KOTA BHARU - Sebanyak RM500,000 Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diagihkan kepada 1,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payung, Parlimen Kota Bharu di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota dekat sini, kelmarin.
Bantuan itu disampaikan dalam bentuk tunai dengan kerjasama CIMB oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian yang sama, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusoff.
Fatmi semasa berucap di majlis itu berkata, rakyat terutama yang menerima anugerah itu patut bersyukur serta melahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan program bantuan itu semasa membentangkan Bajet 2012 di Parlimen tahun lalu.
"Pentadbiran Najib telah mencipta sejarah dari beberapa Perdana Menteri terdahulu kerana mempunyai semangat 1 Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang telah direalisasikan dengan respons yang tinggi dari seluruh rakyat", katanya.
Fatmi berkata, BR1M mengutamakan kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan golongan yang hidup mewah mungkin tidak memohon bantuan itu kerana mereka mahu golongan yang layak sahaja yang perlu menikmati rezeki yang datang bergolek itu.
Sementara itu, Wan Abdul Ghani berkata, BR1M merupakan anak emas kepada Perdana Menteri yang memberi keutamaan tinggi merealisasikan bantuan kewangan mudah untuk kebahagiaan dan keharmonian rakyat.
"Rakyat di negara kita seharusnya berbangga dengan bantuan kewangan yang diagihkan itu yang mungkin tidak berlaku di kebanyakan di negara asing", katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan