Ahad, 15 Januari 2012

PENGGUNA CITYLINER TERJEJAS EKORAN LALUAN BANDAR KE BANDAR

KOTA BHARU 14 Jan. - Ribuan pengguna di negeri ini, termasuk pelajar sekolah yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam untuk ke sekolah, bakal terjejas apabila pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) mengumumkan 31 daripada 37 laluan bas itu akan tergendala bermula esok.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, masalah itu berlaku berikutan kerugian teruk yang dialami oleh SKMK, anak syarikat KTB.

Malah dakwanya, usaha untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri juga tidak berhasil.

Selain itu dakwanya, bantuan bulanan RM100,000 kepada SKMK yang pernah dijanjikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak pernah diterima.

Beliau mendakwa, SKMK yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini, mengalami kerugian mencecah RM1 juta sebulan ekoran tidak ada bantuan daripada mana-mana pihak manakala kos menyediakan perkhidmatan lebih tinggi berbanding kutipan tambang.

Menurut beliau, masalah itu sepatutnya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan melantik SKMK sebagai kontraktor penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini.

"Memang dia (Menteri Besar) janji mahu memberikan sebanyak RM100,000 sebulan tetapi tidak cukup kerana kerugian hampir RM1 juta sebulan, lagipun duit itu sampai ke hari ini pun tidak dapat lagi, biasalah orang politik berjanji.

"Apa yang saya terkilan, kita sudah buat perbincangan jumpa pengurusan KTB, jumpa Menteri Besar, jumpa Exco dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan kita cakap cara paling mudah ialah lantik kita sebagai kontraktor penyedia perkhidmatan tetapi dua hari lepas mereka kata, minta maaf tunggu duit daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kalau nak tunggu pula SPAD, kita sudah sedia maklum keutamaan diberi kepada negeri Pantai Barat dulu yang mana kepadatan penduduk tinggi jadi kita dah rugi bertahun-tahun.

"Apabila kerajaan negeri melantik kita sebagai kontraktor, kutipan harian kita akan masukkan ke dalam tabung untuk dikelolakan kerajaan negeri dan oleh kerana kos perkhidmatan lebih tinggi daripada kutipan tambang, kita cadangkan tambahan kutipan melalui iklan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan RM100,000 sebulan selama empat bulan kepada SKMK, yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di negeri ini bagi mengurangkan kos operasi.


Terdahulu, SKMK melalui surat pekeliling yang difakskan kepada Mingguan Malaysiamemaklumkan, bermula esok hanya enam laluan bas henti-henti syarikat tersebut yang masih beroperasi seperti biasa iaitu laluan dari bandar ke bandar.

Laluan tersebut adalah Kota Bharu-Pasir Mas- Rantau Panjang; Kota Bharu-Cabang Empat-Pengkalan Kubor; Kota Bharu-Pasir Mas-Tanah Merah; Kota Bharu-Pasir Puteh-Jerteh, Kota Bharu-Machang-Kuala Krai dan Kota Bharu-Pengkalan Chepa. - Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan