Sabtu, 7 Januari 2012

DPA SUNTIK SEMANGAT ANAK YATIM

KOTA BHARU - Semangat motivasi menimbulkan rasa teruja kepada anak yatim untuk menjawat jawatan pegawai profesional apabila dewasa kelak setelah pelbagai aktiviti dijalankan peserta Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) 1/2011.

Anak yatim berkenaan, Siti Nurul Huda, 16, berkata, aktiviti yang disediakan selama lima hari pegawai berkenaan berada di situ membuka minda mereka untuk belajar lebih tekun.

“Banyak aktiviti yang mendorong kami berfikir dan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh ada terutama ketika menjalankan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) dan ceramah motivasi.

“Tunjuk ajar dan kata semangat yang diberikan pegawai ini membolehkan kami mendekati mereka dan tahu bidang tugas mereka menimbulkan rasa minat terhadap kerja profesional,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim), di sini.

Sementara itu, bagi Mohd Haikal Mohd Latfi, 16 berkata, kini terdapat beberapa institusi pengajian yang memberikan motivasi kepada anak yatim di Yaatim, Taman Sabariah.

“Kami pernah menerima kunjungan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan universiti dari luar negara yang mengadakan beberapa aktiviti di sini.

“Mereka banyak kembalikan semangat kami dan beri keyakinan supaya percaya kepada diri sendiri untuk meneruskan hidup dan bergelar orang berjaya kelak,” katanya yang tinggal di Yaatim tiga tahun lalu.

Bagi Mohd Zubir Mohamad, 16 pula berkata, asrama adalah tempat terbaik kepada anak yatim kerana di situ mereka mampu berdikari dan menjalankan aktiviti bersama rakan-rakan senasib yang lain.

“Di asrama, pelajaran lebih terjamin kerana setiap kali keputusan peperiksaan dikeluarkan, pengetua asrama memantaunya secara berdisiplin, kami belajar bersolat dan agama, selain sentiasa diberi motivasi dan semangat baik secara rasmi atau santai,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan