Khamis, 2 Februari 2012

YIK MENAFIKAN TIDAK BERI KERJASAMA PADA KEMENTERIAN PELAJARAN

KOTA BHARU – Yayasan Islam Kelantan (YIK) menafikan pihaknya tidak memberi kerjasama untuk menghantar senarai lengkap pelajar mereka kepada Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar tidak dapat disalurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, YIK awal-awal lagi sudah memberikan senarai nama itu kepada kementerian dan menyerahkan sekali lagi data terkini pada 25 Januari lalu.

“Paling terbaru apabila kita menerima edaran pekeliling daripada pihak kementerian pada 15 Januari yang mahukan senarai nama terkini pelajar sekolah YIK.

“Kami telah mengambil tindakan segera dengan membuat taklimat kepada semua pengetua pada 19 Januari dan pada 25 Januari, senarai nama pelajar kemudiannya dihantar kepada kementerian.

“Sehingga hari ini, tiga sekolah Ma’ahad telah menerima bantuan tidak termasuk 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang telah menerimanya lebih awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah YIK, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Mohd. Amar berkata, terdapat 26 ma’ahad, 42 buah Sekolah Menengah Ugama (Arab) dan 20 buah SABK di bawah YIK dengan bilangan pelajar seramai 33,000 orang.

Justeru itu katanya, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin baru-baru ini yang mengatakan YIK gagal memberikan kerjasama adalah tidak tepat dan menimbulkan pandangan kurang baik masyarakat terhadap peranan YIK sebagai sebuah agensi pendidikan.

“Tidak eloklah keluar pernyataan begitu sedangkan pegawai kami sudah beberapa kali berulang-alik ke kementerian dan menghadiri mesyuarat bersama. Awang sebagai Timbalan Menteri sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Pelajaran dan juga YIK sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, pihaknya kini dalam perbincangan akhir dengan Universiti Ummul Qura, Arab Saudi untuk memberi peluang kepada 15 pelajar yang mendapat 10 Mumtaz dalam peperiksaan STAM 2011 mengikuti pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di sana.

Beliau berkata, sekiranya rundingan tersebut berjaya, pelajar cemerlang yang berminat akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti itu sepanjang tempoh pengajian empat tahun.

Seramai 1,769 pelajar dari 23 buah sekolah YIK menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu dengan kelulusan 66.65 peratus berbanding 65.57 peratus pada 2010 iaitu peningkatan sebanyak 1.08 peratus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan