Isnin, 12 Disember 2011

Kerajaan Persekutuan Beri Subsidi Baja RM 2.82Juta

KOTA BHARU - Kira-kira RM2.82 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi subsidi baja padi kepada seramai 603 pesawah di kawasan parlimen Bachok dan Kubang Kerian untuk penanaman padi musim kedua 2011.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, kira-kira RM4,886 peruntukan diberikan untuk satu hektar padi pada musim ini dengan setiap petani bakal mendapat subsidi berbentuk baja, mesin membajak dan racun.
 
“Peruntukan ini tidak termasuk subsidi lain iaitu insentif peningkatan hasil dan jika mengikut pecahan pula, penanam padi di kawasan Bachok adalah seramai 400 orang dengan peruntukan sebanyak RM 1.95 juta.
 
“Baki selebihnya diberikan kepada penanam padi di kawasan Kubang Kerian,” katanya kepada pemberita Majlis Perasmian Pembahagian Kupon Bantuan Baja Padi Musim 2/2011 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Binjai, di sini.
 
Pada majlis itu, turut hadir, Pengerusi Jemaah PPK Puteri Saadong, Che Razali Ibrahim, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Ir Mohd Ridzuan Ismail.
 
Sementara itu, penerima bantuan, Ramli Mamat, 45, dari Kampung Teluk Kemunting, Tawang, Bachok berkata, biarpun satu hektar padi yang baik mampu memberi pulangan secara kasar kira-kira RM5,000, namun bantuan kerajaan juga amat diperlukan.
 
“Perusahaan padi memang menguntungkan, namun jika padi yang diusahakan selama lima bulan untuk satu musim rosak atau tidak elok, pendapatan juga akan berkurangan dan ia menyukarkan petani untuk membeli baja, racun mahupun benih untuk ditanam,” katanya.
 
Ramli berkata, pemberian subsidi yang dilakukan pada setiap musim amat diperlukan kerana dapat meringankan beban golongan petani.
 
Katanya, peruntukan berkenaan banyak membantu penanam sawah untuk memulakan musim baru menanam padi.
Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan