Khamis, 12 Januari 2012

RM1.14 JUTA BAUCAR BUKU DIAGIHKAN DI PKB

KOTA BHARU 11 Jan. – Seramai 5,704 pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) dekat sini hari ini, menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM200 setiap seorang.

Penyampaian baucar berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.14 juta.

Pengarah PKB, Noor Azahan Othman berkata, baucar buku itu diagihkan kepada semua pelajar bermula semester satu hingga akhir, meliputi program peringkat sijil, diploma, latihan industri dan kursus secara sambilan (KSS).

“Untuk gimik pelancaran pada hari ini seramai 24 pelajar dari empat jabatan di PKB menerima baucar berkenaan.

“Pelajar-pelajar lain boleh menuntut baucar ini daripada penasihat akademik masing-masing bermula esok.

“Bagi memudahkan pelajar menukar baucar ini, PKB menyediakan gerai pameran buku bagi membolehkan pelajar menebus baucar berkenaan,” katanya.

Tambahnya, para pelajar tidak perlu khuatir kerana pembekal yang menyertai pameran buku ini kebanyakannya telah dilantik oleh pihak politeknik dan mempunyai pengalaman dalam menyediakan bahan-bahan rujukan berkaitan kursus mereka.

Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui, Mohd. Affandi Ghazali berkata, pemberian baucar buku berkenaan memberi manfaat kepada dia dan rakan-rakan lain dalam mendapatkan buku rujukan terbaik bagi membantu proses pembelajaran.

“Dengan adanya baucar ini dapatlah saya gunakan untuk membeli buku rujukan. Bantuan ini juga membantu meringankan beban pelajar baru seperti saya untuk membeli buku-buku rujukan.

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan atas pemberian baucar ini yang ternyata memberi manfaat besar kepada golongan pelajar,” katanya yang merupakan pelajar semester satu, jurusan diploma elektronik. -Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan