Jumaat, 2 Mac 2012

Hasil Tadbir Urus Yang Baik Majukan Negara, Manfaatkan Rakyat - Najib

KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil tadbir urus yang baik menjadikan negara semakin maju dan dengan kemakmuran itu, rakyat terutama yang perlu dibantu kini mendapat manfaat sewajarnya.
Perdana Menteri berkata ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.1 peratus dengan nilai pelaburan mencecah RM105 bilion serta nilai hasil kerajaan pusat yang bertambah sebanyak RM26 bilion tahun lepas membuktikan kecekapan tadbir urus kerajaan.

"Ini bukan sedikit punya pitih (wang) dan lebihan yang ada itu lebih baik kita berikan kepada rakyat yang mana 80 peratus isirumah di seluruh negara mendapat manfaat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Seramai 300,000 isi rumah penduduk Kelantan turut mendapat manfaat dan ini kerana apa? Kerana urus tadbir negara dapat dilakukan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Ramah Mesra Bersama Profesional Kelantan di Padang Kompleks Wakaf Mek Zainab di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis itu.

Najib berkata dalam memberikan bantuan kepada rakyat, kerajaan sama sekali tidak memilih bulu tanpa mengira faham politik masing-masing.

"Yang pakai baju merah kita bagi, yang pakai baju biru pun kita bagi dan yang pakai baju hijau pun kita bagi," katanya.

Beliau berkata apa sahaja tohmahan pembangkang terhadap langkah kerajaan Barisan Nasional, ia sedikit pun tidak menjadi kudis sebaliknya berharap Allah SWT memberikan pahala di atas keikhlasan itu.

"Inilah negara berkebajikan yang sebenarnya dan kalau tidak urus tadbir negara dengan baik, sudah tentu kita tidak mampu berpeluang untuk sama-sama memajukan negara dan ada yang menjadi penganggur," katanya.

Perdana Menteri berkata kepimpinan yang baik sudah semestinya akan memastikan agenda nasional berjaya dan hasrat kerajaan itu mahu melihat semua rakyat tidak terkecuali menikmatinya.

Mengulas 12 resolusi yang diserahkan Peneraju Profesional Kelantan (Kelpro) agar sesuatu dapat dilakukan kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri ini Najib berkata golongan profesional itu perlu berani membuat perubahan kepimpinan pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Sebahagian besar boleh kita (BN) laksanakan. Tiada masalah buat rumah perumahan rakyat. Nak bawa industri boleh buat. Masalah air tak ada hal.

"Kalau resolusi ini nak kita buat (realisasikan), kita mesti berani buat perubahan," katanya.

Najib berkata beliau tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimahukan golongan profesional itu jika tidak mahukan kerajaan yang benar-benar mampu membawa negara dan negeri ke tahap yang sepatutnya.

"Mereka ini sudah berjaya dan kita tidak boleh kecewakan mereka dan kita perlu lakukan yang terbaik untuk itu," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan