Sabtu, 17 Disember 2011

Keluarga Daif di Pulau Gajah Dapat Bantuan JKM

KOTA BHARU – Nasib seorang ibu dan dua anaknya dari Kampung Pulau Gajah dekat sini, yang hidup dalam kedaifan selepas ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, pihaknya terus memberi bantuan selepas kisah duka hidup Maryam Mat Deris, 45, bersama dua anaknya, Mohd. Suhaimi Napi, 15, dan Nordiana, 2, disiarkan akhbar kelmarin.

Katanya, sumbangan berupa makanan dan wang tunai telah disampaikan kepada ibu dua anak itu bagi meringankan beban mereka yang terpaksa menjalani kehidupan sukar ekoran tidak mempunyai sumber kewangan.

Menurutnya, selain sumbangan segera itu, pihaknya telah meluluskan Skim Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM200 sebulan kepada kedua-dua anak Maryam bermula bulan ini.

“Kita juga akan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mengenal pasti sama ada keluarga ini tersenarai atau tidak sebagai penerima bantuan e-Kasih dan sekiranya tidak, kita akan membantu sedaya upaya mempercepatkan proses tersebut.

“Mengenai persekolahan Mohd. Suhaimi, kita akan merujuk perkara tersebut kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sama ada dia boleh kembali ke sekolah atau tidak kerana saya difahamkan dia berhenti ketika di darjah dua lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut di rumah keluarga itu di sini, hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kisah Maryam yang hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah usang bersama dua anaknya selepas suaminya, Husin Othman, 50-an, menghilangkan diri.

Dalam pada itu, Md. Nor menyeru pemimpin setempat dan masyarakat supaya lebih peka dengan kehidupan jiran masing-masing bagi memastikan mereka yang layak mendapat bantuan tidak terpinggir dan terus mengalami kehidupan sukar.

“Bagi kes keluarga Maryam ini, saya difahamkan mereka tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada JKM, jadi disinilah pemimpin dan masyarakat boleh memainkan peranan untuk membantu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Md. Noor memberitahu, bagi tahun ini pihaknya telah mengagihkan bantuan dan sumbangan sebanyak RM88 juta atau purata RM8 juta sebulan kepada 32,000 penerima, termasuk 10,000 penerima Skim Bantuan Kanak-kanak.

Sementara itu, Maryam melahirkan rasa syukur akhirnya penderitaan yang ditanggungnya bersama dua anak selama ini terbela selepas JKM meluluskan bantuan tersebut.

“Memang saya bersyukur sangat, walaupun bantuan itu tidak besar bagi orang lain, tapi bagi kami ia sungguh bermakna kerana sekurang-kurangnya dapat membeli makanan. Ini kerana sebelum ini saya terpaksa meminta makanan daripada adik beradik dan jiran.

“Saya juga benar-benar berharap anak saya, Mohd. Suhaimi dapat kembali semula ke sekolah seperti remaja-remaja lain kerana dialah satu-satunya harapan saya untuk mengubah nasib keluarga,” jelasnya.- Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan