BACHOK - Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan andaian yang mengatakan judi dan riba akan meningkat jika pengundi memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan pada pilihan raya umum akan datang sebagai satu tuduhan jahat bagi menakutkan rakyat negeri itu.
Pengerusi Umno Kelantan berkata, ramalan karut itu adalah sesuatu dakyah yang cuba menakutkan rakyat negeri itu sedangkan BN terbukti banyak menzahirkan sistem dan ajaran Islam dalam pelbagai aspek.
Menurutnya, kerajaan Pas Kelantan tidak boleh mendabik dada dengan membuat tuduhan itu kepada BN kerana di bawah pemerintahan Pas sekarang ini juga wujud masalah sosial.
“Apa niat beliau (Nik Aziz) sebenarnya saya tidak tahu, tetapi jika itu telahan beliau, ia adalah suatu tuduhan jahat yang ingin mencipta keadaan menakutkan rakyat.
“Kita sebagai sebuah negara Islam tekad untuk banteras gejala tidak bermoral dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera dan berakhlak. Selain itu, banyak yang kerajaan BN laksanakan termasuk aspek perbankan Islam yang menjadi ikutan negara Islam lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Simulasi PRU bagi Kelantan dan Terengganu dekat sini, malam kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat yang membayangkan negeri ini akan subur dengan premis judi dan amalan riba sekiranya BN dapat menawan kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.
Mustapa berkata, BN akan terus melaksanakan dasar-dasar untuk memastikan bahawa negara Malaysia ini semakin aman sejahtera serta rakyatnya berakhlak yang menjadi cita-cita semua umat Islam. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan