KOTA BHARU- Impian wanita istimewa, Salma Che Soh, 42, untuk mendapatkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya sejak sekian lama, akhirnya tercapai apabila menerima sumbangan dari Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Kelantan, kelmarin.
Salma dilahirkan cacat iaitu tidak mempunyai kedua-dua belah kaki dari paras paha ke bawah dan kekurangan tersebut menyukarkannya untuk melakukan rutin harian.
Salma ternyata terharu dengan sumbangan itu dan berterima kasih kepada MAYC Kelantan yang menyumbang kerusi roda buatnya.
Menurutnya, sumbangan itu memberikan sinar baharu dalam kehidupannya serta memudahkan pergerakannya yang sebelum ini banyak bergantung kepada bantuan orang lain.
"Selama ini saya hanya berada dalam rumah kerana tidak mampu bergerak. Sekarang apabila sudah dapat kerusi roda, bolehlah keluar melihat suasana sekitar rumah," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Penyampaian kerusi roda itu disempurnakan oleh Pengerusi MAYC Negeri, Zamzani Harun di rumah wanita berkenaan di Kampung Banggu Jejuluk, Kubang Kerian.
Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu, Sakiah Abu Kasim dan Exco MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbudin Hashim.
Sementara itu, Zamzani berkata, program berkenaan bertujuan membantu masyarakat khususnya golongan orang kurang upaya (OKU), selain berkongsi keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.
"Melalui program ini kita dapat melihat dan merasai sendiri keperitan yang dilalui oleh mereka dalam menjalani kehidupan seharian," ujarnya. -Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan