Sabtu, 18 Februari 2012

DITEMBAK DAN DISERANG LELAKI BERTOPENG

KOTA BHARU- Pantang maut sebelum ajal, apabila dua terselamat selepas ditembak sekumpulan lelaki bertopeng dan rumah mereka turut dibakar dalam kejadian di Kampung Che Arus, Kok Lanas, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa Raihan Razali, 25 cedera di kaki kiri dan Azreen Mohd Zin, 23, pula cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan lelaki terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki.

Katanya, kejadian disedari oleh Nurul Farah Izwani Abdullah, 21, selepas terdengar pintu rumah dipecahkan.

Beliau berkata, ketika itu Nurul Farah berada di dalam bilik bersama anaknya yang berusia enam bulan.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga terdengar dua das tembakan dilepaskan dan ketika itu, suspek mengarahkan Nurul Farah supaya keluar.

“Sebaik keluar dari bilik, dia (Nurul Farah) ternampak kedua-dua mangsa dalam keadaan kesakitan ketika berada di ruang tamu,” katanya dalam sidang media, semalam.

Jalaluddin berkata, ketika itu juga, ruang tamu rumah berkenaan turut dibakar dan Nurul Farah diarahkan keluar oleh suspek dari rumah terbabit.

Katanya, sebaik membakar rumah, dua lelaki bertopeng itu kemudian melarikan diri.

Sementara itu, seorang lagi penghuni rumah terbabit Mohd Fahmi Anuar berjaya menyelamatkan diri selepas terjun menerusi tingkap rumah itu.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kebakaran berkenaan daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, pada jam 7.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 436 Kanun Keseksaan dan siasatan yang dijalankan, mendapati kes melepaskan tembakan yang berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada masalah pengedaran dadah dan sehingga kini sebanyak empat kes sudah dilaporkan.

Jalaluddin berkata, setakat ini tiga kes sudah pun dilaporkan sepanjang Januari manakala satu kes bagi bulan ini.

“Kita sudah mengenal pasti satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Buyung’ yang mempunyai lebih 10 ahli dan diketuai oleh seorang lelaki Melayu Nor Tarmimi Md. Salleh, 29, berkaitan kes terbabit.

"Setakat ini polis sudah menubuhkan satu pasukan Gerakan Khas untuk mengesan dan mengumpul maklumat berhubung kumpulan ini,” katanya. -Sinar Harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan