Khamis, 26 Januari 2012

SETELAH TERGENDALA KINI BAS CITYLINER KEMBALI BEROPERASI

KOTA BHARU - Setelah 10 hari tergendala, pengguna terutama golongan kurang berkemampuan boleh menarik nafas lega apabila pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) menyambung semula perkhidmatan di semua laluan bas henti-henti bermula hari ini.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, pihaknya menyambung semula perkhidmatan SKMK melibatkan perjalanan kira-kira 100 bas di 31 laluan yang tergendala sejak 15 Januari lalu.

Menurutnya, langkah itu diambil setelah pihaknya mendapat jaminan bantuan dana daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Tengku Hasmadi berkata, beliau telah dihubungi Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad malam tadi yang meminta SKMK menyambung semula perkhidmatan serta-merta hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan semula operasi tertakluk kepada keadaan kerana jika tiada hitam putih daripada SPAD sehingga hujung bulan ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghentikan semula laluan bas yang terlibat.

"SPAD berjanji secara lisan akan menyalurkan dana berkuat kuasa hari ini, namun jumlahnya tidak dimaklumkan. Kami berpegang kepada janji itu dan berharap ia disusuli dengan perjanjian hitam putih.

"Jika ia hanya janji mulut, kami terpaksa mengambil langkah menghentikan semula operasi di laluan terbabit kerana kerugian yang ditanggung. Kami akan tunggu dan lihat dalam tempoh seminggu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan daripada Tengku Hasmadi mengenai kerugian teruk yang dialami oleh SKMK, anak syarikat KTB mencecah RM1 juta sebulan akibat kos operasi yang meningkat tanpa mendapat bantuan mana-mana pihak.

Ketika ditanya mengenai bantuan bulanan sebanyak RM100,000 selama empat bulan yang diluluskan Kerajaan Pas Kelantan, Tengku Hasmadi berkata, jika kerajaan negeri ikhlas memberinya, pihaknya sentiasa bersedia menerima.

"Kalau kerajaan negeri nak beri, beri sahajalah tanpa apa-apa dalih dan birokrasi. Kami tidak mahu janji hanya tinggal janji, begitu juga dengan janji daripada SPAD," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pihak iaitu SPAD dan kerajaan negeri mempunyai salinan akaun kewangan SKMK dan mengetahui keperitan yang dialami syarikat itu.

Jelasnya, SKMK yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini mempunyai lebih 120 buah bas yang beroperasi di 37 laluan di seluruh negeri.

Sementara itu Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan telah meluluskan sejumlah dana bagi menyelesaikan masalah itu bagi jangka masa pendek.

Selain Kelantan, beberapa syarikat bas yang menjalankan operasi bas henti-henti terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang sedang menghadapi masalah untuk mengekalkan perkhidmatan atas sebab kewangan.

"Kerajaan menyedari impak perkhidmatan bas kepada pengguna pengangkutan awam, oleh itu SPAD sebagai badan yang bertanggungjawab ke atasnya akan terus komited untuk mencari penyelesaian komprehensif bagi menangani masalah yang timbul," katanya. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan