Ahad, 26 Februari 2012

Rakyat Kelantan Mendesak SPAN Ambil Alih Pengurusan Air Kelantan

KOTA BHARU – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menganggap Kerajaan Pas Kelantan cuba mempolitikkan isu air negeri yang berlarutan sehingga 21 tahun apabila enggan menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Naib Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Datuk Musthapa Yaakub berkata, tindakan menyerahkan pengurusan air kepada Span adalah langkah terbaik dalam usaha menyelesaikan masalah terbabit dalam kadar segera.

Katanya, masalah air tidak akan selesai selagi kerajaan negeri hanya mengutamakan politik berbanding keperluan rakyat.

“Sebenarnya Kerajaan Pas Kelantan tahu masalah ini malah mereka cukup arif cuma apa yang berlaku adalah mereka terlalu berpolitik kerana menganggap jika SPAN yang menguruskannya maka itu bermaksud Kerajaan Pusat ambil alih.

“Jadi bila sebut Kerajaan Pusat semuanya buruk. Pemimpin di Kelantan ini apa sahaja perkara yang berkaitan dengan Kerajaan Pusat walaupun baik akan tetap dianggap buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perhimpunan lebih 3,000 rakyat Kelantan yang mendesak pengurusan air negeri ini diserahkan kepada SPAN di Lembah Sireh di sini.

Menurut Musthapa, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya melupakan sentimen politik kerana rakyat Kelantan semakin menderita disebabkan bekalan air yang semakin teruk.

“Sampai bila mereka mahu bertahan macam ini sebab keadaan air sekarang makin teruk bukannya semakin baik sebab itulah hari ini kita berkumpul beramai-ramai untuk menyatakan bantahan dan mendesak SPAN ambil alih.

“Span bukanlah sebuah badan politik jadi biarkan Span yang uruskan agar rakyat dapat air bersih dan bila itu sudah berlaku semua orang gembira termasuk pemimpin-pemimpin Kelantan sendiri,” ujarnya. -Detikperubahan.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan