Ahad, 26 Februari 2012

Penubuhan UniKIST Bukti Graduan Penuhi Pasaran Kerja

KOTA BHARU - Selepas tujuh tahun beroperasi sebagai pusat pengajian sains kesihatan terbesar di Pantai Timur, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) bakal memasuki era baru apabila mengembangkan sayapnya sebagai Kolej Universiti Islam Sains dan Teknologi (UniKIST).

Penubuhan UniKIST yang bakal beroperasi April ini, adalah lambang kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada kejayaan KIST selama ini seperti dinyatakan menerusi surat pelawaan kepada pengurusan kolej pada 19 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Taib A. Rahim berkata, kumpulan pelajar perintis akan memulakan pengajian peringkat sarjana muda sains sosial di Kampus Kota UniKIST Wisma Abrar, Jalan Kebun Sultan dekat sini.

"UniKIST juga bakal menawarkan pengajian pasca diploma dan ijazah termasuk peringkat sarjana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Taib berkata, sejak penubuhannya hingga kini, KIST sudah melahirkan kira-kira 2,000 tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang dan berbekalkan keputusan cemerlang, pelajar terbabit tidak berdepan masalah bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian masing-masing.

"Pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terhadap bidang pengajian yang ditawarkan, membolehkan lulusan KIST menyertai perkhidmatan awam di jabatan kerajaan atau sektor swasta tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, beberapa bekas penuntut KIST yang ditemui mengakui tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pekerjaan sejurus sahaja tamat pengajian.

Seorang bekas penuntut KIST, Azizan Azizi, 22, yang mengambil jurusan kejururawatan di kolej berkenaan memberitahu, dia telah mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan.

"Saya menamatkan pengajian September lalu, tiga bulan selepas itu saya telah mendapat pekerjaan. Ini membuktikan pelajar KIST mampu bersaing dengan penuntut kolej lain. Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan, hampir 80 peratus mereka telah mendapat peluang pekerjaan," katanya.

Pandangan Azizan disokong oleh seorang lagi bekas penuntut KIST, Syacerelyne Suan Yun Chin, 22, yang kini berkhidmat dengan Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya dapat tawaran kerja sebelum tamat pengajian. Ini menunjukkan pelajar KIST mempunyai kualiti dan mampu bersaing dengan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negara ini.

"Selain itu, subjek yang diajar mengikut spesifikasi dan kehendak serta keperluan pasaran pekerjaan," ujarnya. -Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan