Khamis, 12 Januari 2012

KELAB LION SEDIA KEMAHIRAN UNTUK REMAJA SINDROM DOWN


KOTA BHARU 11 Jan. - Pusat Sindrom Down Kelab Lions Kota Bharu menawarkan perkhidmatan melatih remaja yang menghadapi masalah itu dengan pelbagai kemahiran bagi membina keyakinan diri mereka.

Pengerusinya, Dr. Izanee Isahak berkata, ketika ini terdapat 14 remaja yang diberikan latihan berasaskan kemampuan masing-masing seperti membungkus makanan dan menjahit hiasan manik baju.

Beliau berkata, latihan tersebut diselia oleh jurulatih yang dilantik supaya remaja terbabit benar-benar dapat membina kemahiran mereka.

"Ternyata mereka mampu mematuhi arahan yang diberikan serta berupaya menghasilkan kerja dengan baik dalam suasana kondusif," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutup Bengkel Pertuturan anjuran pusat itu bersama Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini. Hadir sama Presiden Kelab Lions Kota Bharu, Yap Sier Seng.

Izanee berkata, selain remaja terlibat, pusat berkenaan turut menyediakan kelas prapendidikan awal kepada kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun yang mengalami masalah sindrom down.

"Penyertaan remaja dan kanak-kanak sindrom down di pusat itu hanya dikenakan yuran pendaftaran RM50. Permohonan masih terbuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak sindrom down," katanya.

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pusat berkenaan di talian 09-7437550 untuk menyertai kelas prasekolah bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, manakala bengkel pula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. -Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan