Isnin, 19 Disember 2011

BR1M: Jangan Terpedaya Hasutan Pembangkang

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 diagihkan oleh kerajaan Pusat adalah haram kerana ia adalah rasuah daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dali Hussin yang kesal dengan dakyah tersebut berkata, ia merupakan sabotaj pihak terbabit terhadap usaha ikhlas kerajaan Pusat membantu meringankan beban rakyat berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

"Sabotaj yang dilakukan bukan sahaja melalui pengedaran borang-borang palsu tetapi juga syarahan dan ceramah pihak tertentu termasuk parti pembangkang kononnya menerima wang RM500 itu adalah satu kesalahan dan berdosa.

"Perkara ini perlu diperbetulkan supaya rakyat tidak dikelirukan dengan dakyah-dakyah seumpama itu kerana penyaluran BR1M dilakukan melalui prosedur yang sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada 502 murid cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di sini semalam.

Mengulas sumbangan wang ihsan itu, Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa berkata, ia sebagai suntikan semangat kepada murid terbabit dan juga penghargaan kepada ibu bapa mereka yang berjaya membentuk sahsiah anak-anak menjadi insan cemerlang.

"Banyak perubahan positif yang dilakukan oleh kerajaan Pusat untuk menambah baik sistem pendidikan negara dan sokongan daripada warga sekolah termasuk guru-guru dan ibu bapa wajar diteruskan supaya prestasi pelajar terus meningkat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan