Sabtu, 25 Februari 2012

Warga Emas Terpaksa Menghabiskan Sisa Hidup di Pondok Usang

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri terpaksa menghabiskan sisa hidup mereka di sebuah pondok usang tidak berdinding apabila rumah didiami sebelum ini terpaksa dirobohkan.

Nasib malang itu mula menimpa pasangan warga emas, Nawi Salam, 61 dan isterinya, Limah Wan Mat, 65, sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini, kami tinggal tidak jauh dari sini. Tetapi saya tumpang atas tanah orang dan apabila mereka ambil balik tanah itu, saya terpaksalah keluar dari rumah tersebut,” katanya.

Ketika tiba di lokasi, Sinar Harian terpaksa melalui laluan bercerun di tepi rimbunan buluh untuk sampai ke pondok Nawi di tebing sungai Kampung Limbat, Pasir Tumboh di sini.

Lebih menyayat hati apabila diberitahu, Nawi dan isterinya hanya makan sekiranya ada yang bermurah hati memberikan makanan kepada mereka.

“Jujurnya saya jawab, kalau ada duit kami belilah beras sekilogram. Lauk pula, banyak tidak ada daripada ada. Kalau ada rezeki dapat ikan dari sungai ini. Air minum dan mandi pun, kami guna air sungai sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan melainkan memasak menggunakan kayu api dan pernah mengikat perut sekiranya terputus bekalan makanan pada malam harinya.

“Saya bukannya tidak mahu bekerja, tetapi tidak boleh bekerja kerana ada penyakit. Saya pernah diserang penyakit kudis buta dan terpaksa menjahit luka kudis itu sendiri kerana tidak ada duit untuk ke hospital.

“Walaupun penyakit itu sudah sembuh, tubuh saya sudah tidak sekuat dulu,” katanya yang sekali-sekala dilihat hilang imbangan ketika berdiri.

Nawi yang mempunyai lima anak, tiga perempuan dan dua lelaki itu berkata, dia pernah menerima bantuan RM50 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini tetapi dihentikan atas alasan dia dikategorikan sebagai orang sihat.

“Mula-mula dapat RM50 selepas itu RM80. Tetapi, sudah lama dihentikan, kira-kira sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Ditanya kenapa dia tidak tinggal dengan anak-anaknya, Nawi dalam nada sebak berkata, mereka berdua sememangnya mempunyai hasrat sedemikian tetapi anak-anaknya juga susah sama seperti dirinya.

“Mereka bukannya tidak mahu menjaga saya, tetapi masing-masing ada keluarga. Dua yang masih bujang pun, kerja buruh kasar sahaja.

“Besar harapan saya agar ada yang datang membantu, saya sudah tidak tahu hendak buat apa. Hanya isteri yang kadang-kadang mengambil upah mengurut di sekitar kampung.

“Selainnya, saya hanya mampu berserah. Tidur malam, nyamuk sudah jadi biasa. Tidak makan pun, terpaksalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan