Rabu, 14 Disember 2011

Angkara Dadah Remaja ke Tali Gantung

KOTA BHARU – Seorang bekas penuntut sebuah universiti tempatan, antara dua yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah di hadapan sebuah masjid di Rantau Panjang, tahun lalu.

Kedua-dua sahabat dari Pasir Mas itu, Mohd Hazlani Che Hussin, 20, dan rakannya, Mohd Azlan Mat Nor, 20, didapati bersalah mengedar 23.11 gram dadah metamphetamine atau pil kuda di hadapan pintu gerbang Masjid Beijing di Rantau Panjang pada jam 2 petang, 3 Februari
2010.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, selepas diteliti daripada hujah pembelaan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati mereka ada niat bersama mengedar dadah tersebut.

“Saya mendapati tanpa keraguan munasabah, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan sebagaimana pertuduhan. Sebagai mana yang diperintahkan mengikut Seksyen 39B(2) ADB 1952, hanya satu hukuman sahaja terhadap pesalah, iaitu gantung sampai mati,” katanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh-tertuduh, Datuk Syukri Mohamed memberitahu mahkamah ketika ditahan kedua-duanya masih muda dan masing-masing berusia 19 tahun.

“Ketika ditahan, Mohd Hazlani sedang menuntut di sebuah universiti di Terengganu manakala Mohd Azlan ketika itu menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Sejurus hukuman diputuskan, semalam, kedua-dua sahabat dari Pasir Mas itu dilihat serentak saling berpandangan sesama mereka.
Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan