Isnin, 27 Februari 2012

Kes Denggi Tahun 2011 Turun 79 Peratus

KOTA BHARU - Kes denggi di negeri ini tahun lalu mencatat penurunan besar iaitu sebanyak 79 peratus, daripada 3,578 kes pada 2010 kepada hanya 743 kes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan berkata, daripada jumlah itu 38 kes adalah kes demam denggi berdarah dengan hanya satu kematian dicatatkan pada tahun lalu.

Jelasnya lagi, daerah Kota Bharu mencatatkan kes terbanyak dengan 340 kes iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan bilangan kes.

"Sebanyak 17 episod wabak juga telah dilaporkan berlaku di 17 lokaliti namun semuanya adalah wabak terkawal.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha keras yang kita jalankan di mana pada tahun lalu lebih sejuta premis telah dibuat semburan kabus bagi membunuh nyamuk aedes dewasa, manakala sebanyak 573,720 premis telah diperiksa bagi pembiakan dengan 4,511 atau 0.8 peratus daripadanya didapati positif aedes.

"Sebanyak 852 sesi gotong-royong juga telah dianjurkan di seluruh negeri melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena program 'Gotong Royong Jom! Ganyang Aedes' peringkat Taman Seri Pengkalan Chepa anjuran Pejabat Kesihatan daerah, semalam.

Kenyataan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Dr. Nordiyanah berkata, pihak jabatan juga telah mengadakan pameran, ceramah dan pengedaran poster serta risalah selain membuat pengumuman di radio tempatan, pasar raya dan masjid bagi mendidik masyarakat.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 240 kompaun telah dikeluarkan dengan kutipan bayaran sebanyak RM105,150.

Katanya, sebanyak tujuh kes telah dibawa ke mahkamah di mana pihak terbabit enggan membayar kompaun yang dikenakan.

Jelasnya, pihak jabatan kesihatan akan terus mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang didapati dengan sengaja membiarkan premis dan kediaman mereka menjadi tempat pembiakan aedes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan