Khamis, 9 Februari 2012

ISU LEMBAH SIREH MINTA PENJELASAN PAS KELANTAN

KOTA BHARU - Isu pembangunan lembah sireh kini hangat diperkatakan semula oleh rakyat Kelantan setelah perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Malahan, Mohd Fatmi pernah mempersoalkan isu pembinaan jambatan menghubungi Kampung Cina ke Palekbang merentasi Sungai Kelantan yang lebih sedekad tidak dilaksanakan kerajaan Pas Kelantan.

Yang tinggal hanyalah tugu pembinaan projek jambatan itu yang kini hanya dilitupi lalang.
Terbaru sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) mendesak kerajaan Pas Kelantan menjelaskan status perjanjian kerajaan itu dengan sebuah syarikat bagi membangunkan kawasan Lembah Sireh hampir sedekad lalu.

Presidennya, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, perjanjian tersebut menuntut syarikat berkenaan memberi sumbangan lebih RM350 juta dalam bentuk pembangunan seperti membina jambatan, masjid, stadium tertutup wanita dan sumbangan kepada tabung perumahan kos rendah.

“Itu maklumat yang kami dapat, sekiranya perjanjian itu terbatal sekali pun, kerajaan harus menjelaskan perjanjian mana yang diguna pakai,” katanya.

Pada November 2010, kerajaan negeri dilapor akan mengkaji semula perjanjian yang dianggap bermasalah apabila setakat ini pemaju hanya berjaya melaksanakan 50 peratus projek melalui perjanjian tersebut.

Berikutan itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju sejak projek tersebut dilaksanakan.

Menurut Ahmad, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada bayaran yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pihak pemaju.

Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan membabitkan kos kira-kira RM2 bilion.

Pembangunan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 400 hektar meliputi jajahan Kota Bharu dan Tumpat.

Antara komponen yang akan dimajukan termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.
Selain itu, ia turut melibatkan pembinaan rumah kedai, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks membeli-belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke arah bandar Kota Bharu, water front, laluan pejalan kaki dan jeti awam. - Khabar Kota Bharu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan