KOTA BHARU - Kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diyakini akan meningkat berikutan kejayaan jabatan itu mendapat penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan daripada Jabatan Audit Negara dua tahun berturut-turut sejak 2009.
Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, penganugerahan tersebut amat bermakna dan memberi impak besar kepada MAIK sebagai sebuah institusi yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab kepada umat Islam di negeri ini.
"Saya berharap semoga dengan penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan ini, MAIK akan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaannya dalam memegang amanah sebagai pengendali wang zakat dan harta Baitulmal serta wakaf tunggal di negeri ini," titah baginda.
Baginda yang juga Yang Dipertua Maik bertitah demikian pada Majlis Kesyukuran Penganugerahan 4 Bintang Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2010 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad; Timbalan Mufti negeri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin.
Sementara itu, Kamaruddin dalam ucapan aluannya berkata, Jabatan Audit Negara telah mula mengaudit pengurusan kewangan MAIK berdasarkan indeks akauntabiliti sejak 2007 merangkumi sembilan elemen utama iaitu kawalan pengurusan, bajet, terimaan, perbelanjaan, pelaburan, akaun amanah, kumpulan wang amanah dan deposit, aset dan inventori, pinjaman serta penyata kewangan tahunan.
Beliau berkata, tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan yang diaudit adalah berdasarkan sistem pemarkahan iaitu 4 Bintang untuk tahap sangat baik; 3 Bintang (tahap baik); 2 Bintang (tahap memuaskan) dan 1 Bintang (tahap tidak memuaskan).
Jelasnya, tahap prestasi pengurusan kewangan MAIK meningkat setiap tahun dan ini dinyatakan sendiri dalam Laporan Audit Negara 2010.
"Pada 2007, Jabatan Audit Negara memberi penarafan 2 Bintang kepada MAIK; 2008 (3 Bintang); 2009 (4 Bintang) dan sekali lagi pada 2010 kita mendapat 4 Bintang.
"Malah MAIK juga menduduki tempat pertama dari segi pemarkahan berbanding lain-lain agensi dan jabatan di negeri, ini merupakan hadiah bermakna bagi MAIK yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 31 Disember akan datang," katanya. -Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan