Sabtu, 18 Februari 2012

AHLI YANG MELAKUKAN JENAYAH TIDAK AKAN DIPERTAHANKAN - PEKIDA

KOTA BHARU - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan tidak akan mempertahankan ahlinya yang melakukan jenayah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Pekida Kelantan, Mohd. Kori Mohd. Noor berkata, sebagai sebuah pertubuhan berteraskan Islam, Pekida sentiasa mengajak lebih 15,000 ahlinya di seluruh negeri ini supaya mendekatkan diri dengan tuntutan agama suci itu.

Beliau berkata, Pekida juga sentiasa berusaha untuk mentarbiah ahli-ahlinya dengan menganjurkan pelbagai program supaya mereka memahami ajaran Islam dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan negatif selaras dengan cogan kata pertubuhan itu 'amal makruf nafi mungkar.'

"Terpulang kepada individu sama ada dia takut kepada Allah atau mengingkari, dengan ahli-ahli faham tentang Islam, insya-Allah mereka akan menjadi baik dan kembali kepada asal fitrah kejadian manusia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Program Merealisasikan Amal Makruf Nahi Mungkar Pekida Kelantan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Islam Lundang dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Mohd. Kori mengakui tindakan segelintir ahlinya yang bertentangan dengan cogan kata pertubuhan itu telah memberi imej buruk kepada Pekida.

"Tetapi Pekida dan pimpinannya tidak bertanggungjawab di atas kelakuan yang dibuat oleh ahli dan juga bekas ahli," katanya.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz menasihatkan ahli Pekida supaya menjaga kelakuan mereka sama ada zahir mahu pun batin.

"Jaga zahir dan batin, ingat syurga neraka, ingat dosa pahala, ingat malaikat dan syaitan," katanya.

1 ulasan:

  1. berteraskan agama islam...islam xkan bergaduh sesama islam..tetapi saling membantu dan membangun sesama islam.. sebaliknya,,kebykan ahli2 yg mengaku mereka ni pekida berkumpul untuk bergaduh..dan menjadi yg terkuat dan digeruni ...mereka ini harus membimbing dan menasihati yg lain untuk berbuat kebaikan...harap maaf di atas komen yg sinis ini..sume ini berdasarkan pandangan mata sy,,

    BalasPadam