Sabtu, 10 Mac 2012

Kelantan Tetap Bubar Dun Bersama Dewan Rakyat

KOTA BHARU - Di sebalik desas desus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam masa terdekat, Kerajaan Kelantan menegaskan tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bersama Dewan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pilihan raya berasing tidak memberi manfaat politik yang besar kepada Kelantan selain memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Sebagaimana yang saya sebut sebelum ini, atas sifat peribadi, saya mahu pilihan raya (peringkat Dun) diadakan serentak dengan (pilihan raya) Parlimen, kerana banyak perkara yang tidak elok boleh berlaku jika diadakan secara berasingan.

”Kalau (PR) nak buat mesyuarat, dia punya fasal, bagi saya Kelantan, saya (akan pohon) membubarkan Dun bersekali dengan Pusat,” katanya ketika ditemui di selepas kuliah Jumaat, di Dataran Ilmu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menjelaskan pemimpin tertinggi PR akan membuat satu ketetapan Selasa ini sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diperintah mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.

Guan Eng berkata, ketetapan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri itu hanya akan membubarkan Dun selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen, jika ia dibubarkan sebelum bulan Jun.

Dalam pada itu, Nik Aziz ketika ditemui di kediaman rasminya di JKR 10 berkata, beliau tidak mengulas lagi mengenai kecaman yang dibuat oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali termasuk mendakwa terdapat parasit dalam kepimpinan Pas Kelantan.

“Biar dia nak kecam Pas, dia bukan lagi ahli Pas, saya tidak mahu nafi ada parasit, sebab kalau saya nafi benda itu mungkin wujud, Pas dianggotai ahli yang berpelajaran, tidak ada parasit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan