KOTA BHARU – Perkarangan Mahkamah Tinggi di sini, semalam cemas apabila seorang tertuduh yang bebas dakwaan membuat bom cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan semula pihak berkuasa.
Sejurus dibebaskan, lelaki warganegara Thailand itu ditahan dipercayai atas satu lagi kesalahan lain iaitu tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.
Cubaan Mat Yunai Che Dolah, 35, itu mengundang situasi cemas sehingga berlaku pergelutan antara dia dan pihak polis.
Beberapa ahli keluarga tertuduh yang ada di tempat kejadian turut ikut campur menyebabkan suasana bertambah tegang sehingga mereka ditenangkan sebelum tertuduh berjaya digari.
Selain Mat Yunai, seorang lagi yang turut bebas, tertuduh ketiga, Mohd Sidek Ali, 40, turut ditahan semula.
Sementara tertuduh pertama, Mohamad Khairi Seman, 30, diarah bela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes terhadapnya.
Hakim Azman dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes terhadap Mat Yunai dan Mohd Sidek selepas saksi tuan rumah hanya dapat mengecam Mohamad Khairi.
Menurutnya, tidak ada keterangan dapat membuktikan pakatan atau niat bersama antara tertuduh pertama dan dua lagi tertuduh lain.
“Tuan rumah hanya cam tertuduh pertama yang dikenali dengan nama Farud atau Farok sebagai individu yang datang membayar sewa, api dan air, manakala dua lagi tidak dikenalinya.
“Bagaimanapun, melalui keterangan, sebagai penyewa, Mohamad Khairi mempunyai pengetahuan, kawalan serta jagaan ke atas rumah juga barang-barang salah yang dijumpai di rumah itu termasuk kepingan besi half moon di ruang tamu,” katanya.
Mereka didakwa secara bersama pada pertuduhan pertama, berdagang (menghasilkan untuk tujuan edaran) senjata api iaitu empat bom rekaan sendiri di sebuah rumah Kampung Gebeng, Bakong, Pasir Mas pada jam 1.40 petang, 14 Disember 2009.
Bagi pertuduhan itu, mereka boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga akan dikenakan sebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Manakala, pada pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana bersama-sama memiliki 258 peluru hidup pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Pembelaan Mohamad Khairi yang diwakili peguam bela, Latifah Ariffin akan dibuat pada 19 dan 20 Mac depan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Abdul Razak Wan Hussin dan Julia Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan