Selasa, 20 Disember 2011

PENDERMA DARAH DIHARGAI

KOTA BHARU- Kelantan masih memerlukan pendermaan darah dari rakyat negeri ini dan dari Januari hingga semalam, hospital mampu memproses 34,000 pain darah derma keseluruhan kepada pengguna.
 
Ketua Perkhidmatan Darah Negeri Kelantan, Dr Iluni Hayati Ibrahim berkata, dengan penderma 20,000 orang di negeri ini, sebanyak 24 hingga 25,000 pain komponen darah dikumpul untuk pesakit.
 
“Berbanding tahun lalu, sebanyak 36,342 pain darah diperoleh dan setakat ini, keperluan darah di Kelantan adalah mencukupi yang mana dalam sehari 200 pain darah diperlukan di seluruh negeri ini.
 
“Namun, pihak kami sentiasa mencari dan menampung tabung darah yang digunakan dengan sekurang-kurangnya sebanyak 100 hingga 150 pain darah sehari perlu ditambah semula bagi menampung keperluan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Penderma Darah Peringkat Negeri Kelantan 2011, di Dewan Jubli Perak, Panji, di sini, semalam.
 
Majlis berkenaan menghargai 300 penderma individu dan berkumpulan dari seluruh negeri ini yang menyokong serta membantu pihak hospital menambah bekalan tabung darah untuk keperluan pesakit.
 
Dr Illuni Hayati berkata, jumlah kutipan bekalan darah yang didermakan bagi semua jenis darah termasuk jenis A, O, B dan AB meningkat berbanding tahun sebelum ini.
 
Beliau yang juga Pakar Patologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berkata, bagi usaha menambah bekalan darah, hospital berkenaan dan hospital daerah mengadakan pelbagai program derma darah untuk menarik lebih ramai penderma.
 
“Terdapat juga masa-masa kritikal yang menyebabkan stok darah menurun sehingga 90 pain sehari dan jika keadaan ini berlaku, secara aktif kempen diadakan termasuk ceramah bagi membolehkan bekalan ditambah,” katanya.
 
Katanya, darah yang didermakan kebanyakan adalah darah merah yang digunakan merawat pesakit anemia, leukemia, kurang hemoglobin dan kurang platlet seperti penyakit denggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan