sini, kelmarin. Hadir sama, Timbalan Pengarah Jaheaik (Bahagian Koperasi), Mohd Salleh Mat Jusoh dan Ketua Penolong Pengarahnya (Dakwah), Hasnan Ramli.

Menurutnya, pendakwah berkenaan yang sebahagian besar masih bujang akan tinggal di kawasan masing- masing selama tiga minggu manakala seminggu lagi untuk mereka pulang bercuti.

“Dengan adanya pendakwah kita di sana membolehkan Orang- orang Asli ini mengikuti pengajian Islam secara terperinci dengan mengikuti kelas bacaan al-Quran, fardhu ain dan sebagainya termasuk mempelajari solat,”ujarnya.

Sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membiayai peralatan bantuan untuk tujuan dakwah seperti motosikal, komputer riba, projektor, dan kelengkapan jenazah.

Rabu, 22 Februari 2012

Permohonan Mat Sabu batal saman fitnah ditolak

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu - yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu - untuk membatalkan kes di mana beliau didakwa memfitnah anggota polis Bukit Kepong dan keluarga mereka dalam satu ceramah di Tasek Gelugor pada bulan Ogos.

NONEPeguam Hanipa Maidin (kiri) yang mewakili Mat Sabu berhujah bahawa kes itu berdasarkan perspektif sejarah dan mahkamah bukan platform untuk membincangkan perkara itu.

Hanipa juga berhujah bahawa kes Mat Sabu bukan mengenai mangsa kes sejarah menuntut gantirugi.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah mengenai tafsiran sejarah dan mahkamah bukanlah platform untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk  Mohd Amin Firdaus berkata, kes sejarah seumpama itu dibenarkan disebut dalam mahkamah.

Beliau memberi contoh kes saman Chin Peng terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkannya kembali ke tanahairnya.

Sementara itu, Hanipa berkata, Mat Sabu akan cuba memohon penangguhan sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mat Sabu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah tadika di pusat pendidikan PAS di Padang Menora di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu.

pengukir nama johor mat sabu 050911Beliau berdepan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mat Sabu menghadapi tuduhan alternatif memfitnah konstabel Marin Abu Bakar Daud, Jaafar Hassan dan Yusoff Rono dan keluarga mereka pada masa dan tempat yang sama.

Tuduhan tersebut ekoran laporan yang dibuat oleh tiga anggota keluarga konstabel berkenaan - Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff. Malaysiakini

NGO Seperti Jati Boleh Undang Keburukan Daripada Kebaikan - TUN M

SHAH ALAM Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak Islam dan orang Melayu di negara ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada penubuhan NGO terbaru, Jati, Dr Mahathir berkata, presidennya, Datuk Dr Hasan Ali perlu menjelaskan tujuan dan objektif penubuhan badan itu.

"Beliau perlu menjelaskan objektif Jati kerana saya percaya kebanyakan NGO seperti itu membawa perpecahan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri majlis yang dianjurkan Jati pada masa hadapan.

Mengulas mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu di negara ini hilang pemilikan tanah di negara ini, Dr Mahathir menganggap fenomena seperti itu berlaku di kalangan orang Melayu yang miskin.

"Mereka terpaksa menjual tanah mereka untuk mendapatkan wang," katanya.

Selasa, 21 Februari 2012

INSAN OKU TERIMA HADIAH KERUSI RODA DARI MAYC KELANTAN

KOTA BHARU- Impian wanita istimewa, Salma Che Soh, 42, untuk mendapatkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya sejak sekian lama, akhirnya tercapai apabila menerima sumbangan dari Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Kelantan, kelmarin.

Salma dilahirkan cacat iaitu tidak mempunyai kedua-dua belah kaki dari paras paha ke bawah dan kekurangan tersebut menyukarkannya untuk melakukan rutin harian.

Salma ternyata terharu dengan sumbangan itu dan berterima kasih kepada MAYC Kelantan yang menyumbang kerusi roda buatnya.

Menurutnya, sumbangan itu memberikan sinar baharu dalam kehidupannya serta memudahkan pergerakannya yang sebelum ini banyak bergantung kepada bantuan orang lain.

"Selama ini saya hanya berada dalam rumah kerana tidak mampu bergerak. Sekarang apabila sudah dapat kerusi roda, bolehlah keluar melihat suasana sekitar rumah," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Penyampaian kerusi roda itu disempurnakan oleh Pengerusi MAYC Negeri, Zamzani Harun di rumah wanita berkenaan di Kampung Banggu Jejuluk, Kubang Kerian.

Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu, Sakiah Abu Kasim dan Exco MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbudin Hashim.

Sementara itu, Zamzani berkata, program berkenaan bertujuan membantu masyarakat khususnya golongan orang kurang upaya (OKU), selain berkongsi keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

"Melalui program ini kita dapat melihat dan merasai sendiri keperitan yang dilalui oleh mereka dalam menjalani kehidupan seharian," ujarnya. -Utusan Malaysia.

Isnin, 20 Februari 2012

HANYA KERANA PERCIKAN AIR BAH DUA SEPUPU BERTENGKAR HINGGA CEDERA

KOTA BHARU - Hanya kerana percikan air bah, dua sepupu berjiran, sanggup ber­tengkar sehingga menyebab­kan seorang daripadanya di­kenakan hukuman penjara sebulan.

Tertuduh Mohd Iruan Mohd Nordin, 26, dipercayai menyebabkan kecederaan ke­pada sepupunya, Anwar Ra­shidi Rameli, 34, selepas berlaku perselisihan faham di antara mereka.

Majistret, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly men­jatuh­kan hukuman terbabit kepada Mohd Iruan selepas tertuduh mengaku bersalah sehingga menyebabkan kecederaan kepada sepupunya.

Dia melakukan kesalahan terbabit pada 22 November tahun lalu, pada jam 4 pe­tang selepas berlaku per­teng­karan antara mereka berdua di kawasan taman perumahan di Jalan Baung Bayam, di sini.

Ketika ditanya Mohd Fa­zaly, bagaimana perbalahan itu timbul, tertuduh menjawab, berlaku perselisihan faham se­lepas sepupunya yang me­naiki motosikal ketika itu me­lalui jalan terbabit sehingga menyebabkan air di kawasan takungan masuk ke dalam rumahnya. Akibatnya, An­war Rashidi bertindak menye­rang dan tertuduh bertindak menyelamatkan diri dengan memukul kepala sepupunya itu.

Pendakwaan terbabit di­kendalikan Timbalan Pendak­wa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Ahad, 19 Februari 2012

GURU AL-QURAN DIPECAT SEBAB SERTAI PPP??

KOTA BAHARU – Parti Progresif Penduduk (PPP) mendakwa PAS mengamalkan politik zalim apabila bertindak memecat seorang guru al-Quran hanya kerana guru wanita terbabit menyertai PPP baru-baru ini.

Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff mendakwa, tindakan itu menunjukkan politik dendam PAS yang sanggup menzalimi sesiapa sahaja termasuk guru al-Quran yang tidak sehaluan dengan mereka dalam aspek politik.

“Barisan Nasional (BN) tidak akan memecat mana-mana pihak yang tidak menyokong BN dan ini satu lagi bukti kezaliman kerajaan PAS. Saya minta Menteri Besar Kelantan memandang serius perkara ini,” dakwanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Guru al-Quran terbabit, Siti Rokiah Mohd Zain, 53, turut hadir pada sidang media tersebut.

Nik Sapeia seterus mendakwa, Siti Rokiah memberitahu dimaklumkan oleh seorang pemimpin PAS yang beliau dipecat menjadi guru halaqah dan tidak lagi mendapat elaun bulanan sebanyak RM200 sebulan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan membantu Siti Rokiah dengan membayar elaun sebanyak RM200 sebulan seperti mana elaun yang diperolehnya sebelum ini bermula bulan ini.

“Mana-mana guru agama yang dipecat kerana menyertai PPP atau menyokong BN saya akan bertanggungjawab dengan membayar semula ganti rugi itu,” katanya.

Sabtu, 18 Februari 2012

AHLI YANG MELAKUKAN JENAYAH TIDAK AKAN DIPERTAHANKAN - PEKIDA

KOTA BHARU - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan tidak akan mempertahankan ahlinya yang melakukan jenayah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Pekida Kelantan, Mohd. Kori Mohd. Noor berkata, sebagai sebuah pertubuhan berteraskan Islam, Pekida sentiasa mengajak lebih 15,000 ahlinya di seluruh negeri ini supaya mendekatkan diri dengan tuntutan agama suci itu.

Beliau berkata, Pekida juga sentiasa berusaha untuk mentarbiah ahli-ahlinya dengan menganjurkan pelbagai program supaya mereka memahami ajaran Islam dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan negatif selaras dengan cogan kata pertubuhan itu 'amal makruf nafi mungkar.'

"Terpulang kepada individu sama ada dia takut kepada Allah atau mengingkari, dengan ahli-ahli faham tentang Islam, insya-Allah mereka akan menjadi baik dan kembali kepada asal fitrah kejadian manusia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Program Merealisasikan Amal Makruf Nahi Mungkar Pekida Kelantan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Islam Lundang dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Mohd. Kori mengakui tindakan segelintir ahlinya yang bertentangan dengan cogan kata pertubuhan itu telah memberi imej buruk kepada Pekida.

"Tetapi Pekida dan pimpinannya tidak bertanggungjawab di atas kelakuan yang dibuat oleh ahli dan juga bekas ahli," katanya.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz menasihatkan ahli Pekida supaya menjaga kelakuan mereka sama ada zahir mahu pun batin.

"Jaga zahir dan batin, ingat syurga neraka, ingat dosa pahala, ingat malaikat dan syaitan," katanya.

DITEMBAK DAN DISERANG LELAKI BERTOPENG

KOTA BHARU- Pantang maut sebelum ajal, apabila dua terselamat selepas ditembak sekumpulan lelaki bertopeng dan rumah mereka turut dibakar dalam kejadian di Kampung Che Arus, Kok Lanas, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa Raihan Razali, 25 cedera di kaki kiri dan Azreen Mohd Zin, 23, pula cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan lelaki terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki.

Katanya, kejadian disedari oleh Nurul Farah Izwani Abdullah, 21, selepas terdengar pintu rumah dipecahkan.

Beliau berkata, ketika itu Nurul Farah berada di dalam bilik bersama anaknya yang berusia enam bulan.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga terdengar dua das tembakan dilepaskan dan ketika itu, suspek mengarahkan Nurul Farah supaya keluar.

“Sebaik keluar dari bilik, dia (Nurul Farah) ternampak kedua-dua mangsa dalam keadaan kesakitan ketika berada di ruang tamu,” katanya dalam sidang media, semalam.

Jalaluddin berkata, ketika itu juga, ruang tamu rumah berkenaan turut dibakar dan Nurul Farah diarahkan keluar oleh suspek dari rumah terbabit.

Katanya, sebaik membakar rumah, dua lelaki bertopeng itu kemudian melarikan diri.

Sementara itu, seorang lagi penghuni rumah terbabit Mohd Fahmi Anuar berjaya menyelamatkan diri selepas terjun menerusi tingkap rumah itu.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kebakaran berkenaan daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, pada jam 7.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 436 Kanun Keseksaan dan siasatan yang dijalankan, mendapati kes melepaskan tembakan yang berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada masalah pengedaran dadah dan sehingga kini sebanyak empat kes sudah dilaporkan.

Jalaluddin berkata, setakat ini tiga kes sudah pun dilaporkan sepanjang Januari manakala satu kes bagi bulan ini.

“Kita sudah mengenal pasti satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Buyung’ yang mempunyai lebih 10 ahli dan diketuai oleh seorang lelaki Melayu Nor Tarmimi Md. Salleh, 29, berkaitan kes terbabit.

"Setakat ini polis sudah menubuhkan satu pasukan Gerakan Khas untuk mengesan dan mengumpul maklumat berhubung kumpulan ini,” katanya. -Sinar Harian.

Jumaat, 17 Februari 2012

NIK AZIZ AKAN DENGAR DAN ANWAR AKAN JELASKAN PADA RAKYAT

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab kontroversi berkaitan kenyataannya tentang Israel, yang disiarkan dalam Wall Street Journal bulan lalu.

"Saya akan mendengar (penjelasan Anwar) tapi saya menyerahkan kepada Anwar untuk menjelaskan kepada orang ramai," kata Menteri Besar Kelantan di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata, kenyataannya hanya sebagai mewakili Pas manakala Anwar pula mewakili PKR.

Ekoran pendirian Dewan Ulama Pas awal minggu ini, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz di Kuala Lumpur, Isnin ini.

Ketika diminta mengulas pendirian Anwar mempertahankan kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, itu Ketua Pembangkang punya pasal. -Sinar Harian

AHLI UMNO DIINGATKAN TIDAK MENGIKUT RENTAK PEMBANGKANG DAN LEBIH PROFESIONAL

KOTA BHARU – Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh mengingatkan ahli UMNO supaya lebih berprofesional dan tidak mengikut rentak pembangkang dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum 13 ini.

Beliau berkata, dasar perjuangan UMNO menerusi gagasan 1Malaysia dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan menjadi satu momentum daya inovasi kearah pembangunan insan semua kaum.

“Justeru kita mesti lebih terbuka, bukan berfahaman sempit seperti sesetengah pihak yang sanggup memecah belahkan rakyat dengan melempar pelbagai tuduhan kata nista demi kepentingan politik sebelah pihak,” katanya.

Beliau berkata, amalan politik fitnah mampu membawa kesejahteraan serta kestabilan rakyat sebaliknya akan meletakkan negara dalam situasi yang tidak aman.

Mengulas mengenai keperluan transformasi politik pada pilihan raya ini, beliau berkata banyak perkara boleh dilakukan jika mandat diberikan kepada BN untuk membangunkan negeri Kelantan yang dilanda kemunduran sejak 21 tahun lalu.

“UMNO mempunyai perancangan jangka panjang bagi membangunkan negeri ini terutama berkaitan infrastruktur rakyat,” katanya. -Khabar Kota Bharu

KERAJAAN KELANTAN SEDIA BEKERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PELANCONGAN SEMPENA TMK 2012

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi menjayakan sasaran enam juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2012 bermula Mac ini.

Bagi tujuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan berjumpa Menteri Pelancongan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen dalam jangka masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dan memaklumkan perancangan perjalanan TMK 2012.

Menurutnya, setakat ini senarai berkaitan program berkenaan dihantar kepada Kementerian Pelancongan dan yakin pihak berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memajukan sektor pelancongan Kelantan.

“Saya akan berjumpa dengan menteri dan cuba mendapatkan bantuan yang boleh diberikan supaya TMK 2012 ini dapat dijayakan dengan lebih meriah lagi.

“Saya yakin kementerian dapat membantu kerana kedatangan pengunjung ke negeri ini menyumbang kepada pertambahan pelancong ke Malaysia,” katanya ketika ditemui sempena perasmian Skuad Sukarelawan TMK 2012 dan penyerahan penutup beca di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Tourism Kelantan, Zurina Abdul Samad dan 22 Skuad Sukarelawan TMK 2012 menerima basikal.

 Takiyuddin berkata, bagi memeriahkan acara sempena TMK 2012, dua penyanyi popular dengan lagu ketuhanan, Ramli Sarip dan Opick diundangkan membuat persembahan.

Selain itu, pesta air, perarakan kereta berhias dan pelbagai program menarik disediakan untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.

Beliau juga memberitahu, pihaknya akan menggunakan media arus perdana di samping pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan di Kelantan, Johor, Perak dan Pulau Pinang serta beberapa negeri lain lagi untuk menarik pelancong ke Kelantan.

Sebelum ini, Yen Yen meminta Kerajaan Negeri menyediakan kalendar program sepanjang TMK 2012 supaya pelancong boleh menikmati percutian ketika berada di Kelantan. -Sinar Harian