Rabu, 11 Januari 2012

UNIVERSITI AL-QURAN ANTARABANGSA BAKAL DI BINA

KOTA BHARU – UMNO Bahagian Kota Bharu bercadang untuk membina sebuah institusi pengajian al-Quran di bandar ini sejajar dengan jolokkan ‘Kelantan Negeri Serambi Mekah’ sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ketuanya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh bagaimanapun berkata, cadangan tersebut masih diperingkat awal dan ia tidak dimasukkan lagi ke dalam manifesto pilihan raya.

Beliau berkata, idea penubuhan tersebut timbul kerana tidak ada sebuah institusi khusus untuk mempelajari dan mengkaji al-Quran secara mendalam di negara ini.

“Ini bukan janji pilihan raya tetapi boleh dipertimbangkan untuk manifesto bagaimanapun ia sebahagian daripada perjuangan saya di Kota Bharu.

“Rakan-rakan saya yang menimbulkan idea untuk menubuhkan universiti atau institusi pengajian khusus untuk al-Quran di bandar ini.

“Tetapi ia berkait rapat dengan kuasa kerajaan negeri. Kita (UMNO) memang ada idea tetapi perlu berkuasa untuk melaksanakannya, lihat selepas 21 tahun pemerintahan Pas banyak idea kita tidak laksanakan kerana memerlukan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, UMNO Bahagian Kota Bharu akan mula membuka bilik gerakan untuk pilihan raya umum pada minggu depan.

Katanya, semua jentera parti di peringkat telah digerakkan sepenuhnya termasuk menubuhkan jawatankuasa di 33 buah pusat daerah mengundi.

“Apabila kita membuka bilik gerakan, semua jentera ini baru lengkap. Tujuan kita hanya satu ialah untuk membantu rakyat, saya sendiri dan rakan-rakan berusaha bersungguh-sungguh.

“Kita telah melaksanakan banyak program untuk membela dan memenuhi keperluan rakyat dan Barisan Nasional tidak gentar untuk berhadapan dengan siapa calon pembangkang tidak Pas mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya. - Detikperubahan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan