Ahad, 15 Januari 2012

ANJING LIAR DI TANAH PERKUBURAN

KOTA BHARU – Sukar hendak digambarkan perasaan sekiranya majlis pengebumian ahli keluarga di tanah perkuburan disergah salakan sekumpulan anjing yang berada di kawasan tanah pengebumian tersebut.

Situasi ini agak janggal tetapi ia realiti yang benar-benar berlaku terhadap penduduk di tiga kampung, di Kok Lanas di sini.

Jika sebelum ini, Sinar Harian pernah memaparkan isu kambing dan lembu yang dibiarkan pemiliknya menceroboh tanah-tanah wakaf kubur, kini lebih mengecewakan apabila anjing pula yang dilihat berada di kawasan tersebut.

Ketika wartawan Sinar Harian meninjau di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Besar di sini, pagi semalam, mereka dikejutkan dengan salakan tiga haiwan liar yang berkeliaran tidak jauh dari pintu pagar kubur terbabit.

Selain dari anjing yang berkeliaran, lebih mengejutkan terdapat sebuah kandang lembu yang jelas berada di dalam kawasan pagar tanah perkuburan tersebut.

Menurut seorang penduduk asal kampung itu yang enggan identitinya didedahkan memberitahu Sinar Harian, perkuburan Islam itu diguna pakai penduduk di Kampung Lubuk Besar dan dua lagi, Kampung Gutong dan Kampung Bechah Hangus.

Katanya, kemunculan anjing, lembu serta kandang lembu tersebut hanya disedari sekitar November lalu, ketika dia menziarahi kubur arwah ibu bapanya.

“Menjadi kemestian saya menziarahi pusara orang tua pada Hari Raya Aidilfitri, namun, saya terkejut apabila mendapati sebuah kandang lembu ada dalam kawasan kubur berkenaan. Ketika itu juga, saya lihat ada lembu yang ditambat dan sedang meragut rumput di atas
kubur selain anjing yang mengganggu kehadiran kami,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu pernah melaporkan kepada imam dan Ahli Jawatankuasa Kubur di kampung berkenaan, bagaimanapun, situasi hampir dua bulan lalu itu masih sama.

“Saya kesal tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku di atas tanah perkuburan Islam. Kalau lembu atau kambing mungkin boleh bertolak ansur, ini anjing bagaimana najisnya yang ada di atas kubur. Memelihara anjing pun sudah
haram, macam mana boleh dibiarkan berkeliaran di atas kubur orang Islam,” katanya. -Sinar Harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan