Sabtu, 10 Disember 2011

PASAR TANI BERBUMBUNG 2012

 KOTA BHARU - Peniaga pasar tani di negeri ini bakal mendapat pendedahan baru dengan konsep perniagaan di pasar berbumbung bermula pertengahan tahun depan dengan pelbagai kelengkapan dan prasarana yang lebih moden.
 
Projek yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran dan Industri Persekutuan (Fama) Kelantan, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ini akan bermula secara serentak di Terminal Makanan Negara (Teman) Tunjung, serta kawasan pasar tani di Air Lanas, Jeli.
 
Timbalan Pengarahnya, Azhar Jamaludin berkata, konsep berbumbung itu lebih menitik beratkan keselesaan peniaga di samping dapat menjalankan perniagaan dengan pelbagai jenis jualan.
 
”Ini merupakan konsep pertama seumpamanya di Kelantan yang akan menjadi satu tarikan terbaru di negeri ini.
 
”Melalui pasar seumpama ini perniagaan akan dijalankan secara berterusan yang bermula pada waktu pagi dengan pasar tani dan susulannya petang untuk peniaga di pasar malam,” katanya.
 
Terdahulu, beliau turut mengagihkan bubur Asyura kepada pelanggan dan ahli Fama di Pasar Tani Pasir Tumboh.
 
Pasar seumpama ini diharapkan dapat diterima penduduk di negeri ini yang juga lebih memudahkan peniaga untuk berurus niaga dengan pelanggan.
 
Beliau berkata, setakat ini peniaga pasar tani di Kelantan menjangkau 2,000 peserta.
 
”Sebelum ini kita perkenalkan konsep pasar tani bagi meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan bagi menampung kehidupan sekeluarga.
 
”Kini perniagaan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan ahli mula bertambah dari masa ke semasa dan diharapkan konsep pasar berbumbung dapat diterima dengan baik oleh peniaga di negeri ini kelak,” katanya.
 
-   Sumber Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan