Isnin, 19 Disember 2011

ADIGURU KRAF-38 PAKAR TELAH DILANTIK


KOTA BHARU – Seramai 38 tukang kraf daripada pelbagai bidang telah dilantik sebagai ‘Adiguru’ semenjak ‘Skim Adiguru Kraf’ diperkenalkan oleh kerajaan pada 1987 dalam usaha memelihara dan mengembangkan seni kemahiran serta pertukangan kraf tradisional negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, setiap Adiguru Kraf yang dilantik untuk tempoh lima tahun akan menerima wang ganjaran sebanyak RM2,000 sebagai saguhati dan bayaran elaun bulanan sebanyak RM500.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lantikan itu juga, seorang Adiguru Kraf layak menerima kemudahan perubatan kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan.

“Bagi mencapai objektif Skim Adiguru Kraf, beberapa pengisian program dan aktiviti telah direncanakan, antaranya penyelidikan, dokumentasi, penerbitan dan pameran mengenai seni kemahiran pertukangan seseorang Adiguru Kraf,” katanya di sini semalam.

Beliau berucap pada majlis menandatangani dan penyerahan watikah Adiguru Kraf 2011 kepada tiga tukang kraf iaitu tukang logam perak, Mohamed @ Mohd. Daud Yusof; tukang blok batik, Md. Ghani Mat dan tukang ukiran halus, Norhaiza Nordin di Dewan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Negeri Kelantan di sini.

Turut hadir, Pengarah Kraftangan Negeri Kelantan, Mohd. Razis Md. Said dan Pengarah Kraftangan Terengganu, Khairul Hafizi Naharuddin.

Mohd. Kamil berkata, pada tahun ini, Kraftangan Malaysia telah melantik empat orang Adiguru dalam empat bidang kraf iaitu anyaman rotan, pertukangan blok batik, perak dan ukiran halus.

“Buat julung-julung kalinya pelantikan Adiguru Kraf akan dipantau dan dinilai melalui kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) agar ia memberi manfaat dan impak lebih berkesan dalam pembangunan industri kraf negara,” katanya.

Beliau berkata, khidmat seorang Adiguru Kraf akan dipraktikkan sebagai pakar rujuk, pembimbing serta tenaga pengajar kepada Kraftangan Malaysia dalam menurunkan ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk kumpulan pelapis melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Gelaran Adiguru dianugerahkan kepada usahawan kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan besar dalam membangun serta mengembangkan seni kraf negara.
Penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan itu merupakan anugerah tertinggi kepada seseorang tokoh kraf. – Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan