Jumaat, 16 Disember 2011

Tiga Beradik Terima Padah

KOTA BHARU – Tindakan tiga beradik mengugut seorang lelaki menggunakan sebilah pedang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Kedai Buloh di sini, bulan lalu, membawa padah, apabila mereka dikenakan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Nik Azan Nik Mohd Salleh, 34; Nik Anuar, 19, dan Nik Mohd Shafiq, 22, diputuskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, Nik Azan dikenakan denda RM5,500 dan jika gagal bayar dikenakan hukuman penjara tiga bulan; Nik Anuar pula didenda RM1,500 dan gagal bayar sebulan penjara, manakala Nik Mohd Shafiq, didenda RM4,000, jika gagal bayar berdepan penjara dua bulan.

Mereka didapati bersalah, bersama-sama melakukan ugutan jenayah terhadap Sukri Dollah, 48, menggunakan sebilah pedang dengan niat menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian kepadanya.

Kesemua mereka yang beralamat di Kampung Pulau Pisang dan Pulau Panjang, Jalan Kuala Besar di sini, dituduh melakukan perbuatan itu di kedai runcit berhadapan Sekolah Menengah Kedai Buloh, pada jam 11.30 malam, 23 November lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Terdahulu, semua tertuduh mengaku bersalah, bagaimanapun, Nik Mohd Shafiq mempertikai kandungan fakta kes yang dibaca menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali terpaksa menjelaskan maksud pertuduhan dengan niat bersama.

“Dalam undang-undang, pada satu kejadian ada lima orang, seorang membawa senjata, seorang menunggu dalam kereta dan tiga yang lain masuk ke dalam bangunan, tetapi kesemua mereka dikira mempunyai niat bersama melakukan jenayah tersebut.

“Begitu juga dalam kes ini, fakta menunjukkan kamu datang bersama-sama dan tahu senjata dibawa. Apabila pengadu meminta pertolongan orang awam, kamu lari bersama-sama. Itu menunjukkan kamu mempunyai niat bersama,” katanya.

Sejurus ulasan itu, tertuduh berkenaan kemudiannya menukar pengakuan dan menerima fakta yang menunjukkan, pengadu bersama anak saudaranya didatangi suspek sebelum menunjukkan pedang itu kepada anak saudara pengadu.

Suspek kemudian cuba menetak pengadu menyebabkan perkara itu dilaporkan di Balai Polis Badang dan disiasat Inspektor Norsiah Hussin, selain melawat lokasi kejadian, melakukan tangkapan dan merampas barang kes.

Hasil siasatan, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan ugutan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan