Ahad, 18 Disember 2011

PASTIKAN TIDAK TERSILAP PILIH PEMIMPIN

Kesilapan memilih pemimpin boleh menyebabkan rakyat akan menghadapi masalah dan kehancuran pada masa akan datang.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen Pasir Puteh, Azmi Mohamad Noor berkata, disebabkan itulah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, rakyat perlu membuat keputusan terbaik untuk masa depan mereka.

“Untuk memilih pemimpin, kita seharusnya memilih orang yang boleh menjaga hak rakyat tidak kira dalam apa jua situasi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Beras kepada ibu tunggal dan orang kurang berkemampuan di sini, semalam.

Majlis yang diadakan di rumah Ketua Umno Cawangan Jeram A, Mohd Nasir Mustafa itu dihadiri hampir 50 penduduk setempat.

Azmi berkata, pada PRU-13 nanti rakyat di Pasir Puteh harus memastikan Ahli Parlimen di sini dapat menjadi salah seorang menteri yang akan menjaga kebajikan rakyat.

“Siapa calonnya kita tidak kisah, tetapi yang penting kita mahukan wakil menteri dari Pasir Puteh ada pada masa akan datang.

“Ini kerana di Pasir Puteh belum ada lagi wakil menteri jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat harus sedar sekarang kerana perubahan perlu dilakukan semasa PRU-13 nanti demi masa depan mereka dan anak cucu mereka.- Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan