Isnin, 12 Disember 2011

Penjawat Awam Usah Gopoh Tandatangani Tawaran Opsyen

 KOTA BHARU: Semua penjawat awam dinasihatkan tidak tergesa-gesa menandatangani surat tawaran opsyen yang diberikan selewat-lewatnya 15 Disember ini untuk mengikuti Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atau kekal dengan sistem lama.
Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, ini memandangkan pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk menerima skim berkenaan.

Katanya, keputusan hanya akan dilakukan selepas perbincangan menerusi kongres khas tiga hari bermula 14 Disember ini.
“Tempoh 15 hari yang diberikan untuk menandatangani surat opsyen itu terlalu singkat,” katanya.

Beliau berkata, buat masa sekarang, semua kakitangan awam perlu bertenang dan berfikir semasak-masaknya sebelum menerima tawaran itu dan tidak perlu mengikut pandangan mana-mana pihak.

“Sebelum ini wakil CUEPACS memang mengadakan perbincangan dengan kerajaan sebelum SBPA dilaksanakan tetapi ia tidak mewakili semua ahli kesatuan ini.

“Kita ada pelbagai sektor dalam kesatuan. Jadi perkara ini harus dibincang terlebih dahulu dengan semua ahli dan mendapat persetujuan dengan mereka sebelum kita membuat sebarang keputusan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden CUEPACS di Wisma Persekutuan semalam.

Omar berkata, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara akan diberikan tempoh dua minggu bermula 15 Disember ini untuk berfikir sebelum menandatangani tawaran SBPA.

“Kita minta semua kakitangan awam agar tidak terburu-buru, fikir dulu semasak-masaknya atau tunggu kenyataan rasmi daripada kongres sebelum menandatangani surat tawaran ini.
“Rujuk kepada ketua jabatan, JPA atau wakil CUEPACS terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.

Sementara itu, CUEPACS berharap kerajaan melantik seorang wakil daripada golongan pekerja sebagai senator supaya suara mereka didengar di Dewan Negara, katanya.

“Dahulu pekerja ada wakil di Dewan Negara melalui bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Zainal Rampak tetapi sekarang tidak ada.

“Seniman dan orang kelainan upaya (OKU) ada wakil dalam Dewan Negara. Jadi kita berharap ada senator yang mewakili suara 11 juta pekerja di negara ini,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan