Selasa, 10 Januari 2012

PEMECATAN HASAN TERBAIK UNTUK MENJAGA PARTI-FATAH

 KOTA BHARU - Tindakan buang parti ke atas Datuk Dr Hasan Mohamed Ali setimpal perbuatannya yang jelas tidak mengikut semangat jemaah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Menurutnya, walaupun tindakan pecat dilihat drastik, namun ia langkah terbaik bagi menjaga keharmonian parti khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Nampak seperti drastik tetapi ia setimpal dengan apa yang dilakukan, beliau (Hasan) sendiri yang membuka peluang kepada parti untuk bertindak ke atasnya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Pas Pusat yang memecat keahlian Hasan ekoran tindakan beliau mengkritik Pas berhubung beberapa isu berbangkit.

Menyentuh mengenai campur tangan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terhadap isu Hasan, Fatah yang juga Yang Dipertua Pas Rantau Panjang berkata, hal tersebut tidak berbangkit kerana Hasan sendiri yang bertindak di luar batasan.

“Azmin hanya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini sahaja sedangkan Hasan mengeluarkan pelbagai kritikan sebelumnya, keputusan yang dibuat parti ke atas Hasan tiada kaitan dengan Azmin,” katanya.

Beliau turut menegaskan Pas tidak akan berpecah walaupun terdapat ura-ura mengatakan isu Anwar menjadi polimik dalam Pas.

Menyentuh mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar, Fatah berkata, mungkin tekanan politik tidak berlaku dalam kes tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan