Sabtu, 24 Disember 2011

BONUS: PENEROKA DIMINTA TIDAK IKUT RENTAK PEMBANGKANG


KOTA BHARU 24 Dis. — Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad meminta peneroka Felda tidak mengikut rentak pembangkang yang mempertikai pemberian bonus dan insentif kepada mereka setiap tahun.

Beliau berkata, pemberian bonus insentif yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berjumlah kira-kira RM102.6 juta adalah bagi meringankan bebanan mereka, terutama dalam berdepan musim persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

"Ia juga sebagai penggalak kepada masyarakat supaya mengusahakan kebun dengan lebih baik dan menjual hasil kepada Felda,” katanya kepada pemberita pada majlis penerangan kepada peneroka rancangan kemajuan tanah itu di sini hari ini.

Isa kemudian melawat dan bertemu peneroka Felda Gugusan Gua Musang di Kemahang, Tanah Merah.

Isa berkata, pembangkang boleh memanipulasi pemberian bonus itu dengan pelbagai dakwaan seperti menggula-gula peneroka.

"Perdana Menteri banyak buat transformasi, ramai anak peneroka sudah berjaya.
"Ini adalah usaha kita yang berterusan, walaupun disebut sebagai gula-gula, tak apalah, asalkan faedah dapat pada peneroka. Sedangkan mereka hanya cakap saja, namun mereka tidak beri apa-apa,” katanya.

Beliau juga berkata, peneroka kini menikmati apa yang mereka usahakan menerusi pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan untuk faedah mereka. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan