Rabu, 4 Januari 2012

SKUAD CAKNA BANJIR OLEH JPS KELANTAN

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membentuk satu pasukan dikenali sebagai Skuad Cakna Banjir (SKB) bagi menyiasat dan mengenal pasti punca berlakunya limpahan air di beberapa kawasan sekitar bandar ini sehingga menyebabkan beberapa jalan tenggelam.

Pengarahnya, Abu Bakar Yusof berkata, skuad itu yang akan menjalankan kerja-kerja pemantauan di kawasan kejadian melibatkan 15 pegawai JPS Kota Bharu dan Unit Pengurusan Persekutuan.

"Skuad ini akan bermula di Kota Bharu dengan melakukan rondaan dan melihat kawasan kejadian khususnya jalan-jalan yang dinaiki air.
"Di Kota Bharu misalnya, sudah mempunyai sistem saliran yang intensif dan cukup baik, tetapi masih berlaku limpahan air. Jadi, kita mahu tahu mengapa perkara itu masih berlaku," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pelan induk sistem saliran di kawasan bandar seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah dirangka oleh JPS, tetapi selepas segalanya disiapkan, JPS hanya bertanggungjawab kepada saluran utama manakala sistem jaringan saliran di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, melalui skuad yang baharu ditubuhkan itu, pihaknya akan mendapat maklumat yang jelas mengenai perkara berlaku selain dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kita mahu mengetahui kenapa sistem yang ada ini gagal, adakah sistem saliran yang ada ini tidak cukup ataupun ia masih belum sempurna semua perkara ini perlu dikaji.
"Selain itu, mungkin ada beberapa faktor lain yang menjadikannya tidak efisien antaranya kerana sampah-sarap, tiada saluran keluar, parit yang ada terlalu kecil atau sistem yang ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan