KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi menjayakan sasaran enam juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2012 bermula Mac ini.
Bagi tujuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan berjumpa Menteri Pelancongan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen dalam jangka masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dan memaklumkan perancangan perjalanan TMK 2012.
Menurutnya, setakat ini senarai berkaitan program berkenaan dihantar kepada Kementerian Pelancongan dan yakin pihak berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memajukan sektor pelancongan Kelantan.
“Saya akan berjumpa dengan menteri dan cuba mendapatkan bantuan yang boleh diberikan supaya TMK 2012 ini dapat dijayakan dengan lebih meriah lagi.
“Saya yakin kementerian dapat membantu kerana kedatangan pengunjung ke negeri ini menyumbang kepada pertambahan pelancong ke Malaysia,” katanya ketika ditemui sempena perasmian Skuad Sukarelawan TMK 2012 dan penyerahan penutup beca di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Tourism Kelantan, Zurina Abdul Samad dan 22 Skuad Sukarelawan TMK 2012 menerima basikal.
Takiyuddin berkata, bagi memeriahkan acara sempena TMK 2012, dua penyanyi popular dengan lagu ketuhanan, Ramli Sarip dan Opick diundangkan membuat persembahan.
Selain itu, pesta air, perarakan kereta berhias dan pelbagai program menarik disediakan untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.
Beliau juga memberitahu, pihaknya akan menggunakan media arus perdana di samping pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan di Kelantan, Johor, Perak dan Pulau Pinang serta beberapa negeri lain lagi untuk menarik pelancong ke Kelantan.
Sebelum ini, Yen Yen meminta Kerajaan Negeri menyediakan kalendar program sepanjang TMK 2012 supaya pelancong boleh menikmati percutian ketika berada di Kelantan. -Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan