KOTA BHARU - Mayat seorang duda ditemui berulat di bilik tidur rumahnya, dekat Kampung Guntong Limbat, Kubang Kerian petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mayat Md Noor Zakaria, 49, ditemui sepupunya, Roslan Mat Zin, 38, selepas terhidu bau busuk berhampiran rumah mangsa ketika mahu membersihkan kawasan kediaman.
Roslan berkata, sebelum penemuan mayat mangsa, dia juga melihat lalat mengerumuni tingkap rumah saudaranya dan bau busuk itu semakin kuat apabila menghampiri kawasan berkenaan.
Katanya, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terhadap sepupunya, selepas panggilan tidak dijawab, dia cuba membuka pintu rumah terbabit tetapi dikunci dari dalam.
“Saya terkejut ketika mengintai di tingkap rumahnya, saya melihat kaki mangsa berubah warna kegelapan dan terus memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Roslan berkata, mangsa yang mempunyai dua anak itu tinggal bersendirian di rumah terbabit 10 tahun lalu selepas bercerai dengan bekas isterinya.
“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain dia kurang berkomunikasi sejak berpisah dengan bekas isterinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik berkenaan dan tiada unsur jenayah.
“Berdasarkan maklumat jiran, mangsa dilihat kali terakhir menyapu sampah di rumahnya pada Selasa lalu kira-kira jam 7 petang.
“Anggota forensik dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan mayat diserahkan kepada ahli keluarga selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan