Selasa, 10 Januari 2012

13,500 PENUNTUT IPTA TERIMA BAUCAR BUKU 1 MALAYSIA

KOTA BHARU – Kira-kira 13,500 penuntut institusi pengajian tinggi awam di negeri ini layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM200.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah terbabit meliputi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) seramai kira-kira 6,000 orang, Universiti Malaysia Kelantan (3,100), Universiti Sains Malaysia (4,000) dan Universiti Malaya Nilam Puri antara 300 hingga 400 orang.

Beliau berkata, pemberian baucar buku itu telah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 yang lalu bertujuan meringankan kos kewangan penuntut berkenaan.

“Kita berharap ia digunakan sebaik mungkin oleh pelajar-pelajar. Ini adalah atas kebaikan kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos termasuklah kos buku.

‘‘Kita yakin ia akan dapat membantu meringan beban yang ditanggung oleh mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian baucar buku berjumlah RM625,000 kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Firdaus Abd. Karim mewakili hampir 3,100 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah universiti itu.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Raduan Che Rose dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, selain bantuan baucar, Kerajaan Pusat juga menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM35 juta kepada 350,000 pelajar di negeri ini sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula, beliau berkata, setakat ini kira-kira 260,000 daripada 600,000 borang permohonan yang dikeluarkan telah dikembalikan untuk diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, seperti ditetapkan oleh kerajaan, pengagihan bantuan itu bermula 15 Januari ini sehingga akhir Mac depan dan Kelantan sedang merancang kaedah terbaik bagi mengagihkan bantuan tersebut.

“Kita telah pun bermesyuarat pagi ini dan saya meminta Datuk Makhtar (Pengarah JPP) supaya berbincang dengan pemimpin-pemimpin tempatan mengenai kaedah terbaik bagi menyalurkan bantuan tersebut.

“Yang penting kita runding dengan pemimpin tempatan masa yang sesuai dan kita bagi taklimat, tak boleh kita buat tergesa-gesa,” katanya. -Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan