Jumaat, 24 Februari 2012

TEMPAT LETAK KERETA BERTINGKAT DI HUSM

KOTA BHARU - Sebuah tempat letak kenderaan bertingkat bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta akan dibina untuk kemudahan pengunjung dan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, kemudahan itu akan dibina dalam tempoh dua tahun lagi dan dipercayai dapat mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di HUSM.

Katanya, sistem letak kereta berbayar yang dikenakan sekarang bukan untuk membebankan pengguna, tetapi sebagai cara mengelak mereka meletak kenderaan terlalu lama berikutan banyak kenderaan keluar masuk ke HUSM dengan lebih 2,500 kenderaan direkodkan setiap hari.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat USains Holding Sdn. Bhd. (USains) iaitu UVest Sdn. Bhd. (UVest) dan merupakan sebahagian aktiviti sosial korporat pihak USM kepada masyarakat.

"Kami tubuhkan UVest sebagai syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta awam dalam kampus dan mereka telah membentuk satu sistem letak kereta berbayar sejak tahun lalu dengan bayaran setara dengan pihak berkuasa tempatan.

"Kewujudannya bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi sebahagian besar kutipan harus digunakan untuk manfaat masyarakat dan warga universiti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Ahli Lembaga Pengarah UVest berkata demikian pada majlis penyerahan ruang menunggu tambahan untuk pesakit luar HUSM bernilai RM100,000 daripada UVest kepada USM yang diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Omar Osman di sini hari ini.

Katanya, pembinaan ruang menunggu berhawa dingin daripada keuntungan UVest itu dapat menampung kapasiti pengguna daripada 30 kepada 80 orang pada satu-satu masa.

Beliau menambah, pihak UVest juga dalam proses membina sebuah poliklinik, tempat menunggu teksi awam dan kompleks perniagaan USains dalam kawasan hospital.

Sementara itu Pengarah Urusan UVest, Datuk Nik Haidi Mohamed berkata, setakat ini pihaknya menyediakan 313 petak letak kenderaan dalam kawasan hospital dan 187 lagi petak di luar kawasan hospital.

Jelas beliau, antara kemudahan lain yang diperkenalkan adalah sistem jockey kereta yang akan membantu pengguna meletak kenderaan mereka dengan bayaran berpatutan. -Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan