Ahad, 12 Februari 2012

PAS KELANTAN 'AKAN' MENJELASKAN ISU LEMBAH SIREH.. BILA??

KOTA BHARU – Ramai warga Kota Bharu menjangkakan kerajaan Pas Kelantan akan cuba melengahkan dalam memberi jawapan berhubung isu projek pembangunan Lembah Sireh yang 10 tahun tertangguh.

Penduduk Lembah Sireh, Abdul Manaf Hanapi, 39, berkata sikap sedemikian tidak wajar dimiliki kerajaan Pas yang kononnya mendakwa perjuangkan negara kebajikan.

Seharusnya, kerajaan Pas begitu cepat memberi respon mengenai projeknya jika ia sebuah kerajaan yang telus tanpa perlu mengambil masa selama 10 tahun untuk menjelaskan atau didesak pihak NGO.

“Laporan akhbar semalam mengatakan kerajaan negeri akan memberi penjelasan. Kenapa begitu lama? Ada perkara kah yang perlu dipusingkan atau fakta yang perlu ditutup daripada rakyat? Kalau gagal projek itu mengaku sajalah dan mohon maaf kepada rakyat dan penduduk Lembah Sireh seperti kami ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media semalam bahawa Kerajaan Pas Kelantan akan memberi penjelasan berhubung perjanjian yang ditandatangani pada 2002 dengan sebuah syarikat pemaju yang melibatkan pembangunan di Lembah Sireh di sini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika diminta mengulas desakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) Selasa lalu mengenai isu tersebut.

Sebelum ini, Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung perjanjian yang ditandatangani dengan Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco) untuk menjalankan projek pembangunan di Lembah Sireh di sini.

Wan Khairul Ihsan mendakwa, melalui perjanjian yang dimeterai itu, kerajaan negeri bersetuju memberikan tanah seluas kira-kira 400 hektar kepada pemaju tersebut dengan bayaran premium sebanyak RM1 juta sahaja dan sebagai ganti, pemaju perlu menjalankan beberapa projek di negeri ini membabitkan kos dianggarkan RM370 juta.

Beliau mendakwa, dalam dokumen perjanjian yang dimilikinya, pemaju disyaratkan membina sebuah masjid bernilai RM20 juta, membangunkan jambatan penghubung Kampung Cina di sini dengan Palekbang Tumpat sebanyak RM150 juta, membina jambatan berkembar bersebelahan Jambatan Sultan Yahya Petra (RM160 juta), membina sebuah stadium tertutup wanita (RM25 juta) dan memasukkan wang ke dalam tabung perumahan sebanyak RM15 juta. - Khabar Kota Bharu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan